Antara Dakwah, Olimpik London 2012 & Perancangan Illuminati?


Pada 27hb Julai 2012, bermulalah temasya sukan Olimpik London 2012. Namun saya tidak berapa mengikuti perkembangan sukan Olimpik London 2012, kerana saya bukanlah seorang peminat sukan yang tegar. Tetapi, beberaps hari lepas saya mendapat tahu timbulnya beberapa kontroversi terhadap sukan berkenaan dari Facebook saya.


KONTROVERSI?

1. Sukan Olimpik London 2012 secara kebetulannya berlangsung semasa bulan Ramadhan yang mulia. Lantaran dari itu, beberapa ulama' berbeza pendapat dalam mengeluarkan fatwa berkenaan rukhsah (keringanan) ibadah puasa bagi atlet-atlet Muslim yang menyertainya:


(a). Di Mesir, fatwa telah dikeluarkan mengecualikan atlet dari keperluan untuk berpuasa apabila bersaing.

(b). Manakala Mufti United Arab Emirates, Syaikh Ahmed Abdul Aziz Al-Haddad mengeluarkan fatwa, "Jika seseorang merasakan keletihan melampau, Syari'ah membolehkan beliau untuk berbuka puasa. Syari'ah adalah fleksibel."

Walau bagaimana pun, ianya tidaklah kontroversi mana. Kerana dalam Islam, perbezaan perkara furu' (cabang) adalah perkara biasa. Islam meraikan perbezaan pendapat.


2. Agak mengejutkan, ada pihak tertentu yang mengaitkan 'Pokok Olimpik' (gambar bawah) yang berada di dalam upacara perasmian sukan berkenaan adalah 'Pokok Yahudi' yang disebut dalam hadith Nabi S.a.w. Benar atau tidak andaian mereka, wallahu'alam.



ANCAMAN ILLUMINATI?


Saya mengjangkakan, ianya tidaklah sekecoh mana, kerana saya jarang melihat 'News Feed' Facebook saya. Tiba-tiba saya terlihat 'Timeline' Facebook sahabat saya, blogger Tajdid Dakwah, sdr. Ikmal Johari menyatakan,



"Kan lawak bila orang sibuk pasal ibadah ramadhan, ada juga sebahagian kita yang pergi sibuk cari teori konspirasi dan iluminati..."
Beliau berkata lagi,
"Tidak dijumpai akan betulkah itu pokok yahudi yang disebut-sebutkan, muncul pula golongan seperti ini yang declare itulah pokok yahudi..mana reference pun kita tak tau.. Inilah sikap yang terlalu obses terhadap apa-apa yang berkaitan dengan iluminati, yahudi, freemason dll."
Ternyata, ada juga segelintir 'Facebooker' yang menggelabah bagaikan Freemasory lebih berkuasa dari Allah Ta'ala. Nauzubillahi min dzalik. Firman Allah SWT,
اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah Al-Baqarah: 255)
Namun bukanlah saya mahu menafikan perancangan Yahudi/Zionis untuk menghancurkan Islam! Yahudi/Zionis tidak akan pernah redha dengan Islam. Firman Allah SWT,

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: 120)

Cuma, kita tidak sepatutnya terlalu obses dan paranoid dengan perkara-perkara sebegini. Seolah kita umat Islam ini lemah!


Kemudian terlalu mudah hendak membuat andaian yang bukan-bukan. Sampaikan direka teori, bahawa makanan Melayu pun ada unsur Illuminati? Telur Mata Illuminati, Nasi Lemak Bungkus Illuminati, Ketupat Palas pun Illuminati? Astaghfirullah! Tetapi adakah yang percaya dengan teori mengarut begini? Tentu tidak bukan.


Imam Suhaib Webb ada berkata,

"Golongan yang berkonspirasi itu yang lemah!"
Benar seperti kata seorang penulis muda & pengasas laman web 'Langit Ilahi' yang sedang memuncak namanya kini, sdr. Hilal Asyraf,

Kadangkala perkara-perkara konspirasi ni, sampai The Awakening Record(lambang dia Piramid) pun dituduh ejen Freemason. Angkat tangan kat dada sikit je, sudah dituduh upacara sembah Tuhan Matahari. Jadi kadangkala, ianya terlalu melebih-lebih.
DAKWAH TANGGUNGJAWAB SEMUA

Firman Allah SWT,

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl: 125)
Dakwah adalah tanggungjawab setiap Muslim. Setiap Muslim perlu memainkan peranan dalam menyebarkan suruhan dan larangan Allah SWT serta ajaran Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW,
"Sampaikan dariku walau satu ayat." (Hadith riwayat Al-Bukhari)
Namun, berdakwahlah dengan 'ilmu. Sebagai Muslim, mencari 'ilmu itu adalah wajib. Kerana umat Islam adalah umat 'Iqra'.


Ada suatu perkara yang saya agak tertarik, iaitu sebuah badan dakwah di UK, 'Islamic Education & Research Academy' (iERA). 
iERA, menggerakkan misi-misi dakwah, memberi kesedaran kepada masyarakat Muslim tentang tanggungjawab dakwah, melahirkan pendakwah yang terbaik. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh tonton video berikut.



Paling saya teruja, iERA sedang mencari sukarelawan dari seluruh dunia, demi menggerakkan misi dakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada ratusan ribu orang di temasya Olimpik London 2012 pada 4hb Ogos ini!




Dan agak menarik pada tahun 2010, di kala umat Islam terguris hati, geram dan marah terhadap kempen 'International Burn a Koran Day' yang dirancang oleh sebuah gereja di Florida, iERA bertindak balas terhadap isu berkenaan dengan berdakwah di jalanan, berdailog dengan paderi, dan mengedarkan buku-buku yang mengandungi ayat-ayat tertentu dari Al-Quran kepada non-Muslim. Saya benar-benar kagum dengan usaha mereka!

"Quran bukan untuk dibakar, tapi untuk dikaji!"
MUHASABAH DIRI

Mari kita dengar apa kata Imam Suhaib Webb tentang 'Konspirasi Freemasory/Illuminati'?




Justeru, tidak perlu buang masa hanya sibuk mencari konspirasi Freemason/Illuminati. Tetapi sama-samalah kita bermuhasabah diri, fikir apa yg kita dah lakukan untuk agama kita Islam? Bagaimana cara hidup kita sebagai Muslim, masih mengagung-agungkan selebriti-selebriti barat atau tidak, dan juga budaya hedonisme(hiburan melampau)? Dan bagaimana kita mendidik anak-anak kita?


Namun bukanlah saya merasa diri ini sudah cukup hebat kerana berkhidmat bersama NGO Islam. Tidak sama sekali! Apalah sangat sumbangan saya yang hanya berlegar di alam maya, jika hendak dibandingkan dengan jasa dan sumbangan dengan para pejuang-pejuang Islam yang lain. Saya masih teringat kata-kata Along saya,

"Cabaran berdakwah di alam maya tidaklah sehebat cabaran berdakwah di luar sana!"
Oleh itu, kembalilah merujuk kepada al-Quran dan Sunnah serta applikasikan dalam seluruh kehidupan kita, dari situ dapat menjana kekuatan ummah. InshaAllah.

Sesungguhnya yang baik itu dari Allah, dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.


Sekian,


Wallahu'alam.


Adli Abdullah

3hb OGOS 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

[promo] InsyaAllah Ada Jalan - Mulai 23 Julai 2012

Sempena Ramadhan ini, saksikan lakonan Maher Zain di ASTRO OASIS, di dalam sinetron 'Inshaallah Ada Jalan'.






Waktu Siaran
Masa : 5.30 petang
Hari : Setiap Isnin-Jumaat


Adli Abdullah 
23hb Julai 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

Tidak Terputus Kalimah Syukur - Ramadhan Pertama 1433 Hijr

Pada 1 Ramadhan kali ini, saya menjangkakan suasana agak sunyi, hanya saya bersama Emak dan Ayah. Namun alhamdulillah kami menerima kejutan apabila Abang Lang sekeluarga pulang berbuka puasa bersama kami pada awal Ramadhan. Nabi SAW bersabda,
”Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadith Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Sejurus saja azan Maghrib berkumandang, kami terus menyegerakan berbuka puasa. Baginda bersabda,
”Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, banyaknya juadah berbuka untuk dini'mati, kebanyakkannya dibeli oleh Abang Lang di Pasar Ramadhan. Alhamdulillah, ianya habis dan tidak membazir. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Nauzubillahi min dzalik.

Alhamdulillah, sungguh ni'matnya rezeki yang Allah SWT kurniakan, dan ni'matnya berbuka bersama keluarga tersayang. Syukur Ya Allah, dan terima kasih Abang Lang, dan terima kasih Emak kerana buat Bubur Lambuk(tiada dalam gambar). Kepada kekanda-kekandaku yang lain usah risau, kami faham kalian tidak berpeluang pulang pada awal Ramadhan di atas halangan yang tidak bisa dielakkan.


Sesungguhnya, hikmah kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, bukan saja untuk mendidik hawa nafsu jiwa mahu pun nafsu anggota. Tetapi dengan lapar dan dahaga itu menginsafkan diri kita, menyedari betapa peritnya 'survival’ golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan 'mustad'afin' untuk memperoleh sesuap rezeki setiap hari, serta mengajar diri tentang ni'matnya bersyukur akan segala kurniaNya. Dan ianya juga mendidik diri untuk ringan bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang penuh barakah. Nabi SAW bersabda,

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)
Sesungguhnya yang baik itu dari Allah SWT, dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.

Sekian,


Wallahu'alam


Adli Abdullah

21hb Julai 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

- Posted using BlogPress from my iPad

Akademi Ramadhan 1433



Intake Ramadhan hampir tiba. Adakah kita sudah bersedia? Jadi, marilah kita bersama berdoa pada Allah SWT agar jiwa, mental dan kesihatan diri bersedia untuk masuk 'Akademi Ramadhan'. Ramadhan adalah akademi untuk mendidik rohani, lidah, mata, telinga agar menjadi insan taqwa walau setelah Ramadhan berlalu pergi.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan, Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak buat seluruh saudara-saudaraku(umat Islam).
"Sesungguhnya telah diwajibkan berpuasa ke atas umat Islam." (Surah Al-Baqarah: 183)
Adli Abdullah
19hb Julai 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

Ke Arah Melahirkan Generasi 'Khayra Ummah'

Sumber: Google
Tidak terkata bila membaca berita-berita negatif yang membelenggu anak-anak remaja Muslim kita. Dari pelbagai gejala sosial, pergaulan bebas, zina sehinggalah kes pembuangan bayi. Semakin hari makin menjadi-jadi, sehingga para pembaca juga merasai kehangatan, kerisauan dan tekanan naik ke kepala apabila membacanya. Namun artikel ini bukanlah bertujuan negatif. Ianya sekadar untuk dijadikan iktibar, agar para ibu-bapa berwaspada dengan pengaruh-pengaruh negatif masa kini terhadap anak-anak.

Kes Pembuangan Bayi


Pertama, saya ingin menyentuh tentang kes pembuangan bayi yang makin berleluasa. Sungguh kejam mereka ini.
Habis madu, sepah dibuang.
Kita imbau kembali pada zaman gelap jahiliah sebelum kedatangan Islam, anak-anak perempuan dibunuh dengan menanamnya secara hidup-hidup. Kerana bagi mereka, anak perempuan membawa sial. Dan para wanita menjadi hamba, alat lelaki untuk memuaskan nafsu dan sebagainya. Namun apabila tibanya kedatangan Nabi Saw yang membawa cahaya Islam, berita gembira, mesej kebenaran dan perintah Tuhannya, lalu lenyaplah segala kekejaman, kerosakkan masyarakat yang membarah. Dan para wanita dimuliakan Islam.

Allah SWT ada menyatakan di dalam Al-Quran,

"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." (Surah Saba': 28)
Kini amat menyedihkan setelah 1400 tahun kewafatan Nabi Saw, muncullah pula jahiliah moden yang membunuh anak dengan gugurkan kandungan, buang janin, buang anak dalam tempat sampah, pembetungan dan bermacam-macam lagi. Inilah akibatnya bila manusia melupakan Tuhan Yang Esa, lalu nafsu serakah menjadi tuhan mereka.

Petikan Berita Harian Online: "Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010). Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan." Klik di sini.


Nabi Saw bersabda, 

"Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Imam an-Nawawi R.h. ada menjelaskan maksud hadith ini: "Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat. Malu sejati ialah malu yang didorong oleh perasaan lman kepada Allah. Malu melakukan kebaikan adalah malu yang tercela dan dilarang seperti malu menutup aurat, malu mengerjakan ketaatan kepada Allah atau malu bertanya perkara yang tidak diketahui." (Hadith 40)

Pengaruh Budaya Dan Punca


Di televisyen-televisyen, terlalu banyak menyiarkan drama-drama Melayu dan sinetron-sinetron yang mempromosi budaya barat seperti ber-'couple' yang berwajah rumpun Melayu itu. Ianya amat berpengaruh bagi bangsa serumpun seperti Malaysia, Indonesia, Brunei.


Justeru itu, saya berpandangan seakan budaya barat yang di-serumpunkan, impaknya lebih hebat bagi anak-anak di rumpun Melayu. Ianya menimbulkan persepsi di benak fikiran anak-anak kita bahawa itu adalah budaya dan cara hidup kita. Jika budaya barat yang memang dilakonkan orang barat, kesannya tidak terlalu berpengaruh.


Namun, bukanlah saya ingin menyatakan 'jangan bagi anak-anak menonton drama atau filem Melayu.' Tapi ianya sekadar menjadi pedoman untuk ibu-bapa agar berwaspada. Kerana anak-anak belum pandai tapis segala yang mendatang terutamanya yang berwajah tempatan. Apa saja yang mereka tonton dan lihat, mulalah hendak meniru secara bulat-bulat.


Mungkin ada yang bertanya, "Apa kaitan pengaruh budaya barat yang di-serumpunkan itu terhadap anak-anak remaja Muslim?" Kaitannya adalah, ia mempunyai kekuatan pengaruh kepada anak-anak remaja Muslim yang berada di rumpun Melayu. Jika bangsa Arab, mungkin budaya barat yang berwajah Arab digunakan bagi mempengaruhi masyarakat Muslim yang berada di tanah Arab. Itulah jarum halus barat yang perlu diawasi semua masyarakat Muslim.


Seperti zaman ICT kini, anak-anak mempunyai sumber maklumat hanya di hujung jari. Apa saja yang mereka ingin tahu dan melihat, boleh Google, YouTube dan berbagai lagi. Ini tidak termasuk peranti-peranti pintar seperti iPhone, iPad, Tablet dan lain-lain jika disalah gunakan. Kini anak-anak yang sekolah rendah pun sudah ada laman sosial.


Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTEM, Prof. Dr. Shahrin Sahib mendedahkan, Malaysia merupakan Negara pengguna facebook ke 8 teramai di dunia. Ini bermakna Gejala Sosial yang berlaku di Malaysia turut dipengaruhi oleh kebejatan penggunaan Facebook. Beliau menyarankan agar Agensi Kerajaan dan NGO berperanan bagi mewujudkan pengisian berguna di dunia maya bagi mengimbangi kesan negatif di kalangan anak-anak muda khususnya di negeri Melaka. Klik di sini.


Apa pun, isu kepada gejala-gejala sosial yang melanda anak-anak remaja kita, berbalik kepada akar puncanya iaitu zina! Sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak menjadi apa-apa. Jika sudah begitu bukan cinta namanya, tapi nafsu durjana merasuk diri. Mungkin mereka tidak berfikir panjang. Selepas itu iman pun tidak kuat sehingga dunia membutakan mata hati.


Kerana itulah Allah Swt memberi amaran di dalam Al-Quran,

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah Al-Isra': 32)
Tapi anak-anak muda kita tidak endahkan amaran Allah itu, atau mungkin mereka tidak tahu kerana kurangnya mendapat didikan aqidah. Nabi Saw bersabda, 
"Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak mencuri, tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya."  (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)
Pelan Tindakan Dan Pencegahan

Ada sahabat seperjuangan bertanya saya, 'Apa yang perlu kita buat?' Pelbagai program-program dakwah kepada golongan belia, telah digerakkan oleh ABIM, JIM dan NGO-NGO Islam yang lain semenjak sekian lama. Namun ianya bukanlah tanggungjawab utama NGO, Kerajaan atau organisasi tertentu secara dasarnya. Ianya tanggungjawab utama para ibu-bapa. Dan persoalannya, bagaimana ibu-bapa mendidik anak-anak?'


Maka, institusi keluarga perlu mantap menurut neraca Al-Quran dan Sunnah, pasti boleh melahirkan generasi yang soleh, solehah dan cemerlang di dunia dan di akhirat.


Para kaunselor mengesyorkan, sekali sekala hendaklah ibu-bapa 'spot check' telefon pintar anak-anak, laman sosial mereka, dengan siapa yang dihubungi, 'chatting', mesej, Sms. Sekarang mungkin mereka marah, tapi bila sudah dewasa, pasti akan faham tindakan itu demi kebaikan mereka juga.

Anak-anak ibarat layang-layang, sekejap lepas sekejap tarik semula.
Seperti saya dan adik beradik semasa kanak-kanak, ayah kami ibarat guru disiplin kami. Tapi displin bukanlah bermakna dengan ringan mengangkat tangan semata-mata, disiplinnya lebih kepada soal pengurusan masa dan waktu untuk perkara-perkara berfaedah dan 'ilmiah. Beliau juga ibarat imam yang membimbing kami ke jalan yang lurus, agar tidak tergelincir ke jurang api neraka. Mungkin masa itu kami marah di dalam hati, kerana ayah mengharamkan rancangan-rancangan dan bahan-bahan bacaan hiburan yang melalaikan di media-media elektronik dan media-media cetak. Namun apabila sudah dewasa, barulah kami sedar akan kesan dan kebaikannya yang besar buat kami adik beradik. Firman Allah Swt,
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3)
Jalan Penyelamat Lagi Lurus

Tapi masalah juga jika mereka mencari perkhidmatan internet di luar rumah atau buat akaun laman sosial lain, bagaimana ibu-bapa hendak kesan? Oleh itu, solusinya kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah. Firman Allah Swt, 

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah An-Nisa': 59)
1. Utamakan mendidik anak-anak dengan pendidikan 'Iman', iaitu aqidah, secara istiqamah hingga mereka dewasa. Nabi Saw pun dahulukan dakwah aqidah, setelah itu barulah Baginda dakwah bab ibadah.
2. Seterusnya, barulah ibu-bapa didik anak-anak dengan pendidikan 'Islam', contohnya perkara-perkara praktikal seperti ibadah dalam Islam. Jika mereka sudah berumur 10 tahun tidak solat, rotanlah mereka demi mendidik.
3. Kemudian, terapkan dengan nilai 'Ehsan'. Nabi Saw bersabda tentang maksud 'Ehsan': "Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." (Hadith riwayat Imam Muslim)
4. Didiklah anak-anak menurut cara Islam:
(a.) Tujuh tahun pertama belailah mereka.
(b.) Tujuh tahun kedua disiplin. Contohnya, latihlah mereka untuk beribadah demi mendidik.
(c.) Tujuh tahun ketiga ibu-bapa jadilah teman rapat utama dalam hati anak-anak dan orang yang paling dipercayai mereka untuk berkongsi kisah suka dan duka. Jika ada lelaki/perempuan asing yang mendahului anda, pasti mereka sukar menerima nasihat anda.

Seperti kami adik beradik apabila memasuki alam remaja, tempat rapat utama kami adalah emak, tempat berkongsi rahsia, cerita suka dan duka. Emak juga ibarat kaunselor bagi kami, yang sering memberi nasihat, motivasi kepada kami. Beliaulah insan yang amat memahami kami kerana telah mengandungkan kami. Sehingga kami dewasa kini, beliau masih menjadi teman rapat kami.


Paling terbaik, ibu-bapa rapat dengan anak-anak secara rohani. Bagi memupuknya, solat berjema'ah bersama anak-anak, makan berjema'ah bersama mereka.


Justeru, apabila ketiga-ketiga elemen, Iman, Islam, Ehsan itu sudah tersemat dalam sanubari anak-anak, dan dididik menurut cara Islam, ibu-bapa tidak perlu risau di mana saja anak-anak berada.

Sesungguhnya benih yang baik, di campak di mana saja, akan menjadi pulau.
Nabi Saw bersabda, 
"Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah." (Hadith riwayat at-Tirmidzi - Hasan Sahih)
Sekian,

Wallahu'alam.


Adli Abdullah

6hb April 2012
http://adlyalkhair.blogspot.com