Antara Keimanan & Kekufuran





Perbezaan ketara antara Islam dengan agama-agama lain adalah berkenaan soal ke-Tuhanan. Prinsip aqidah Islam ialah, tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH. Bermaksud, tiada sembahan lain yang berhak disembah kecuali Tuhan Yang Satu iaitu ALLAH. Kemudian, ada agama tertentu yang menetapkan bahawa ada perantaraan tertentu dalam menyembah Tuhan, seperti menggunakan berhala, api dan sebagainya.

Ada juga yang meyakini bahawa, Tuhan itu beranak dan diperanakkan, sebagaimana golongan Nasrani yang menyatakan bahawa Nabi Isa A.s. itu adalah anak Tuhan. Ianya jelas, mereka telah mempersendakan Tuhan dengan menyamakanNya seperti sifat-sifat manusia. Sedangkan Islam tidak begitu, kerana ALLAH SWT telah menafikan dengan tegas dalam surah Al-Ikhlas bahawa DIA adalah Tuhan Yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan juga secara tidak langsung menafikan Isa adalah anak Tuhan dan sebagainya.

LARANGAN MENYEKUTUKAN ALLAH

Islam tidak membenarkan umatnya mengadakan perantaraan tertentu dalam menyembah Tuhan. Kerana itu adalah termasuk dalam perkara-perkara syirik dengan menyekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, seperti menyembah berhala, api, perkuburan/makam dan sebagainya. Nabi Ibrahim A.s. pernah merasai keanehan dan kehairanan, apabila melihat masyarakatnya menyembah berhala yang lemah dan tidak berdaya melakukan apa-apa itu. Setiap manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras, pasti berasa janggal dan pelik apabila melihat kepercayaan yang tidak munasabah dan bertentangan dengan fitrah insan. Adakah manusia yang mengciptakan Tuhan, bukannya Tuhan yang mengciptakan manusia?

Setiap manusia yang berakal, pasti akan menolak kepercayaan yang karut marut sebegitu. Namun, manusia yang telah tertutup pintu hatinya, kerana syaitan memperindahkan yang salah itu di hadapannya, manakala yang benar pula ditimbulkan rasa jelik dan benci. Kecuali, dengan keizinanNya serta keinginan seseorang hamba yang mengkaji serta memburu kebenaran, maka akan hadir cahaya hidayah yang bersinar dari ALLAH SWT. Kerana hidayah tidak akan muncul bergolek begitu sahaja, tanpa keizinanNya dan tanpa berbekalkan usaha.

TUJUAN RASUL DIUTUSKAN

Semenjak zaman berzaman lagi, semua para Rasul diutuskan serta ditugaskan bagi menyeru manusia agar kembali mentauhidkan serta mengesakan ALLAH SWT setelah terpesong jauh dan tersasar haluan. Pada asalnya, agama Nasrani dan Yahudi itu adalah benar dengan prinsip aqidahnya demi mengesakanNya. Namun, golongan Nasrani menjadi sesat setelah mereka menyekutukan ALLAH dengan menyembah Isa serta mempercayai Isa adalah anak Tuhan. Manakala golongan Yahudi pula, engkar daripada beriman kepada Nabi Muhammad Saw kerana bukan di kalangan bangsa mereka sendiri.

Jika dikaji dan diamati, hakikatnya kedua-dua golongan tersebut telah tidak beriman dengan kitab-kitab agama mereka serta menipu diri mereka sendiri. Kerana di dalam kitab agama Yahudi dan Nasrani sendiri, iaitu Taurat dan Injil telah tercatat perihal kemunculan Nabi akhir zaman yang tepat ciri-cirinya ada terdapat pada Nabi Muhammad Saw. Namun, disebabkan keegoan dan kesombongan, lalu mereka menutupi pintu hati daripada menerima Baginda sebagai Nabi akhir zaman yang membawa sinar kebenaran demi melenyapkan sirna kejahilan.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
5hb Oktober 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com
http://www.facebook.com/adli.abdullah


[Rujukan]
1. Bukti-Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad - Dr. Danial Zainal Abidin.
2. Ilmu Perbandingan Agama - Ust. Yussamir Yusuf.

- Posted using BlogPress from my iPod Touch 5

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya pula ya. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wa'alaikumussalam, terima kasih kembali kerana sudi ziarah ke sini.. Insha-ALLAH akan ziarah ke blog saudara. :)

      Padam