Apa Alternatif Pokemon Go?










Ketika ramai orang awam bertelagah dan berbalah demi Pokemon.

Sehingga fatwa disanggah sampai ada yang sanggup caci maki Mufti dan para ulama'.

Dan mungkin timbulnya situasi segelintir yang berpegang fatwa haram Pokemon dengan mudah menghukum mereka yang bermain Pokemon.

Maka munculnya pergeseran antara penyokong fatwa dengan penyokong Pokemon.

Namun, saya tidak mahu terbabit sama dalam perbalahan yang sedang melanda.

Cuma ingin menyatakan alternatif yang lebih berfaedah patut anda lakukan selain daripada bermain Pokemon Go.

SELAIN POKEMON GO

Jika anda menghabiskan masa dengan berjalan kaki mencari Pokemon.

Alangkah lebih indah jika anda berjalan kaki ke surau atau pun ke masjid.

Insya-Allah akan beroleh pahala dan Allah akan bertambah sayang pada anda.

Apatah lagi jika berjalan kaki atau pun berkenderaan menuju ke majlis ilmu.

Bakal dipermudahkan jalan ke syurga Allah seperti dinyatakan dalam hadith sahih.

Insya-Allah kaki anda bakal menjadi saksi di Mahsyar kelak.

Kerana anda punya kaki yang sihat untuk dimanfaatkan dengan sebaik mungkin sebagai tanda kesyukuran anda padaNya dengan nikmat kaki yang dikurnia.

Sedang OKU lumpuh kaki tidak mampu berjalan ke surau atau pun ke masjid.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?" (Surah Ar-Rahman: 13)

Tetapi saya ada terdengar khabar.

Ada yang mencari Pokemon ketika berjalan menuju ke masjid.

Bermakna adalah juga yang bermain Pokemon Go yang tidak lupa jalan ke rumah Allah.

Namun, nawaitunya saya tidak mahu mempersoalkan.

Cuma ingin bersangka baik.

Kerana soal keikhlasan seseorang itu hanyalah antara dirinya dengan Allah.

Sungguh pun begitu, alangkah lebih indah ketika dalam perjalanan ke surau atau pun masjid jika anda tidak bermain games tidak kira sama ada Pokemon Go atau pun bukan.

Dibimbangi akan menjejaskan fokus solat anda di rumah Allah itu nanti.

Saya pernah terbaca satu pandangan berkenaan tip khusyuk solat.

Adalah dinasihati dalam tempoh 10 minit sebelum solat agar ditinggalkan dan dilupakan seketika perkara-perkara berkaitan keduniaan.

Contohnya di zaman dunia tanpa sempadan kini.

Elakkan ber-Whatsapp, ber-Fb, ber-Insta dan beraktiviti dengan apa jua media sosial 10 minit sebelum bersolat.

Apatah lagi bermain games.

Namun, jika anda solat di rumah. Ketika azan baru berkemundang, anda sedang melakukan perbuatan keduniaan.

Atau seperti anak-anak kita di hari cuti yang sedang bermain games, setelah masuk waktu solat kita akan menyeru mereka untuk bersolat.

Ketika itu barulah berhenti dan pergi mengambil wudhuk.

Dalam tempoh itu, tidak mustahil anda telah meninggalkan perihal keduniaan hampir 10 minit.

Apatah lagi hendak bersolat jemaah bersama anak-anak.

Sepertimana saya sendiri apabila hendak bersolat bersama anak-anak saudara.

Sementara mereka mengambil dan membentang sejadah serta menunggu yang lain selesai ambil wudhuk.

Masa telah berlalu hampir 10 minit dan terkadang lebih.

Walau bagaimana pun, berhati-hatilah dalam mengurus masa kita agar tidak terleka dan lalai hingga melampaui batas dalam hal keduniaan sehingga menjejaskan hubungan kita dengan Allah.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman yang beramal soleh serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." (Surah Al-Asr: 1-3)

Sekian,

Wallahua'lam.

خير العدل عبد الله
Khairul Adli Abdullah
7hb Ogos 2016

http://khairuladeli.blogspot.my

- Posted using BlogPress from my iPhone


Sambutan Hari Ibu Boleh Memesongkan Aqidah?




Pada hari semalam adalah merupakan 'Hari Ibu' yang jatuh pada tanggal 8hb Mei 2016.

Di atas faktor itulah ramai insan bergelar anak berbondong-bondong mengutus ucapan 'Selamat Hari Ibu' buat ibunda tersayang mereka.

Kecuali saya tidak mengutuskan sebarang ucapan buat bonda kesayangan saya.

Meskipun begitu, saya tetaplah tidak bersetuju dihukum salah mereka yang mengucapkannya.

Sebab berasa ianya tiada kaitan langsung dengan isu aqidah dan merupakan perkara yang sia-sia. Ia hanyalah berkait soal muamalat (urusan keduniaan) yang mencakupi kepentingan hubungan sesama insan.

Kerana Islam menyeru umatnya memelihara 'hablu minallah wa hablu minannas' (hubungan dengan Allah dan manusia).

Antara hujah dikemukakan menghukum salahnya sambutan 'Hari Ibu', dengan menyatakan ianya ada kaitan dengan hari Bonda Maryam (Mother Mary).

Apabila sebut Maryam bukan orang Kristian sahaja yang percaya. Orang Islam turut mengimani kewujudannya sebagai bonda kepada Nabi Isa (Jesus) Ibni Maryam.

Cuma kita mengimaninya dengan cara yang berbeza menepati dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Kita tolak sama sekali pegangan mereka bahawa Maryam sebagai bonda kepada Tuhan iaitu Nabi Isa.

Iktiqad (pegangan) aqidah umat Islam bahawa, Maryam dan Isa hanyalah hamba Allah Azza Wa Jalla yang diberikan kemuliaan dan keistimewaan olehNya.

Tidak lebih tidak kurang.

Malahan, Islam tidak melarang kita menceduk perkara-perkara baik dan bermanfaat yang berkaitan muamalat (urusan keduniaan) sekalipun ia daripada non-Muslim.

Sebagaimana contoh, Khalifah Umar Al-Khattab Radiallahu 'Anhuma, merupakan pencetus takwim (kalendar) Islam yang lebih dikenali sebagai Takwim Hijrah yang diceduk idea tersebut daripada Kalendar Masihi yang diasaskan oleh golongan Kristian.

Kerana ketika di zaman Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Takwim Hijrah masih belum wujud. Yang wujud hanyalah bulan-bulan Islam.

Cuma apa yang berbeza, Takwim Hijrah mengukur bulan dan tahun menurut peredaran bulan di orbit, tidak seperti Kalendar Masihi yang membuat ukuran berdasarkan peredaran matahari.

Walau bagaimana pun, adalah mustahil Muslim yang mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' itu menujukan ucapan tersebut buat Maryam.

Nawaitu mereka yang jelas hanyalah manifestasi cinta buat ibu kandung dan ibu mertua mereka serta ibu-ibu yang mereka kenali di sekeliling mereka sebagai penghargaan dan mengenang pengorbanan setiap insan bergelar ibu.

Namun, yang salah dan boleh terpesongnya aqidah jika dinyatakan 'semua agama adalah sama'.

Nauzubillahi min dzalik.

Cukuplah sekadar menyatakan bahawa terdapat kebarangkalian perkara-perkara tertentu dalam agama-agama lain ada persamaan dengan Islam sebagaimana contoh mempercayai kewujudan Maryam dan Isa Ibni Maryam.

Dengan pegangan, ada di antara agama-agama lain turut berasal daripada wahyu Allah melalui para Rasul terdahulu sebelum agama-agama tersebut terpesong dan menyeleweng.

Paling penting, gigitlah dengan gigi geraham bahawa hanya Islam-lah agama yang benar lagi lurus.

Allah Azza Wa Jalla telah menegaskan,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًاۚ

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah Al-Maidah: 3)

Walau bagaimana pun, hujah 'Hari Ibu' yang saya kemukakan ini tidaklah boleh disamakan seperti menyambut 'Hari Valentine'.

Sebab itu ternyata jelas haram kerana berkaitan dengan hari yang menggalakkan pergaulan bebas dan hubungan zina yang terlarang lagi keji.

Wallahua'lam.

خيرالعدل عبدالله

Khairul Adli Abdullah
1 Sya'ban 1437 | 9hb Mei 2016

http://khairuladeli.blogspot.my/


- Posted using BlogPress from my iPhone

ADAPTASI NOVEL: Insurgent








Suatu ketika di malam yang hening, saya berkesempatan menonton sebuah filem menarik yang berjaya menambat hati saya, yang berjudul Insurgent.

Ia adalah sebuah filem Inggeris yang diadaptasi daripada novel Inggeris terlaris dan merupakan kesinambungan daripada filem Divergent yang turut merupakan karya novel daripada penulis yang sama, Veronica Roth.

Mesej positif melalui cerita tersebut, adalah demi membaik pulih nilai kemanusiaan yang kian tandus, membanteras sifat assobiyyah (perkauman/sifat berpuak-puak/ketaksuban pada kumpulan) dan tentang nilai keberanian dalam melawan penindasan jua kezaliman.

Barangkali turut mahu menyindir fahaman Zionisma yang berpegang dengan konsep 'the surpreme of race' atau pun fahaman yang mengangkat pegangan bahawa hanya bangsa tertentu sahaja yang terbaik dan mulia serta mengatasi peradaban bangsa-bangsa lain dalam dunia ini.

2. Paling penting ia seakan menceduk konsep dan nilai Islam yang menggariskan tentang hak kesaksamaan setiap insan dan semua bangsa adalah sama.

Agak-agak di Malaysia kita yang tercinta ini, jika dihasilkan novel sebegitu rupa adakah ada potensi untuk menjadi karya sastera terlaris dan digemari ramai?

Sebab secara lazimnya, novel-novel berunsur cinta sahaja yang mampu menjadi terlaris dan digilai ramai.

Malahan pada telahan saya, plot penceritaan novel-novel cinta tempatan sudah terlalu klise.

Contoh:
1. Kahwin paksa
2. Kahwin kontrak
3. Kahwin perniagaan
4. Mula benci, kemudian sayang
5. Cinta antara dua darjat

Itulah antara bentuk dan rupa pasaran meletup novel di Malaysia secara lazimnya.

Namun, jika kita meneliti antara novel tempatan yang lazimnya hanya menyentuh hal remeh temeh tentang persoalan hati dan perasaan, dibandingkan dengan novel Inggeris yang menyentuh tentang sistem politik dan kemasyarakatan. Kedua-duanya ada pro dan kontra.

Sepertimana novel Inggeris, dari sudut positif kita akan melihat ia mengandungi unsur dan mesej yang menjentik daya kebijaksanaan para penonton untuk berfikir serta menyuntik semangat juang yang tinggi. Dari sudut negatif dan keji, terkadang para novelis mereka menyelitkan serta seakan mempromosi budaya negatif barat seperti pergaulan bebas dan amalan zina yang terkutuk.

Manakala novel-novel tempatan secara umumnya dari sudut positif, para penulis Muslim mempromosi pernikahan sebagai menutup jalan maksiat lagi keji berupa zina.

Cuma satu persoalan harus difikirkan oleh para novelis tempatan khususnya yang Muslim.

1. Adakah selain ibadah fardhu, juzuk Islam itu hanyalah pernikahan?

Cabang kehidupan yang lain adakah harus dilupakan dan dipinggirkan?

Bukanlah Islam itu merupakan cara hidup yang sempurna lagi menyeluruh?

Bukankah Islam itu mencakupi segala cabang aspek kehidupan?

2. Adakah anda tidak memikirkan tentang khidmat sosial dalam mendidik masyarakat?

Tidakkah anda melihat bagaimana runtuhnya akhlak dan adab segelintir remaja masa kini?

Tidakkah anda mahu turut sama menyumbang dalam mendidik anak-anak remaja kita cakna dengan isu-isu kemanusiaan?

3. Adakah anda tidak mahu menyumbang dalam melahirkan generasi pemimpin pelapis masa depan yang berintegriti dan berakhlak tinggi?

Tidakkah anda mahu menyumbang dalam melahirkan generasi yang berani menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan menurut prinsip amal 'makruf nahi mungkar' (menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran) yang telah digariskan Islam?

Meskipun begitu, tidaklah salah menjadikan unsur cinta sebagai asas dalam berkarya demi penghasilan sesebuah novel, cerpen mahu pun puisi. Kerana dengan cinta itu mampu melembutkan hati-hati yang keras, bongkak sombong takabbur serta menerapkan tentang peri pentingnya nilai dan erti kemanusiaan dalam sanubari setiap bergelar Muslim.

Cuma, alangkan lebih indah dan lebih menarik plot penceritaan jika bukan sekadar hanya bertemakan tentang cinta antara lelaki dengan wanita. Tetapi turut dibaluti dengan pelbagai nilai cinta yang lebih luas serta mengangkat unsur-unsur positif yang lain.

Khairul Adli Abdullah
27hb Mac 2016
http://khairuladeli.blogspot.my/



- Posted using BlogPress from my iPhone

Daya Saing Insan OKU





Masya-Allah. Saya berasa cukup kagum dengan kecekalan dan kesungguhan seorang insan yang senasib dengan saya bergelar insan OKU, sdr. Mohd Khairul Nizam Wahiddin yang merupakan ahli korporat berjaya.

Baharu berumur 26 tahun, sudah bergelar jutawan dengan mengasaskan sebuah produk wangian jenamanya sendiri. Iaitu Pink Floral by Dewamor.

Apatah lagi beliau seorang OKU dengan tangan yang hanya boleh digerakkan dengan 3 jari sahaja!

Bukti zaman globalisasi ini, kejayaan turut tiada bersempadan. Setiap insan dihidangkan dengan pelbagai peluang untuk menempa kejayaan yang diimpikan.

Sama ada mahu atau tidak itu persoalannya.

Sepertimana menjadi golongan bergelar penulis.

Mutakhir ini Majalah Tunas Cipta (TC), terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), membuka tawaran novel bersiri sepanjang 12 bab untuk majalah terbitan mereka.

Pihak terbabit turut menghantar mesej kepada saya untuk menerangkan secara terus tawaran tersebut.

Setiap bab, penulis akan dibayar dengan honorarium berjumlah RM200 x 12 bab = RM2400.

Agak berbaloi ganjarannya pada saya.

Malahan, para penulis yang terpilih dan tersiar ke semua 12 bab karya mereka di dalam TC, diberikan hak untuk menerbitkan novel mereka menjadi sebuah buku. Dengan syarat, memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu untuk serahan hakcipta.

Bermakna para penulis OKU turut tidak mustahil mampu berjaya dan berdaya saing dengan golongan yang normal.

Cuma masalah saya ini. Saya tidak boleh mengejar penghasilan sesuatu karya itu dengan terlalu pantas.

Kerana ia akan membuatkan saya mengalami tekanan cukup tinggi yang akan mengakibatkan masalah gastrik serius saya berulang.

Apa pun, pendapatan seorang penulis tidaklah sehebat sdr. Khairul Nizam yang boleh mencecah RM300,000 sebulan!

Namun, ia hanya diperingkat permulaan. Jika penulis tidak putus asa untuk meraih pendapatan tinggi, mereka harus berusaha lebih gigih demi menghasilkan pelbagai manuskrip buku yang ditulis secara solo seperti novel, anekdot dan sebagainya.

Apa yang penting, tajuk dan pengisian haruslah kreatif, tidak klise, menarik dan mengandungi nilai-nilai positif lagi bermanfaat.

Insya-Allah bukan sekadar laris dan akan menyumbang pendapatan yang lumayan buat para penulis. Tetapi akan menjadi dividen pelaburan Amanah Saham Akhirat Kekal Abadi (ASAKA).

Adli Abdullah
18hb Mac 2016
http://adli-abdullah.blogspot.my

- Posted using BlogPress from my iPhone

Retis Atau Artis?

Sumber Imej: Google
Dalam ramai-ramai zuriat kelahiran emak-ayah saya. Boleh dikatakan majoriti abang kakak saya adalah golongan yang berkelulusan tinggi dalam bidang yang profesional.

Sebagaimana Abang Long berkerjaya sebagai Jurutera Awam, Kak Ngah merupakan bekas Akauntan, Abang Lang sebagai Jurutera Mekanikal dan Kak Uda sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik.

Tiba-tiba boleh pula saya anak mereka bergelar Anak Seni dalam bidang seni penulisan. Kadangkala saya sendiri pun tidak menyangka begini takdirNya.

Segala yang berlaku itu ternyata di atas kehendak dan kudrat Yang Maha Esa.

Meskipun golongan Anak Seni tidak kira cabang mana sekalipun secara umumnya digelar Artis atau pun Seniman. Dan memang ada yang menggelar saya begitu semenjak saya terjebak dalam dunia penulisan. Saya tetap tidak berapa seronok dengan gelaran tersebut.

Kerana ayah saya agak alah dan tidak berapa menggemari gelaran tersebut. 

Barangkali kerana umumnya Artis adalah golongan yang terpalit dengan pelbagai kontroversi serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang bertunjangkan aqidah berpaksikan syariat.

Secara mudahnya kita lihat golongan Artis dalam cabang seni lakonan. 

Berapa ramai Artis yang berlakon tidak menjaga batas pergaulan halal haram antara lelaki dan wanita bukan mahram?

Berapa ramai Artis yang terjebak dalam skrip dan gaya pengarahan drama, filem mahu pun telefilem yang tidak patuh syariah?

Itulah antara faktor mengapa gelaran Artis penuh dengan pelbagai stigma negatif.

Barangkali ayah turut tidak mahu saya mudah lupa diri serta gilakan populariti.

Di atas dasar hormat itulah saya benar-benar segan apabila ada yang memanggil saya artis di hadapan ayah.

Paling saya berasa aneh sudah beberapa orang kawan menyatakan saya ini popular lah apalah. 

Barangkali itu hanyalah sekadar demi mengambil hati dan mengipas saya. 

Sedangkan saya tidaklah sepopular mana pun. Lihat sahaja kiriman-kiriman saya dalam laman-laman sosial saya.

Berapa kerat sahaja yang like kiriman saya di laman-laman sosial saya?

Memperolehi like 300-1000 dan lebih untuk setiap kiriman amatlah jarang-jarang sekali. Pernahlah ada beberapa kali itu pun hanya 600 like sahaja bagi kiriman dalam page. Bukan di sini ya.

Apa pun, secara positif masih wujud golongan Artis yang Islamik sepertimana artis-artis nasyid. Tidak kurang juga makin ramai artis-artis dalam cabang nyanyian lain serta cabang lakonan telah beroleh nikmat hidayah dan Islam.

Maka, apa jua bidang yang kita ceburi. Pastikan ia adalah suatu jalan dalam mencari rezeki yang halal lagi berkat serta menuruti budaya kerja yang berpandukan pedoman Islam dan akhirat.

Jadikanlah kerjaya kita itu sebagai suatu tuntutan ibadah serta medan menimba amal dan pahala. Kerana setiap pekerjaan yang baik itu boleh dikategorikan sebagai ibadah dan jihad demi memperolehi rezeki yang halal lagi baik. 

Ketahuilah, dunia ini hanyalah permainan yang penuh dengan tipu daya. Hanyalah persinggahan yang bakal kita tinggalkan kelak.

Kerana itulah menggapai redha Allah SWT adalah matlamat serta objektif utama kita sebagai hamba dan khalifah-Nya di muka bumi. 

Berdoalah agar segala amal dan bakti kita diterima Allah SWT. 

Adli Abdullah
10hb Mac 2016