Percutian Yang Bermakna



Pada musim cuti sekolah ini, mereka yang berpeluang pergi bercuti bersama-sama keluarga pasti merasa gembira dan seronok hingga tidak terkata. Ada di antaranya yang pergi ke Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Port Dickson, Cameron Highlands, Australia, London, Jordan, Mesir, Disneyland, Lego Land, Universal Studios, Aquaria dan bermacam-macam destinasi yang menarik lagi. Saya pun seronok juga, seronok berangan-angan sajalah.

Apa pun, dalam percutian dan musafir itu biarlah yang ada manfaatnya dan beroleh pahala. Ketika mata terpegun melihat keindahan alam ciptaan Sang Pengcipta, sedarilah kebesaranNya, berzikir serta memujiNya dan bersyukurlah. Firman Allah SWT,
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu." (Surah Fussilat: 53)
Ayat di atas, membuktikan kebenaran Islam, dan ianya adalah seruan untuk manusia berfikir, mengkaji kejadian alam serta kejadian diri manusia sendiri. Dari situ, manusia akan sedar serta bertambah-tambah iman dan keyakinannya tentang kewujudan Tuhan Semesta Alam. Al-Quran telah membuktikan, bahawa alam semesta dan segala makhluk tidak akan terjadi dengan sendirinya tanpa kewujudan Sang Pencipta. Ternyata benarlah, Al-Quran itu adalah wahyu Allah, bukanlah rekaan dan ciptaan manusia.

Antara pakej percutian yang unik dan paling menarik, adalah pakej percutian '2-Dalam 1'. Iaitu, seperti pulang ke kampung halaman, kerana percutian sebegitu membuatkan kita beroleh pahala. Pahala ziarah kedua orang tua, keluarga dan saudara mara demi mengeratkan silaturrahim. Atau pun bercuti ke suatu tempat, disamping itu kita ziarah sahabat handai yang berada di situ. Sabda Nabi SAW,
"Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya." (Riwayat Muslim)
Dalam bercuti/musafir, adanya rukhsah (kemudahan) yang Allah Ar-Rahim (Maha Penyayang) telah sediakan untuk hamba-hambaNya yang dikasihi, adalah 'Jamak, iaitu menggabungkan solat fardu Zuhur dengan Asar, solat fardhu Maghrib dengan Isyak serta Qasar (memendekkan) solat yang 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Sungguh Islam itu mudah, namun jangan dipermudah-mudahkan. Walau bagaimana pun, rukhsah berkenaan hanyalah bagi musafir yang menuju ke destinasi-destinasi yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syari'at. Destinasi/lokasi maksiat dan yang terdapat unsur-unsur haram, maka gugurlah rukhsah tersebut.

Oleh itu, pastikan bercuti dengan niat kerana Allah dan destinasi percutian yang ditujui itu adalah destinasi yang baik. Ke mana saja yang ditujui, redha Allah itu sentiasa menjadi penunjuk arah tujuan. Sesungguhnya, definisi ibadah di dalam Islam adalah luas, segala perbuatan/tindakan yang baik dan disertakan dengan niat kerana Allah, maka ianya adalah ibadah. 'In Shaa Allah' akan beroleh pahala.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
10hb Disember 2012

Rintangan Dalam Kebaikan



Allah SWT memberi ujian dalam pelbagai bentuk. Adakalanya Dia beri ujian untuk amalan, perbuatan, kerja-kerja kebaikan yang dilakukan. Umpamanya, apabila kebaikan yang kita lakukan dengan kepayahan dan usaha yang gigih tidak dihargai dan tidak mendapat sambutan. Setelah dari itu berkemungkinan kita merasa putus asa untuk istiqamah dalam melakukan setiap kebaikan. Justeru itu, ada beberapa perkara yang perlu difahami.


TIDAK DIHARGAI ADA HIKMAH

Sesungguhnya, ada hikmah di atas kekecewaan yang menimpa itu. Mungkin Allah SWT ingin menguji hambaNya, sama ada niat seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau perbuatan yang baik itu kerana material, makhluk, riak, berpura-pura (munafik)? Atau pun kerana keimanan, ketaqwaan, keikhlasan demi menggapai redhaNya? Sabda Nabi SAW,
"Setiap amalan bermula dengan niat." (Riwayat Al-Bukhari)
PUDARNYA KEIKHLASAN

Kemudian timbul persoalan, adakah kebaikan yang dilakukan itu demi memburu redha Allah atau redha manusia? Apakah kita ikhlas atau tidak melakukannya? Terkadang dalam memburu redha Allah, keimanan dan keikhlasan teruji. Sesungguhnya keikhlasan itu tidak bisa dilihat dengan mata kasar. Hanya Allah SWT dan si pemilik hati saja yang tahu. FirmanNya,
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali-'Imran: 29)
PUTUS ASA MENJADI BAIK

Apabila kita berputus asa melakukan kebaikan, perlu muhasabah diri, mungkin ada kesilapan di mana-mana. Dan hati-hati, mungkin itu adalah 'Talbis Iblis' (Bisikan Iblis). Iblis dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak-anak Adam sehingga hari kiamat.

Tiada jalan pintas ingin menjadi baik. Ingin jadi baik perlu dengan kesabaran dan keikhlasan. Sesungguhnya syurga itu adalah motivasi untuk istiqamah dalam melakukan kebaikan. Manakala Neraka pula motivasi untuk menghindari daripada segala keburukan dan kemaksiatan. Firman Allah SWT,
“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang taqwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertaqwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.” (Surah Ar-Ra’d: 35)
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
14hb November 2012

Reaksi Terhadap Video Innocent of Muslim?



Alhamdulillah, syabas kepada pihak yang menganjurkan demonstrasi Bantahan Terhadap Video 'Innocent of Muslim'. Dan syabas juga kepada para peserta demonstrasi berkenaan yang berdemonstrasi secara aman dan menggunakan segala cara yang baik bagi membantah video yang amat biadap itu kerana menghina serta memfitnah ‘Kekasih Hati Kita Nabi Muhammad SAW’!

KEWAJARAN DEMONSTRASI

Demonstrasi tersebut adalah amat wajar sebagai salah satu cara membantah dan menunjukkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap apa saja bentuk penghinaan terhadap agama 'rahmatan lil 'alamin' yang suci ini, dan agar pihak agama lain lebih sensitif dan berhati-hati. Manakala yang tidak wajar dan tidak sensitif apabila ada yang mempersoal kewajaran demonstrasi tersebut.

Jika boleh berdemonstrasi untuk isu alam sekitar dan politik, mengapa perlu dipersoal untuk demonstrasi membantah penghinaan terhadap agama kami? Berhati-hati apabila ingin mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara-perkara yang sensitif.

APA REAKSI KITA?

Isu hina Nabi ini, amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia. Dan ianya adalah tindakan yang melampau, biadap dan dikhuatiri mencetuskan ketegangan antara agama. Saya bersama Yang Dipertua (YDP) Abim Negeri Melaka, saudara Suhaimi Mohammed Saaid dan seluruh pimpinan membantah sekeras-kerasnya pihak yang terbabit menerbitkan serta yang memuat naik video 'Innocent of Muslim' atau apa saja provokasi agama ke dalam Youtube dan disebarkan di mana sahaja.

1. Saya menghargai tindakan berani para pemimpin politik Muslim sama ada dari pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang yang membantah video 'Innocent of Muslim', serta membidas kenyataan seorang ahli politik Non-Muslim pembangkang yang mempersoalkan demonstrasi bantahan dengan menyatakan, "buang masa dan tenaga." Namun, ramai juga pemimpin politik Non-Muslim pembangkang yang turut menyokong bantahan video berkenaan.

(a). Walau bagaimana pun, saya menyeru kepada para pemimpin politik Muslim di kalangan parti pemerintah, agar berani menegur serta memberi amaran kepada parti komponen anda sendiri yang menghina Islam dengan menyatakan, "Negara akan mundur jika melaksanakan Hudud." Ini adalah suatu kenyataan yang biadap dan jelas tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Abim Pusat sebelum ini telah membantah kenyataan berkenaan dengan menghantar memorandum kepada parti terbabit yang menghina Islam itu.

PELAN TINDAKAN

Tindakan proaktif Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) menyekat video berkenaan adalah wajar. Namun, dengan teknologi ICT yang semakin maju dan pantas, saya berasa pihak SKMM tidak mampu menyekat secara sepenuhnya. Kerana pada teori saya, mereka tidak menggunakan akaun Youtube yang sama, tetapi akaun yang banyak, berbeza-beza dan dari lokasi/alamat IP yang berbeza-beza. Jadi agak mustahil SKMM untuk menyekat akses ke video tertentu secara mutlak.

Sesungguhnya di zaman dunia tanpa sempadan ini, segalanya berbalik kepada cara, matlamat dan tujuan setiap individu dalam menggunakan teknologi ICT. Ibarat pisau, sama ada digunakan untuk memotong makanan atau sebaliknya.

PENGHINAAN YANG SEBENAR

Dalam kita melawan dan membantah penghinaan oleh pihak lain terhadap agama Islam yang kita cintai, pastikan diri kita sendiri juga tidak menghina agama kita ini secara tersirat, yang bermaksud kita tidak mengikuti secara menyeluruh segala perintah Allah SWT dan juga tidak menjauhi segala laranganNya. Serta tidak mengamalkan ajaran RasulNya. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisa’: 59)
Oleh itu jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan dalam kehidupan seharian kita. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21)
Moga kita istiqamah dalam mengamalkan ajaran Baginda SAW.

Sekian,

Wallahu'alam.


Adli Abdullah
22hb September 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Pesanan Hari Merdeka 55!





Selamat Hari Merdeka yang ke 55 tahun! Namun merdeka yang sebenar bukan semata bebas dari penjajahan fizikal, tetapi bebas daripada penjajahan minda, jiwa dan budaya hidup yang negatif.

Perlu kita fahami erti kemerdekaan yang sebenar, iaitu bebaskan minda dan jiwa daripada kesyirikan kepada ketauhidan, bebaskan perbuatan daripada kezaliman (melakukan segala laranganNya) kepada kebenaran (melakukan segala suruhanNya).

Paling penting bebaskan diri daripada menjadi hamba duniawi demi menjadi hamba Ilahi. Itulah kemerdekaan yang hakiki. InshaAllah.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
31/08/2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

- Posted using BlogPress from my iPad

Ramadhan Dihidupkan, Syawal Diraikan


Sumber: Google
Alhamdulillah, kita telah berada di fasa terakhir Ramadhan. Beruntunglah kepada mereka yang istiqamah menjaga amalan fardhunya, dan pada bulan Ramadhan ini pula mereka memperbanyakkan amalan-amalan sunat, mengejar Malam Al-Qadar dengan Qiyamulail (menghidupkan malam) di sepuluh terakhir Ramadhan. Bagi yang tidak mampu untuk Qiyamulail, tidur itu lebih baik daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan perkara-perkara yang melaghakan. 

RAMADHAN PENUH ISTIMEWA

Sungguh istimewanya bulan Ramadhan, kerana pelbagai hikmah ada di dalamnya:
1. Ianya bulan rahmat, barakah, pengampunan dan digandakan pahala amalan.
2. Paling istimewa adanya Malam Al-Qadar di sepuluh terakhir Ramadhan. 
(a). Pada malam itu turunnya Al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Kemudian diturunkannya secara berperingkat kepada Baginda Nabi SAW selama 23 tahun.
3. Mengeratkan ukhuwah sesama Muslim, dan silaturrahim sesama keluarga, apabila iftar (berbuka) dan bertarawih secara jemaah.


Kemeriahan Ramadhan tahun ini amat saya rasai, kerana setiap minggu, ada sahaja adik beradik saya yang pulang berpuasa bersama saya, Emak dan Ayah. 



Dan di penghujung di bulan barakah ini, saya berpeluang berpuasa bersama Uda saya dan anak-anaknya yang menceriakan suasana. Benarlah Ramadhan, adanya kesempatan untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga. Alhamdulillah.

Segalanya bermula dari keluarga 
Sayangi keluarga di situlah bahagia

Namun, pilu rasanya hati kerana bulan barakah bagi sesi tahun 1433 Hijr ini, sudah hampir ke garisan penamat.

Engkau tiba disambut dengan gembira
Berakhirnya engkau dalam tangisan
Tahun hadapan entah bertemu atau tidak?


Walau bagaimana pun, moga roh Ramadhan sentiasa subur di dalam sanubari kita semua. Sentiasa rajin membaca, mengkaji dan mengamalkan Al-Quran, serta rajin dalam melakukan kebaikan dengan mencari redha Allah. Dan moga suburnya kemalasan dari melakukan keburukan, lalu dibuang jauh-jauh perbuatan-perbuatan yang dimurkaiNya. Itulah Penunjuk Aras Prestasi (KPI) demi membentuk sahsiah diri bagi menjadi Mukmin sejati.

SYAWAL SEBUAH KEMENANGAN


Ketibaan Syawal makin dirasai, ianya dirai penuh semangat sebagai tanda kemenangan! Kerana selama sebulan telah berjuang menahan lapar dahaga, melawan hawa nafsu serta mendidik diri dengan pesta ibadah.

Eidulfitri juga merupakan kesempatan untuk ziarah sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim.

Dalam meraikan Eidulfitri, beberapa amalan Sunnah yang boleh dilakukan:

1. Mandi sebelum ke Masjid..
2. Memakai pakaian yang cantik.
3. Menjamah sedikit makanan/tamar sebelum ke Masjid.
4. Takbir semasa dalam perjalanan ke Masjid.
5. Mengucapkan tahniah atau ucapan-ucapan yang baik kepada Muslim yang lain. Seperti ucapan 'Taqaballahu minna wa minkum' - 'Semoga Allah menerima amalan baik dari kami dan dari kamu'.


BALIK KAMPUNG


Kepada yang ingin pulang ke kampung halaman, berhati-hati memandu. Bagi mengelakkan kesesakan, boleh rujuk jadual perjalanan yang disediakan oleh PLUS Malaysia Berhad (gambar atas).


Oleh itu, saya akhiri dengan ucapan, Selamat Hari Raya Eidulfitri, maaf zahir batin. Moga amalan anda diterima Allah, dan selamat tiba ke destinasi yang ditujui.

Sesungguhnya yang baik dari Allah dan yang buruk dari diri saya sendiri.

Sekian,


Wallahu'alam.  

Adli Abdullah

27hb Ramadhan 1433 Hijr | 16hb Ogos 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com