Cerpen Mini - Pilihanraya 13 Dengan Kisah, Hudud Itu Impian

Gambar Google

Kehangatan pesta mengundi di hari pilihanraya kian dirasakan oleh segenap lapisan rakyat. Di sana sini rakyat berbicara politik dengan meriah sekali, bagaikan hendak bertanding dalam pilihanraya.

"Kerajaan kita tidak mahu melaksanakan hudud. Bermakna, mereka menolak Islam!" kata seorang rakyat daripada parti Bulan.


"Kerajaan baharu Mesir juga tidak melaksanakan hudud. Adakah bermakna, mereka juga menolak Islam? sahut seorang rakyat yang non-partisan.


Tiba-tiba muncul seorang pemuda yang berani, melontarkan pandangannya dengan panjang lebar. "Tidak melaksanakan hudud' dengan 'menolak hudud', adalah dua maksud yang berbeza. Jika sesuatu golongan/pemerintah yang 'Tidak melaksanakan hudud' seperti kerajaan baharu Mesir yang dipimpin oleh Presiden Mursi, belum tentu pasti mereka itu menolak Islam dan tidak berniat untuk melaksanakan hukum Allah. Ianya juga, mungkin boleh ditafsirkan, 'Belum melaksanakan hudud'."

Rakyat daripada parti Bulan khusyuk dan bersemangat mendengar hujah pemuda itu.

"Oh begitukah?" soal rakyat yang non-partisan.

Pemuda itu dengan tegas terus melontarkan hujahnya lagi. "Tetapi jika sesuatu golongan/pemerintah itu 'menolak hudud' dengan tegas menyatakan, "Kita tidak akan melaksanakan hudud", atau pun 'mempersendakan hudud' dengan menyatakan, "Jika dilaksanakan hudud, boleh buat sup tangan" dan lain-lain lagi, itu adalah jelas mereka itu 'menolak Islam' dan menghina hukum Allah SWT!"

"Menarik juga pandangan kamu." balas rakyat yang non-partisan.

Rakyat daripada parti Bulan pula tersenyum hingga ke telinga mendengar hujah demi hujah yang dilontarkan pemuda itu.

Sebagai penutup, pemuda itu membuat kesimpulan. "Justeru itu, 'Tidak melaksanakan hudud' belum tentu signifikan dengan 'menolak Islam'. Tetapi, 'menolak hudud' dan 'mempersendakan hudud', adalah signifikan dengan 'menolak Islam' dan hukum Allah SWT. Walau bagaimana pun, sebagai Muslim, kita harus terus berjuang agar hukum Allah berjaya dilaksanakan. Wallahu'alam."

Seusai menyatakan pandangan dan hujahnya, pemuda itu mengucapkan salam pada semua orang yang berada di kopitiam itu dan terus beredar dari situ.

Adli Abdullah
23/04/2013


[JIKA SUKA, SILA LIKE & SHARE]



Politik Hikmah Menjamin Kematangan Berpolitik



Pada 3hb April 2013, akhirnya tibalah detik-detik yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia, apabila diumumkan pembubaran Parlimen oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Sebuah tarikh keramat bagi membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) diadakan untuk menilai semula prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang masih muda dan juga kerajaan pusat yang sudah terlalu lama memerintah lebih daripada lima dekad. Persoalan yang agak menarik adalah, sama ada mengekalkan atau menukar kerajaan pusat?

Namun, saya bukanlah ingin berbicara soal mengekalkan atau menukar kerajaan. Tetapi saya ingin berbicara soal isu-isu politik yang dicanangkan pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang. Juga soal tanggungjawab setiap Muslim untuk membuang undi semasa Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) nanti dalam konteks negara demokrasi menurut perspektif Islam.

ISU-ISU DICANANGKAN

Pertama, saya ingin menyebut soal, adakah wajar 'isu aqidah' dijadikan bahan untuk kepentingan politik demi kuasa politik serakah? Saya benar-benar tidak bersetuju bahawa, isu aqidah dijaja dan dicanangkan untuk menghentam juga mengaibkan peribadi seteru-seteru politik demi kepentingan politik masing-masing.

Aqidah adalah suatu elemen suci yang merupakan asas utama kepada Islam. Tidaklah boleh dibuat main-main. Dan tidak semudahnya kita boleh menghukum aqidah seseorang Muslim itu sama ada dia terkeluar dari Islam (murtad), takfir (mengkafirkan) mereka dan sebagainya. Kerana menurut prinsip aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ), kita tidak boleh menghakimi aqidah seseorang itu berdasarkan apa yang ada di dalam jantung hati insan. Ianya hanya boleh dinilai secara zahir dan luaran. Selagi mana ia tidak mengaku menyekutukan ALLAH SWT, tidak melakukan perkara-perkara khurafat, juga tidak mengaku murtad, kemudian tetap percaya kepada rukun iman, melaksanakan rukun Islam, maka adalah tidak wajar jika kita terus menghukumnya dan membuat kesimpulan. Sabda Nabi Saw,
                                        
"Sesiapa yang menuduh seseorang itu kafir atau musuh ALLAH, tetapi ia tidak begitu. Maka tuduhan tersebut kembali kepada yang menuduh." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Seandainya ia pernah menyatakan berdasarkan penulisan atau percakapannya yang mungkin bertentangan aqidah, maka kita perlu mengkajinya terlebih dahulu dari segi konteks.

Saya ingin memberi beberapa contoh. Contohnya, apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah menyatakan, "Hudud adalah ciptaan ahli fekah". Namun, kita harus bersikap adil walau beliau adalah seteru politik atau insan yang tidak sebulu dengan kita, tidak boleh terlalu pantas untuk menghukum aqidah dan keimanannya, Kita harus mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin ia bermaksud, bahawa istilah ‘hudud’ itu yang dicipta oleh para ulama'.

Contoh kedua, apabila mantan Timbalan Perdana menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dituduh pluralisma dan liberalisma agama. Antaranya, beliau pernah menyatakan seorang wanita Muslim yang keluar meninggalkan Islam (murtad) iaitu Lina Joy, itu adalah haknya. Namun, tidaklah wajar kita terus menghukum dan menuduh beliau menyokong gejala murtad. Kita harus mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin beliau maksudkan, dari sudut perundangan negara yang didominasi oleh sistem perundangan sivil yang diwarisi daripada penjajah British. Dari sudut perundangan sivil, memang kita tiada upaya untuk menghalang Muslim yang hendak murtad. Inilah hakikat, apabila sistem perundangan syar’iah tidak diangkat mengatasi sistem perundangan sivil. Namun, cara paling mudah untuk mengatasi gejala murtad adalah dengan melaksanakan ‘Enakmen Anti-Murtad’ yang sepatutnya telah lama dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah. Maka, ianya juga boleh membantu untuk membendung gejala murtad daripada berlaku.

Walau bagaimana pun, tiada salahnya untuk memberi teguran bahawa, apa yang telah mereka ungkapkan dan catatkan itu adalah salah. Kerana Islam adalah ‘agama nasihat’. Namun, dengan cara yang tidak mengaibkan, hikmah, tidak menjarakkan ia dari Islam serta dengan niat yang tulus. Bukan di atas agenda politik golongan tertentu, yang berpunca daripada kebencian dan dendam kesumat semata-mata. Apatah lagi jika insan yang dituduh itu mengaku tersilap dan menarik semula kenyataannya yang telah ditulis. Firman ALLAH SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Maidah: 8)

Kedua, saya ingin menyebut soal, adakah wajar perihal peribadi (yang tiada kaitan kepentingan/harta rakyat) seteru-seteru politik dimanipulasi sebagai isu politik? Saya dengan tegas menyatakan, benar-benar tidak bersetuju soal peribadi mana-mana insan termasuk ahli politik, dijaja di sana sini, londeh melondehkan, aib mengaibkan yang merupakan modal politik murahan untuk jatuh menjatuhkan musuh-musuh politik dengan cara yang amat menjijikkan. Firman ALLAH SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujurat: 12)

Ayat di atas menjelaskan bahawa, ALLAH SWT melarang hamba-hambaNYA yang benar-benar beriman kepada Al-Quran daripada menyingkap aib peribadi saudara se-Muslim yang lain. Meskipun benar, ia akan menjadi umpatan atau sepertimana Nabi SAW menyebut ‘ghibah’ dalam sebuah hadith sahih, yang memberi makna jelas iaitu menyebut tentang saudaramu dengan sesuatu yang ia benci. Manakala, jika cerita yang dihebahkan itu dusta, maka ianya menjadi fitnah yang mengakibatkan kacau bilau dan huru-hara dalam masyarakat. Sabda Nabi SAW,

“Sesiapa yang menutup aib Muslim yang lain, maka ALLAH akan menutup aibnya.” (Riwayat Muslim)

Maka, jika seseorang Muslim itu membuka aib saudaranya sendiri, adalah tidak mustahil ALLAH SWT akan membuka aibnya pula di kemudian hari nanti.

Oleh itu, pertempuran sihat di medan politik, cukuplah sekadar dengan menggunakan senjata yang berasaskan hujah dan fakta yang bernas. Perkara penting yang patut ditekankan dan diberikan perhatian yang serius adalah, tentang soal rasuah, penyelewengan dan ketirisan dalam menguruskan harta-harta rakyat, juga soal pembelaan terhadap rakyat golongan marhaen dan mustad’afin (yang ditindas).

TANGGUNGJAWAB MENGUNDI

Sesungguhnya, tanggungjawab mengundi semasa pilihanraya dilangsungkan, adalah suatu tuntutan yang wajib bagi setiap Muslim. Seperti kata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi,

“Proses mengundi atau dikenali sebagai pilihan raya adalah satu bentuk kaedah yang dibangunkan oleh pengalaman manusia bagi membolehkan setiap warga sesebuah negara menentukan pilihan dan kehendak mereka tentang tokoh pemimpin, corak pemerintahan dan tawaran kekuasaan yang dirasakan terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Menerusi proses mengundi, ia bererti seseorang itu memberikan kesaksiannya terhadap kebenaran dan kebaikan seseorang individu atau perkumpulannya bagi melangsungkan tugas dan amanah kepemimpinan dalam sesebuah negara.”

Maka, tidak sepatutnya jika ada di kalangan Muslim yang menyatakan, bahawa politik itu tiada kaitan dengan dirinya. Kerana Islam adalah agama yang syumul (lengkap/sempurna), seluruh aspek kehidupan, ada kaitan dengan insan yang bergelar Muslim. Bahkan, Islam bukan sekadar agama, tetapi ‘way of life’ (cara hidup).

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
9hb April 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com 


Kegilaan, Perbezaan Dan Kesyukuran Insan


Sumber: Google

Setiap insan diciptakan dengan pelbagai ragam dan perangai. Begitu juga dengan perkara-perkara yang diminati oleh setiap insan. Minat setiap insan adalah berbeza-beza dan berbagai-bagai rupa. Kegilaan juga boleh diistilah sebagai meminati sesuatu perkara itu dengan amat mendalam. Termasuklah hobi, yang juga boleh menjadi sebagai sebuah kegilaan.

Ada insan yang sanggup membelanjakan wang kerana minat bertani, ada insan yang sanggup membelanjakan wang kerana minat memancing, ada insan yang sanggup membelanjakan wang kerana minat bersukan, ada insan yang sanggup membelanjakan wang kerana minat permainan video dan ada juga insan yang sanggup membelanjakan wang kerana minat makan angin/mengembara bagi melihat keindahan alam ciptaan Tuhan Semesta Alam dengan merasa takjub serta mengagumi kebesaranNYA.


Sumber: Google

Manakala saya pula, pernah membelanjakan wang simpanan saya pada tahun lalu semata-mata untuk memperolehi konsol permainan video, Xbox 360 + Kinect serta set televisyen LED. Ianya bukan hanya kerana faktor saya amat meminati permainan video. Tetapi kerana saya agak menggilai gajet-gajet dan apa sahaja mainan-mainan digital.

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, kerana Dia mengilhamkan insan dengan pelbagai ragam dan kesukaan. Maka, dunia ini menjadi indah berwarna-warni bak pelangi dan tidaklah membosankan.

GAJET OH GAJET!


Pada Isnin lalu, saya telah membelanjakan wang simpanan saya demi untuk memperolehi gajet terbaru, sebuah tablet keluaran syarikat teknologi terkemuka Korea, Samsung Galaxy Tab 2 7.0, yang jauh lebih ringan berbanding tablet keluaran syarikat teknologi terkemuka dunia yang diasaskan oleh mendiang Steve Jobs, Apple iPad 2 yang telah saya beli beberapa tahun lalu. Tujuannya adalah, bagi menggantikan iPad tersebut yang terlalu berat untuk diangkat dengan tangan seorang insan kelainan upaya (IKU) yang lemah seperti saya. Kini saya telah menyerahkan sepenuhnya iPad 2 saya kepada emak & ayah.


Sumber: Google

Berdasarkan pengamatan saya secara ringkas, prestasi Galaxy Tab 2 7.0 , adalah setanding dengan iPad Mini. Kemudian, dari segi kamera, iPad Mini adalah pemenangnya. Kerana dikuasakan dengan kamera belakang 5MP, manakala Galaxy Tab 2 7.0 pula hanya dikuasakan dengan kamera 3MP. Namun dari segi Sistem Operasinya (OS), Galaxy Tab 2 7.0 adalah pemenangnya. Kerana ianya menggunakan OS Android yang lebih menarik jika dibandingkan dengan OS  iOS yang terlalu ringkas dan banyak kekurangan dari segi modifikasi. Maka saya memberi 5 bintang kepada Galaxy Tab 2 7.0, manakala iPad Mini pula saya memberi 4 bintang.

MENYESAL GILA GAJET?

Pada mulanya saya agak keliru juga kesal dengan diri saya yang gilakan gajet-gajet dan apa sahaja mainan-mainan digital. Kemudian, saya merasai lega apabila menyedari, mujurlah saya tidak gila makan angin/mengembara. Jikalau saya seorang insan yang bukan IKU, mungkin saya akan kumpulkan wang demi untuk makan angin/mengembara serta mengundang, emak, ayah dan seluruh ahli keluarga turut menyertainya.

Namun hakikatnya, saya adalah seorang insan IKU yang hanya gilakan gajet sekadar menghibur hati yang kebosanan terkurung 24 jam sehari di rumah. Jikalau saya gilakan makan angin/mengembara, maka parahlah emak, ayah serta kakak-kakak dan abang-abang saya untuk melayan karenah saya yang bertubuh kaku kerana ditakdirkan sebagai insan IKU. Saya merasakan, agak mustahil ada mana-mana insan yang dikurniakan kesihatan yang normal di muka bumi ini sanggup terkurung di rumah tanpa ada jarak walau sehari selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

BERSYUKURLAH

Maka bersyukurlah wahai insan-insan yang dikurniakan ni'mat kesihatan yang normal, dan gunakanlah kaki yang dipinjamkanNYA itu untuk keluar mencari rezeki yang halal lagi berkat serta menuju ke destinasi-destinasi yang baik.

Manakala bagi insan-insan IKU yang senasib dengan saya, bertabahlah dan istiqamah-lah dalam menyuburkan kecintaan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa, apabila Dia menarik satu ni'mat, Dia pasti akan gantikan dengan ni'mat yang lain jauh lebih besar andai kita terus bersyukur dan redha di atas segala ketentuanNya. Ada dinyatakan pada ayat ketujuh di dalam surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur, nescaya akan Aku (Allah) tambahkan ni'mat. Dan jika kamu kufur, ketahuilah azab-Ku amatlah pedih."

Sesungguhnya, Allah hanya menguji pada mereka yang mampu, ianya seperti apa yang dinyatakan pada ayat terakhir surah Al-Baqarah. Maka, sedarilah wahai insan, bahawa derita di dunia hanyalah sementara. Biarlah derita hanya di dunia yang sementara, asalkan tidak derita di akhirat (dengan azab api neraka) yang kekal selama-lamanya. Telah dinyatakan di dalam surah Al-Baqarah pada ayat 216, "Boleh jadi kamu benci pada sesuatu, padahal ia baik untuk kamu. Boleh jadi kamu suka pada sesuatu, padahal ia tidak baik untuk kamu. Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

HAKIKAT KESERONOKAN

Walau bagaimana pun, keseronokan yang hakiki adalah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, perbanyakkan berzikir, baca Quran dengan sepenuh penghayatan. Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang. Namun, tiada salahnya untuk meneruskan apa jua perkara yang kita minati, selagi mana ia tidak bercanggah dengan aqidah, syari'at, tidak meninggalkan solat, tidak meninggalkan segala kewajipan kita kepada Allah SWT. Dan tidak membuatkan kita alpa dan leka. Paling penting, dalam setiap perkara yang kita lakukan, berpada-pada dan bersederhanalah. Seperti apa yang dinyatakan pada ayat 190 di dalam surah Al-Baqarah, "Allah tidak suka pada golongan yang melampau."

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
13hb Mac 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com



Cerpen Mini - Kisah Negara Pelik Bersalji

Gambar hiasan


Ada sebuah kisah, mengenai sebuah negara Pelik di Eropah, yang diperintah oleh mereka yang pelik hingga sanggup melakukan perkara-perkara pelik demi mengekalkan kuasa. Sehinggalah suatu ketika, mereka melakukan perkara pelik yang amat berisiko mengganggu gugat keselamatan negara. Kemudian tahun demi tahun berlalu, timbullah kembali mengenai perkara pelik yang telah mereka berbuat itu.

Akibatnya, negara mereka dengan mudah diceroboh oleh warga asing. Maka timbullah sebuah persoalan, bagaimanakah sebuah negara yang mempunyai kapal selam, kapal perang, jet pejuang dan segala peralatan yang tercanggih di dunia pun tidak mampu mengesan sebarang pencerobohan ke atas kedaulatan tanahair mereka sendiri?

Suatu ketika sembang di kedai kopi,

Encik A: Aku rasalah, ini semua salah mantan Timb. Presiden negara kita ini!
Encik B: Kau yakinkah bro? Ada bukti dan faktakah?
Encik C: Kenapalah, bila timbul masalah pasti dikaitkan dengan nama Timb. Presiden itu? Tiada nama orang lainkah? Naik muak aku dengar.
Encik D: Habis itu siapakah gerangan puncanya?
Encik E: Sudahlah, tidak perlulah diperdebatkan lagi. Semuanya 2x5!

Kemudian mereka bertanya kepada Encik F, lalu dijawabnya, "Apabila timbulnya isu pencerobohan ini, secara kebetulannya, ianya adalah hikmah bagi golongan tertentu berpeluang melepaskan diri agar lenyapnya isu mengenai pemberian kerakyatan yang terlalu mudah diberikan kepada warga asing."

Tanpa disangka-sangka perdebatan mereka beralih kepada isu pemberian kerakyatan yang terlalu mudah diberikan kepada warga asing.

Encik A terpinga-pinga dan memberikan reaksi dengan bertanya, "Isu pemberian kerakyatan yang terlalu mudah diberikan kepada warga asing??"

Encik C: Mungkinkah kerana itu punca negara kita terlalu mudah diceroboh?
Encik D: Hmm.. Siapakah gerangan empunya projek pemberian kerakyatan itu ya?
Encik G: Saya tidak ingin memberikan sebarang pandangan. Biarlah saya terjemahkan semasa pilihanraya nanti. Peace... Hehe...

Maka tamatlah sebuah kisah negara Pelik itu dengan menimbulkan pelbagai persoalan.

Walau bagaimana pun, usah dipercaya segala kisah dongeng ini. Hanya cerita kartun, bukanlah kisah realiti.

Adli Abdullah
04/03/2013

NOTA: Cerpen ini tiada kaitan sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Segalanya hanyalah khayalan semata-mata.


Signifikan Darah Cina Dengan Saya?


Sumber: Google

Saya tidak pasti apakah faktornya diri saya tidak mempunyai sifat prejudis terhadap kaum Cina (kecuali Cina kapitalis yang menindas). Jika ditanya, "Adakah saudara berbangsa Cina?" Mahu dijawab 'ya' sudah tentu bukan, mahu dijawab 'tidak' juga bukan. Maka timbullah persoalan di sini?

Merungkai Persoalan

Setelah meneliti dan mengkaji darah keturunan saya, barulah tersedar diri, bahawa mengalirnya serpihan darah keturunan Cina dalam tubuh saya. Kerana datuk saya yang merupakan bapa kandung kepada emak saya adalah dari kalangan kaum Cina suku Hokkien. Manakala nenek saya pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Bermakna, emak saya adalah berdarah kacukan, campuran Cina dengan Melayu. Jika disebut agama yang emak saya anuti setelah dilahirkan, sudah tentulah ianya agama yang diredhai ALLAH iaitu Islam. Kerana datuk saya adalah Muslim setelah menjalinkan hubungan suami isteri yang sah dengan nenek saya.

Emak Muslim Tetapi Tidak Adik Beradiknya?

Pasti ada yang keliru dan pelik, kerana emak saya dilahirkan Muslim. Tetapi mengapa ramai di kalangan adik beradiknya yang tidak dilahirkan Islam, dan ada juga yang memasuki Islam kemudian setelah dewasa? Di sini saya akan menjelaskan secara ringkas. Sebenarnya, datuk saya mempunyai isteri tua dan isteri kedua yang juga kaum Cina (bukan beragama Islam) sebelum memasuki Islam dan sebelum menikahi nenek saya. Datuk saya dikurniakan anak yang ramai bersama isteri tuanya. Kemudian apabila mendirikan rumah tangga bersama nenek saya, beliau hanya dikurniakan dua orang anak, iaitu arwah abang kepada emak saya, manakala emak saya pula adalah anak yang kedua. Maka, di situlah jawapan berkenaan kewujudan adik beradik emak saya di kalangan kaum Cina yang belum Islam. Tetapi syukur kepada ALLAH, di atas hidayah (petunjuk) dan nikmat Islam, ada di antara bapa saudara dan sepupu saya yang telah memasuki Islam. Salah seorang bapa saudara saya yang memasuki Islam, adalah seorang jurutera dan pendakwah bebas. Adakalanya beliau muncul di kaca tv, iaitu Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah.

Malu Mengaku Bangsa Sebenar?

Walau bagaimana pun, bukanlah saya mahu menafikan darah Melayu dan darah Jawa yang mengalir dalam tubuh saya yang terhasil dari keturunan ayah saya sendiri. Kerana menurut Islam, dalam menentukan keturunan seseorang itu mesti dinilai dari sebelah ayah/suami. Bahkan, menurut kaum Cina sendiri, nama keluarga seseorang itu mesti mengikut nama keluarga sebelah ayah/suami. Tidak salah untuk berbangga-bangga dengan bangsa sendiri, selagi mana tidak menafikan hak bangsa lain sehingga menindas mereka.

Namun dalam masa yang sama, saya tidak boleh menafikan darah Cina yang mengalir dalam tubuh saya. Sehingga kini, saya masih memelihara hubungan yang baik dengan keluarga emak saya yang berbangsa Cina. Kerana saya tidak malu untuk mengaku bahawa emak saya adalah berketurunan Cina. Saya juga mahu menjaga hati dan perasaan emak saya yang telah ditakdirkan lahir dari keturunan Cina. Dan saya mahu membuktikan pada emak, bahawa saya amat menyayangi beliau walau apa pun keturunan beliau.

Sesungguhnya, ALLAH SWT telah menciptakan manusia dengan berbangsa-bangsa, berpuak-puak dan berlainan jantina. Dan kemuliaan setiap hambaNya itu, tidaklak terletak pada bangsa, puak, harta dan keturunan. Sepertimana firman ALLAH,

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) menciptakan kamu dari seorang lelaki, dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah Al-Hujurat: 13)


Asal Usul Tahun Baru Cina & Hukum Menyambutnya?

Memandangkan penulisan ini ditulis di saat menjelang Tahun Baru Cina, saya mahu berbicara serba sedikit mengenainya. Tahun Baru Cina adalah tahun yang mengikut perkiraan bulan dari kalendar Cina, yang terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama-nama haiwan. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, wujudnya seekor raksasa bernama Nian yang tinggal di laut dan di gunung. Pada setiap musim bunga, atau pada Tahun Baru Cina, raksasa tersebut akan keluar dari tempat persembunyiannya dan menyerang manusia terutamanya kanak-kanak. Nian amat sensitif kepada bunyi bising dan takut dengan warna merah. Kerana itulah, setiap kali tiba Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan membakar mercun, cat dinding rumah dengan warna merah, bagi menghalau raksasa tersebut.

Perkataan 'tahun' berdasarkan bahasa Cina, adalah sama dengan nama raksasa itu, iaitu 'Nian'. Namun, semua kepercayaan tersebut adalah kepercayaan yang bukan berasal dari Islam. Kerana mempercayai dengan membakar mercun, memakai warna tertentu boleh menakutkan raksasa dan membawa tuah, bukanlah kepercayaan bagi mereka yang Muslim. Maka, sebagai Muslim tidak kira apa jua bangsa, adalah dilarang untuk mempercayainya kerana ianya adalah perkara syirik.

Walau bagaimana pun, tidaklah salah untuk menyambut Tahun Baru Cina bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga, saudara mara mahu pun sahabat handai yang berbangsa Cina. Kerana ianya bukanlah perayaan berbentuk keagamaan, dan Islam tidak melarang tradisi, budaya atau adat yang tidak bercanggah dengan Islam.

Antara syarat-syarat yang wajib dipatuhi bagi Muslim yang menyertai Sambutan Tahun Baru Cina:
1.
Menjauhi dan mengelakkan minuman dan makanan yang haram. Seperti arak, daging khinzir dan sebagainya.

2. Menjauhi dan mengelak dari menyertai sebarang amalan bersifat keagamaan mereka serta ramalan-ramalan tertentu. Seperti menyembah dewa-dewa tertentu, mendengar serta mempercayai ramalan-ramalan horoskop dan sebagainya.
3. Menjauhi dan mengelakkan perjudian, pergaulan tanpa batas, menyentuh wanita yang bukan mahram dan sebagainya.

Maka, jika seseorang Muslim itu bijak menggunakan ruang dan peluang yang ada semasa sambutan Tahun Baru Cina, secara tidak langsung ianya boleh menjadi medan untuk berdakwah bagi Muslim yang bijak berbicara mengenai Islam, atau pun cukuplah sekadar mempamerkan akhlak-akhlak yang baik sebagai seorang Muslim. Dengan izin ALLAH SWT, tidak mustahil mereka akan tertarik kepada Islam.

Penutup



Sumber: Google

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina buat emak saya, saudara mara dan sahabat handai saya yang berbangsa Cina. Harapan dan impian saya adalah, agar ALLAH membuka pintu-pintu hati mereka serta mengurniakan hidayah (petunjuk) buat mereka yang belum Islam.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
9hb Februari 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com


Rujukan: 
1. Hukum Sambutan & Asal Usul Tahun Baru Cina - Firdaus Wong Wai Hung