Gegata Itu Merah Menyala?



Sumber: Google

Sejak semalam kulit saya mula bintat-bintat, merah-merah seperti kena 'Gegata'(Hives). Seorang doktor yang juga mak angkat saya kata, "puncanya kerana darah saya panas". Saya rasa mungkin saya telah terlebih makan ubat-ubatan rutin saya setiap hari, ditambah pula makanan tambahan berbentuk serat(fibre supplement) yang saya ambil sejak beberapa hari. Jadi saya harus sejukkan badan dengan berhenti seketika mengambil semuanya.

Menurut fakta perubatan, Gegata berupa penyakit alahan kulit. Ia muncul tiba-tiba, tanpa disedari. Simptonnya seperti, kulit akan kemerahan, bintat-bintat dan gatal-gatal. Gegata yang tidak serius bertahan kurang dari enam minggu. Manakala Gegata yang serius bertahan lebih dari enam minggu.


Tapi berdasarkan teori saya, ada kemungkinan penyakit alahan susu lembu yang saya alami semenjak lahir hingga zaman kanak-anak, telah kembali aktif. Kerana setelah dewasa hingga kini, saya selalu minum minuman coklat panas yang mengandungi susu lembu. Kesan dari pengambilan susu berkenaan semenjak beberapa tahun lepas menjadi faktor ianya kembali aktif.


Teori saya itu berdasarkan dari kajian pakar perubatan. Punca utamanya adalah dari alahan pemakanan seperti, kacang, coklat, ikan, telur, gandum, soya, susu dan makanan-makanan mentah. Atau pun lebih mudah, makanan tertentu yang seseorang itu alah. Kerana alahan makanan setiap orang adalah berbeza.


Walau bagaimana pun, ia hanyalah teori dan sekadar kajian menurut sains. Kerana hanya Allah S.W.T. Yang Maha Mengetahui segalanya secara tepat. Selebihnya kita hanya mampu berikhtiar, dan dengan izinNya, kesembuhan akan dikecapi.


Ikhtiar pertama yang Emak tersayang lakukan untuk merawat saya, adalah petua tradisional. Iaitu, kunyit yang ditumbuk dicampur dengan garam dan sedikit air. Seterusnya disapu pada permukaan kulit yang terlibat. Namun begitu untuk diri saya, ianya hanya hilang seketika pada waktu tengah hari, dan apabila petang ia kembali aktif.


Akhirnya saya menelan sebiji pil alahan, sebagai ikhtiar kedua. Alhamdulillah, nampaknya semakin kecut permukaan kulit yang bintat, dan semakin hilang kegatalan.


Seterusnya ikhtiar ketiga, saya akan cuba berhenti mengambil susu lembu buat sementara waktu. Dan alternatifnya, saya akan kembali minum soya sama seperti semasa zaman saya kanak-kanak.


Paling terakhir adalah, saya hanya mampu berdoa dan berserah padaNya.


Sekian,


Wallahu'alam.


Adli Abdullah

27hb Jun 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

p/s: Sebahagian fakta perubatan dikutip dari laman sesawang WebMd.


Kalimah Kasih Yang Dipinggirkan?



"Miss you, love you, take care", ungkapan yang lama sudah saya lupa ungkapkan dalam keluarga walau pun hanya dalam Sms, mesej dan perbualan di internet. Sungguh pun ia perkara remeh, tapi ia mampu memupuk kasih sayang keluarga. Kita sebagai Muslim wajib menyintai dan mengasihi saudara se-agama kita. Jadi, muqaddimah untuk cinta dan kasih terhadap saudara se-agama kita, adalah dengan sentiasa menyuburkan terlebih dahulu kasih sayang di dalam institusi keluarga masing-masing. Nabi SAW bersabda,
"Tidak sempurna iman seorang Muslim jika tidak mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri". (Riwayat Al-Bukhari)
Umat Islam kini berbalah walau pun hanya berbeza pendapat dalam perkara-perkara furu' (cabang hukum) dan perbezaan 'mazhab fiqh'. Mengapa ianya terjadi? Saya berpendapat ianya terjadi kerana rapuhnya semangat kasih sayang sesama Muslim, sifat mementingkan diri dan terlalu indivualistik dalam sanubari ummah masa kini. Sedangkan kita Muslim adalah bagai satu tubuh. Baginda SAW bersabda,

"Orang Islam seumpama satu tubuh, jika matanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya dan jika kepalanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, kita harus mulakan dalam keluarga kita semua, dengan amalkan ungkapan kalimah kasih sayang walau pun hanya dalam penulisan atau pun teks. Usah malu dan segan, kerana Islam itu indah dan mendamaikan. Justeru Islam menggalakkan apa sahaja perkara-perkara baik dan indah yang tidak bertentangan dengan aqiah dan syari'at.

Sekian,


Wallahu'alam.


Adli Abdullah
28 Jamadil Akhir 1432 Hijr | 1hb Jun 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

Published with Blogger-droid v1.6.9


Pesanan Buat Yang Dikasihi

Sumber: Google

Ingin saya menyeru kepada pemuda pemudi Islam yang saya kasihi, agar tidak menjerumuskan diri kalian ke perangkap zina dengan menyertai dan meraikan Hari Valentine. Firman Allah SWT,

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra': 32)
Tarikh Hari Valentines adalah bersempena memperingati seorang paderi Kristian, Saint Valentine, yang telah mati suatu ketika dahulu. Sesungguhnya orang-orang Muslim berbeza dengan yang bukan Muslim. Kerana agama Islam yang kita mengimani bukan sekadar agama, tetapi ia adalah cara hidup. Dan sebagai Muslim, kita ada jatidiri, budaya dan identiti tersendiri yang berpaksikan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Nabi SAW bersabda,
“Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”(Hadits Sahih - diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dll)
Justeru, jauhilah daripada menyertai Hari Valentines yang jelas bertentangan dengan Islam. Jakim telah mengfatwakan bahawa Hari Valentines adalah haram.

Untuk selanjutnya dan terperinci, kalian boleh merujuk kupasan lanjut di Laman Blog Ustaz Zaharuddin.


Adli Abdullah

10hb Rabiul Awwal 1432 Hijr | 13hb Februari 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

Adakah Sinar Keadilan Buat Rakyat Mesir?



Revolusi rakyat Mesir menggesa pengunduran Presiden Mesir, Hosni Mubarak dari takhta kerajaan di Mesir sudah berlanjutan selama 15 hari. Hosni adalah pemerintah yang paling lama memegang tampuk pemerintahan di Mesir selama 30 tahun dan rakyat sudah mula muak dengan korupsi, kezaliman, ekonomi yang teruk dan ketidak-adilan dalam sistem politik Mesir. Penindasan demi penindasan dilakukan beliau bagi mengekalkan kuasa.

Protes tersebut adalah pengaruh dari ‘Revolusi Tunisia’ yang telah berjaya menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden, Ben Ali yang juga seorang diktator.

Pencetus revolusi tersebut sudah tentu dari seorang pemuda Tunisia, bernama Mahmod Abouazizi yang membakar dirinya akibat faktor ekonomi yang menindas rakyat bawahan. Dari situ tercetusnya ‘Revolusi Tunisia’. Dan dijangkakan belia Algeria pula akan melakukan aksi yang sama seperti Mohamad Abouazizi demi protes supaya kerajaan mereka juga berundur.

Maka hati saya yang kerdil ini benar-benar berasa kagum dengan keberanian para belia Mesir dan semua peringkat umur di kalangan rakyat Mesir yang tidak berputus asa untuk menjatuhkan rejim Hosni Mubarak agar tertegaknya keadilan di bumi Anbiya’ itu. Walau terpaksa berkorban harta, nyawa dan darah, mereka terus berani memperjuangkan hak mereka yang selama ini dicabuli oleh pihak pemerintah. Sehingga kini angka kematian yang dicatatkan PBB, seramai 300 orang terbunuh semasa demonstrasi Revolusi Mesir.


Klip video lagu - 'Long Live Egypt'

Mungkin ada yang berpendapat tidak wajar melakukan demonstrasi tersebut kerana menimbulkan kacau bilau, menggugat kestabilan ekonomi, dan merosakkan segala harta benda awam. Manakala ada segelintir penuntut luar yang menuntut di Al-Azhar berkata, “Tidak wajar melakukan sedemikian, kita harus menggunakan cara yang lebih lembut”. Maka timbullah persoalan yang mudah adalah, mengapa harus menyalahkan rakyat sahaja apabila timbul situasi berkenaan? 

Sedangkan kita harus melihat dari kacamata rakyat Mesir itu sendiri:


1. Semasa demonstrasi sedang dan masih berlaku, ada sekumpulan polis berpakaian preman, ada juga yang menunggang kuda, yang menggelar diri mereka kumpulan ‘Pro-kerajaan’ bertempur dan menyerang rakyat Mesir. Itulah cara Hosni untuk mengekalkan kuasa, segala matlamat menghalalkan cara akan dilakukan.
2. Seterusnya kita harus berfikir, mengapa mereka memberontak? Bayangkan selama ini hampir 40 peratus rakyat Mesir menerima pendapatan hanya melalui ‘gaji harian’. Seperti yang abang saya ceritakan semasa beliau ke Mesir, apabila melihat teksi-teksi di sana menggunakan kenderaan yang amat dha'if. Dan kata abang saya, “Rakyat Mesir mendapat pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja”.
3. Selama ini telah ramai kalangan para ulama’ yang tidak sebulu dengan pemerintah akan dibunuh. Sungguh zalim Hosni Mubarak si Firaun moden!
4. Hosni Mubarak adalah tali barut Amerika Syarikat dan Zionis Israel sehingga sanggup menyokong tindakan Zionis menindas rakyat Palestin dengan menutup pintu sempadan Rafah-Palestin. Adakah harus membiarkan pengkhianat agama dan bangsa seperti itu terus berkuasa?
5. "The word 'stability' is a word the regime uses all the time - but ... what is stability without freedom?" Dr Sally Moore, a representative of the Popular Campaign in Support of Elbaradei (one of six groups that makes the "Youth of the Egyptian Revolution" coalition), told Al Jazeera.


Manakala dalam pada itu juga, mungkin ada segelintir ulama’ yang menggunakan dalil ‘Ulil Amri’ yakni taat kepada pemerintah demi mengecam rakyat Mesir yang menentang rejim Hosni Mubarak. Sedangkan ada ulama’ terulung menyokong tindakan kebangkitan rakyat Mesir. Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ada berfatwa, 
Pejuang yang mati berdemonstrasi aman di Mesir adalah syahid dan demonstrasi itu mesti disokong!"
Justeru itu, saya sendiri tidak pasti bagaimana berakhirnya kebangkitan rakyat Mesir, sama ada kemenangan berpihak kepada rakyat Mesir bersama pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin dan El Baradei, atau berpihak kepada pemimpin durjana itu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui bilakah kegemilangan Islam akan kembali bangkit. 

Sekian,


Wallahu’alam.

Adli Abdullah 
8hb Januari 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

Kembali Bertempur Di Medan 'Ilmu!

Rasa seperti sekelip mata sahaja tahun 2010 meninggalkan kita. Sungguh cepat masa berlalu tanpa terlewat walau sesaat. Benarlah firman Allah S.W.T,
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan yang beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran" (Surah Al-Asr: 1-3)
Hurm.... Sudah agak lama blog ini tidak dikemaskini atas sebab-sebab tertentu. Kembali mengemaskini dengan sebuah cerita di tahun baru 2011. Hari ini sudah memasuki 3hb Januari 2011, ramai pelajar-pelajar telah kembali ke sekolah dan ada juga yang kembali masuk kelas di IPTA & IPTS.


Selamat kembali bertempur di medan 'ilmu 
kepada semua pelajar-pelajar serta anak-anak saudara saya yang tersayang!

Anak-anak saudara saya ada pelbagai peringkat umur dari yang memasuki taska, tadika, hinggalah ke sekolah rendah.

 Muhammad Zunnuril Aiman, 
mula memasuki ke tahun 5, di sekolah Sri Hira'.

 Muhammad Nafees Syafi, mula masuk ke tahun tiga, 
di sekolah yang sama dengan Abang Longnya Aiman.

Manakala Muhammad Mu'az Wafi, 
kembali ke tadika 'Little Caliphs'. 

Seterusnya Muna Izzah 
kembali ke Sekolah Seksyen 4, Bangi 
dengan memasuki ke tahun 4.

 Adiknya Muhammad Ikmal pula,
mula memasuki tahun 1 
di Sekolah Integrasi Bangi.

Berikut pasangan adik beradik, 
Aida Nurlateefa(dari kiri) mula memasuki tahun 2, 
di Sekolah berdekatan Pantai Dalam. 
Manakala Ahmad Syamil(kanan) pula, kembali ke tadika. 

Akhir sekali Hariz Syahmiy, 
mula memasuki tadika pagi tadi.

Dan adiknya pula, Hazim Silmiy 
akan mula masuk ke taska pagi besok.

Begitulah cerita 'Anak-Anak Kembali Bersekolah', berbagai ragam dan gaya pasti berbeza di antara mereka semua. Kecuali Hazim dan 4 orang anak-anak saudara saya belum memasuki alam tadika mahu pun alam persekolahan. Tetapi aku sengaja berminat menyelitkan cerita tentang Hazim walau pun baru memasuki taska.

Saya berharap agar mereka semua akan menjadi insan berguna kepada Islam, negara, masyarakat dan aset kepada dunia Islam secara keseluruhan. Serta menjadi golongan profesional yang pakar bukan sahaja dalam bidang 'ilmu dunia, bahkan bidang 'ilmu akhirat.

Sesungguhnya 'ilmu itu penting buat setiap Muslim bagi menjadi insan yang berakal. Kerana Islam itu sendiri agama untuk mereka berakal dan celik hatinya.
"Menuntut 'ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim" (Riwayat Ibnu Majjah)
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
28 Muharam, 1432 Hijr | 03hb Januari, 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com