'Countdown' Untuk GST & Kesan Kepada Rakyat?


Menjelang 1 April 2015, keresahan dan kegusaran rakyat berpendapatan rendah serta peniaga-peniaga kecil sudah tiba ke kemuncaknya. Dalam suasana dengan kos saraan hidup yang semakin meningkat, sistem percukaian GST menjadi antara topik hangat di masa ini.

GST bermaksud good and service tax atau dalam Bahasa Melayu-nya sebagai cukai barangan dan perkhidmatan. Ianya sebagai penstrukturan semula sistem cukai barangan di Malaysia bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan SST. Perbezaan ketara antara GST dengan SST adalah skop keluasan perkara yang boleh dicukaikan oleh pihak kerajaan. Malahan GST meliputi apa jua bentuk perkhidmatan termasuk yuran universiti dan tuisyen. Manakala SST tidak meluas skop perkhidmatan yang boleh dicukaikan.

Melihat pelbagai kempen cukai GST di kaca televisyen, semuanya indah dan manis belaka. Mereka kata banyak harga barang akan turun, harga rumah tidak naik kerana tidak dikenakan GST, ubat-ubatan juga tidak dikenakan GST. Dalam masa yang sama, buku-buku turut dikecualikan GST.

Namun ada perkara-perkara tertentu masih samar dan menjadi kemusykilan.

Contohnya:

(a). Peniaga makanan kecil tidak perlu bayar cukai GST dan mengenakannya kepada para pelanggan. Kerana GST hanya dikenakan kepada syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan setahun RM500,000 ke atas. Namun para peniaga kecil tersebut terpaksa menanggung kos setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.
(b). Perumahan tiada GST. Namun, setiap bahan-bahan pembuatannya pasti ada yang dikenakan GST. Maka, mungkinkah harga rumah akan berisiko naik?
(c). Barangan ilmu seperti buku dikecualikan GST. Namun, setiap bahan-bahan untuk membuatnya tetap ada GST. Maka, tidak mustahil kos pembuatan buku akan meningkat dan mungkin harga buku akan naik, sekiranya pihak penerbitan tidak mencari alternatif bagi menangani kesan kenaikan kos.


1. Kita melihat kadar cukai GST kelihatan sedikit iaitu hanya sebanyak 6%. Namun berdasarkan telahan awal saya, ia adalah cukai yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Kerana dari awal proses penghasilan sesuatu barangan itu, sudah adanya cukai GST untuk setiap rantaian bekalan.

Contohnya:

Pengilang mengenakan kepada pemborong GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Pemborong mengenakan kepada peruncit GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Peruncit mengenakan kepada pengguna GST 6% (bagi setiap barangan)
= Menjadikan jumlah keseluruhan cukai sebanyak 18% (bagi setiap barangan)


Maka, ia bukanlah semudah yang kita sangkakan, dengan melihat cukai 6% hanya dalam resit jualan produk yang dikenakan GST yang kita beli. Malahan berkemungkinan boleh mengakibatkan harga barangan tertentu melambung tinggi berbanding sebelum GST dilaksanakan. Kerana, ia tidak seperti cukai SST yang sekali gus dimasukkan dalam jumlah keseluruhan harga jualan/belian.

Lantaran dari itu, pihak kerajaan perlulah telus memberi penjelasan kepada rakyat tentang hakikat sebenarnya sistem percukaian GST.

2. Saya menyambut baik langkah yang diambil Mydin dan Oppo yang merupakan antara syarikat besar dengan menyerap cukai GST agar para pelanggannya tidak dikenakan cukai tersebut. Namun, bagi para peniaga kecil, mungkin mereka terpaksa menaikkan harga barangan untuk menampung kos daripada setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.

Walau bagaimana pun, diperakui GST adalah sistem percukaian paling berkesan dan mampu menjamin pendapatan yang terbaik buat negara. Berkemungkinan dari situlah gaji kakitangan awam mampu dinaikkan dan banyak kebaikan boleh dirasai bersama. Namun, pihak kerajaan perlulah menimbang dengan seteliti mungkin sebelum melaksanakan GST. Apakah sudah sesuai untuk dilaksanakan dalam suasana rakyat bawahan masih terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?

Sedang para pemimpin negara hidup dalam keadaan senang lenang dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti gaji yang tinggi, elaun rumah, elaun keraian, minyak percuma dan sebagainya. Maka adakah ia suatu yang adil untuk dilaksanakan sekarang? Dan adakah majoriti rakyat sudah benar-benar faham apa itu GST?

Sedangkan hukum hudud sendiri pun sebelum dilaksanakan, perlu memastikan sama ada rakyat sudah benar-benar faham tentangnya serta adakah penjelasan sudah diberikan secara meluas sepertimana promosi hebat berkenaan GST yang dipaparkan di media-media arus perdana.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sebelum melaksanakan undang-undang Islam hendaklah dipastikan terlebih dahulu rakyat yang susah sudah cukup makan.

Sekiranya hendak melaksanakan undang-undang Allah SWT perlu dikaji dan dilihat pelbagai aspek terlebih dahulu. Apatah lagilah cukai ciptaan manusia. Maka, pihak kerajaan sekiranya mahu teruskan GST, ada baiknya laksanakan hanya dalam tempoh percubaan terlebih dahulu dengan menetapkan tempoh tertentu. Dari situ kita akan dapat melihat sama ada ia sudah sesuai atau tidak untuk dilaksanakan dalam konteks semasa di Malaysia.


Walau bagaimana pun, sebelum melaksanakan GST bagi mengatasi masalah defisit dan hutang negara yang melonjak tinggi yang sudah melebihi 50%.

Antara langkah yang disarankan:

(a). Adalah lebih baik ditumpukan dahulu langkah bagi mengatasi masalah ketirisan dan rasuah yang boleh merencatkan ekonomi secara lebih berkesan dan telus.
(b). Para pemimpin perlulah terlebih dahulu mempamerkan teladan yang baik dengan berjimat cermat dalam pentadbiran dan penggunaan dana awam, sebelum menyeru rakyat bawahan berjimat cermat.

Namun, alangkah lebih indah sekiranya para pemimpin negara mampu mencontohi peribadi dan integriti Saidina Umar bin Abdul Aziz. Hanya sebatang lilin milik kerajaan pun beliau amat berhati-hati dan hanya digunakan atas urusan rasmi, bukan urusan peribadi. Paling menakjubkan, beliau hanya memerintah selama 30 bulan.

Tetapi semasa era pemerintahannya, Wilayah Islam ketika itu aman makmur serta sangat cemerlang dan gemilang. Harta negara diagihkan secara adil dan saksama. Sehinggakan sampai satu tahap tidak ditemui langsung golongan fakir miskin untuk tujuan pengagihan zakat. Begitulah antara kisah yang paling berkesan dijadikan teladan bagi setiap para pemimpin negara dengan mengutamakan ketelusan dan integriti seperti Saidina Umar bin Abdul Aziz.

Sekian,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah

31hb Mac 2015
http://adli-abdullah.blogspot.com.my

Menjana Minda Terbuka (Generate Open Mind)


BAHASA MELAYU:

Demi menjana minda terbuka, kita harus punya keterbukaan akal fikiran dalam menerima dan menilai setiap perkara. Contoh paling mudah, istilah 'liberal' boleh dilihat dari sudut positif jika mahu. Kena kajilah apa itu 'liberal' menurut bahasa. Sama juga maksud 'kebebasan', jika digunakan untuk menterjemahkan perkara-perkara positif, pasti positif jadinya.

Sebab itu saya tidak mudah melenting apabila terbaca ada komen di fb menyatakan, "Islam itu sudah tersedia liberal." Kerana antara nilai Islam itu sendiri adalah 'kebebasan'. Iaitu, membebaskan insan daripada perhambaan sesama makhluk dengan memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Contoh mudah kedua untuk membentuk minda terbuka. Dalam kita menonton cerita, tidak semestinya menonton cerita yang sudah berlabel kisah dakwah. Cerita yang menyantuni kisah-kisah inspirasi dan membangun semangat, bagus juga untuk ditonton dan dikutip nilai-nilai positif terkandung dalamnya.

Sama juga lagu-lagu yang menjadi halwa telinga, tidak semestinya yang berlabel nasyid. Boleh juga dengar lagu-lagu Ramli Sarip, M. Nasir dan sebagainya. Namun, secara peribadinya untuk hiburan berbentuk lagu, saya lebih suka mendahulukan lagu-lagu nasyid.

Kerana selain genre tersebut, kebanyakkannya hanya bertumpu pada seseorang yang dicintai seperti teman wanita dan sebagainya. Malahan, dikhuatiri hingga tahap memuja-muja dan memuji-muji makhluk. Sedang kita Muslim terdidik hanya memuja serta mengagung-agungkan Allah SWT.

Maka, demi menjana minda yang terbuka serta tidak jumud. Usah terlalu mudah menghukum sesuatu perkara itu negatif. Kemudian dalam berhujah dan menyata pandangan, usah sesekali mengguna senjata label melabel. Dikhuatiri boleh meretakkan hubungan persaudaraan dan masyarakat. Paling runcing, timbul pula isu takfir (mengkafirkan) sesama Muslim. Nauzubillahi mindzalik. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sekian,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah
20 Zulkaedah 1435 | 15hb September 2014


ENGLISH:

In order to generate an open mind, we must have the openness of mind in receiving and evaluating each matter. The simplest example, the term of "liberal" can be seen from the positive side if you want. We need to study what is the 'liberal' meaning by language. Similarly, the meaning of 'freedom', if used to translate the positive things, positive sure it was.

That's why i do not easily get irritated when i came across some comments on fb stating, "Islam was already in place a liberal." Because the values ​​of Islam is 'liberty'. And, freeing people from the slave of human to the slave of Allah.

A second simple example to form an open mind. When we watch the story, not only watch a story that has been labeled the story of da'wah. The inspiring stories and developing the spirit, it's good to watch and  cited the positive values ​​contained therein.

Entertainment like music into our ear everyday, not necessarily only to listen labeled nasyid songs. We also can listen to the songs like Ramli Sarip, M. Nasir and others. But my personally opinion, for entertainment in the form of a song, i prefer putting nasyid songs first.

For other genres song, mainly focusing on the person who is loved like a girlfriend and so on. In fact, the level of concern to laud and praise the creature. As Muslim, we are educated to worship and glorify Allah.

So, in order to generate an open mind and not rigid. Do not be too easy to judge things negatively. Then in view of arguing and said, do not ever use the weapon of labeling. These can cracking brotherhood and community relations. Most acute, there is the issue of takfir among Muslims. Nauzubillahi mindzalik. Let go the negative, take the positive.

Thank you,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah
20 Dhulkaedah 1435 | 15th September 2014 
http://adli-abdullah.blogspot.com

Simpati Israel Hanya Dusta!


Mutakhir ini Israel cuba meraih simpati dunia dengan dakwaan serangan roket pejuang Al-Qassam adalah tidak berperikemanusiaan dengan mensasarkan roket ke kawasan awam Israel?? Adakah wajar dakwaan sedemikian rupa? Tatkala dilontarkan persoalan ini, saya turut sama buntu tidak mampu merungkai dan menangkis propaganda empati Israel.

Ternyata, Israel laknatullah memang pakar dalam berdusta memutar belit fakta. Maka, harus difahami dan diselami bahawa, pejuang Al-Qassam tiada pilihan objektif selain daripada berusaha mempertahankan diri dan kedaulatan tanahair mereka sehabis mungkin setakat apa yang terdaya dalam keadaan kecanggihan ketenteraan mereka yang belum setanding teknologi pihak musuh. Ia juga sebagai usaha pengusiran masyarakat awam Israel yang sebenarnya merupakan golongan penceroboh dengan menduduki tanah hak milik rakyat Palestin berdaulat secara haram semenjak bermulanya penaklukan Israel pada 15hb Mei 1948 yang dinamakan sebagai peristiwa Nakbah (malapetaka).

ISRAEL CENGKAM PALESTIN

Sedekad berlalu, tanahair kita, Malaysia menerima kemerdekaan daripada penjajah Biritish. Meskipun begitu, masih ada di kalangan kita yang mengalami penjajahan minda dan jiwa. Mengaku Muslim, tetapi cara hidupnya kebaratan yang kadangkala terpesong jauh daripada akar budi dan nilai Islam. Namun, cukup mendukacitakan, Palestin terus bermandi darah dicengkam rejim Israel yang langsung tiada nilai kemanusiaan. Pembentukan negara haram Israel, adalah berpunca daripada pihak British yang pernah menjajah Palestin pada tahun 1917.

Kemudian, disusuli perpindahan bangsa Yahudi secara besar-besaran yang dinaungi British dari tahun 1918-1947. Lalu, negara haram Israel ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1948 dengan bantuan Amerika Syarikat dan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia. Secara ringkas, begitulah kisah bermulanya peristiwa hitam dunia Islam dengan kejatuhan pemerintahan khalifah Islam terakhir, Uthmaniyyah pada tahun 1917 dan terlepasnya Palestin ke tangan musuh-musuh Islam.

PENCEROBOH YANG BIADAP

Golongan penceroboh dan pendatang haram itu tiada sebarang hak mempertahankan apa yang bukan hak milik mereka. Ibarat tetamu tidak diundang berlaku biadab melawan tuan rumah yang berhak ke atas rumahnya sendiri. Malahan, tetamu tidak diundang itu turut menyerang tuan rumah dengan pelbagai peralatan canggih seperti, jet pejuang, kereta kebal, kapal perang, peluru berpandu dan bom yang boleh disasarkan menurut sasaran dikehendaki. Wajarkah berlaku sedemikian rupa?? Tepuk dada tanyalah hati nurani kalian dengan akal fikiran yang waras dan luhur.

Lantaran itu, ada beberapa persoalan harus dibangkitkan kepada Israel:

1. Adakah wajar Hamas dan rakyat Palestin hanya berpeluk tubuh menjadi bacul?? Sedangkan para ulama' telah menyatakan, perjuangan mempertahankan Palestin daripada Israel itu wajib hukumnya meskipun syahid! Malahan, menjadi kewajipan umat Islam yang berada di luar Palestin turut sama berjuang mengangkat senjata ke sana jika berkemampuan atau pun menghulur sebarang bantuan kemanusian dan perubatan. Kerana di sana terletaknya sebuah tanah suci ketiga umat Islam, iaitu Masjid Al-Aqsa yang turut merupakan qiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjid Al-Haram.

2. Adakah adil menyamakan kemampuan senjata roket Palestin tiada panduan arah dan sasaran itu dengan peluru berpandu Israel?? Sedangkan Israel memiliki kemampuan mensasarkan ke mana sahaja sasaran dikehendaki. Dan mereka telah melakukan pelbagai siri serangan dan pengeboman dengan sengaja di kawasan awam penduduk Palestin!!

Maka, apa hak Israel menimbulkan isu kemanusiaan ke atas Palestin dengan dakwaan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu?? Malahan, Israel sudah sekian lama menyembelih, meratah dan mencetuskan jenayah perang ke atas nyawa anak-anak kecil, wanita, warga emas dan seluruh rakyat Palestin tidak berdosa. Dajjal Israel!!

Sekian,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah
17 Ramadhan 1435 | 15hb Julai 2014
http://adli-abdullah.blogspot.com

Rujukan:
1. E-book Sejarah Kejatuhan Palestin Dan Kewujudan Israel - Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

Signifikan Ekonomi Kita Dengan Negara Maju?


Melihat iklim ekonomi beberapa buah negara maju tertentu. Menjentik minda saya untuk membandingkan dengan tanahair tercinta kita, Malaysia. Khabarnya, ada di antaranya mempunyai kuasa membeli yang cukup rendah. Kerana merupakan negara termahal di dunia. Lantaran itu, adalah tidak wajar sekiranya rakyat Malaysia terlalu mudah berasa senang hati duduk goyang kaki sambil mengungkapkan ayat klise, "Syukur Malaysia masih aman." 

Mungkin ada pula yang akan menyanggah, "Gaji kakitangan awam di sana lebih tinggi dan mewah." Benar apa yang diperkatakan itu, sekiranya dibandingkan pendapatan mereka dari sudut ukuran nilai matawang. Namun, sekiranya dibandingkan dari sudut kesempitan kos sara hidup, saya merasakan tiada perbezaan yang ketara. Cuma negara kita, dari segi harga barangan, perubatan dan pendidikan mungkin belum semahal mereka.

BAKAL SETARA

Tidak mustahil kita bakal setara mereka. Kini Malaysia, berdikit-dikit sedang melalui proses peningkatan kos dan harga barangan. Harga minyak, tarif elektrik, tarif air melambung naik merupakan antara faktor kenaikan berganda harga makanan dan barangan. Maka, kita harus bersiap siaga dari sekarang, cuba meraih pendapatan sampingan. Mungkin boleh berniaga dengan mengedar produk tertentu. Atau yang berbakat menulis, mungkin boleh membina kerjaya berkonsep 2 dalam 1, sebagai penulis dan usahawan di penerbitan indie.

Cuma saya berasa sedikit musykil. Sekiranya semua mahu menjadi peniaga, siapa pula mahu menjadi pengguna? Kuasa membeli tidak mustahil akan merosot. Namun, setelah direnung kembali, ianya bukanlah suatu masalah. Setelah memperolehi keuntungan menjual produk syarikat lain, kemudian boleh beli produk syarikat lain pula. Maka, kuasa membeli mungkin tidak terjejas.

RAKYAT BOROS

Di kala merujuk soal pembaziran dan ketirisan perbelanjaan. Adalah tidak adil sekiranya diaudit sikap boros berbelanja (tanpa perancangan yang teliti) hanya kepada rakyat bawahan yang marhaen sahaja. Sedangkan sikap boros dan bermewah-mewahan pemerintah, tidak wajar sekiranya tiada siapa yang berani mengaudit, menegur dan membantah. Seharusnya pihak pemerintah turut mempamerkan tauladan yang baik kepada rakyat dalam soal berjimat cermat. 

Bukan hanya menyalahkan rakyat dengan menyatakan, "Bayar bil telefon bimbit tinggi boleh, bayar Astro mahal boleh, bayaran ansuran kereta beratus-ratus ringgit boleh. Kemudian mempertikaikan harga minyak naik, tarif utiliti naik, merungut wujudnya tol, pinjaman PTPTN, GST dan sebagainya." Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Cuma kita harus bijak menegur siapa sahaja yang tersilap. 

Oleh itu, walau siapa pun kita, haruslah berani saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Tidak kiralah yang tersilap dan boros berbelanja itu siapa dan apa jua darjat mereka. Sama ada golongan bangsawan, konglomerat atau pun bukan. Sedangkan khalifah-khalifah Islam terawal, cukup tawaduk serta terbuka menerima sebarang teguran dari rakyat bawahan. 

Sekian,

والله أعلمُ بالـصـواب

'Dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'

Adli Abdullah
15hb Mei 2014
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Misteri Kehilangan MH370


Kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200ER dengan kod penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) daripada pengesanan radar lebih kurang sejam setelah berlepas pada sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya, 8hb Mac 2014 masih diselubungi misteri. Pesawat tersebut membawa seramai 227 orang penumpang termasuk 12 orang anak kapal. Pakar-pakar penerbangan menyatakan sebuah alat pengesanan pesawat yang dinamakan transponder berkemungkinan dimatikan.

Misi mencari dan menyelamat (MDM) melibatkan 26 buah negara. Pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan pencarian di beberapa kawasan Asia Tenggara. Setelah seminggu penemuan tidak berhasil, kawasan pencarian diperluaskan ke beberapa kawasan di Asia Tengah dan Asia Selatan. Atau lebih mudah dan tepat disebutkan Koridor Utara dan Koridor Selatan. Koridor Utara menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan dan Turkmenistan, manakala Koridor Selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Beberapa satelit yang bukan direka khas untuk perisikan dan MDM daripada agensi-agensi satelit tertentu turut diminta memberikan bantuan kepada pasukan MDM bagi mengesan pesawat tersebut. Namun, masih belum menghasilkan sebarang penemuan pesawat tersebut.

RAKYAT MALAYSIA BERKABUNG

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa yang tiada sebarang pertalian kekeluargaan mahu pun persahabatan bagaikan bersatu hati turut sama berkongsi kerisauan dan kebimbangan bersama seluruh ahli keluarga penumpang serta anak kapal dengan berdoa demi penemuan pesawat MH370.

Upacara solat hajat telah dilaksanakan oleh berbagai pihak di kalangan beragama Islam. Manakala bagi penganut agama lain melakukan upacara doa menurut cara agama masing-masing.

KEMUNCULAN TEORI

Pelbagai teori dan andaian muncul dari kalangan pengamal-pengamal media sosial dan media maya. Ada yang berteori ini adalah konspirasi Amerika Syarikat (AS) sekadar mencari kesempatan memasuki perairan negara-negara Asia terutamanya China demi agenda tersembunyi, ada yang berteori ini angkara Russia berkaitan krisis Ukraine bagi mengugut AS agar tidak campur tangan, ada pula yang berteori seakan filem perisikan terkenal James Bond dan Mission Impossible dengan menyatakan bahawa pesawat tersebut terbang menuju ke Kazakhstan secara halimunan dengan mematikan transponder dan mengekori rapat bayang-bayang sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang menuju ke Barcelona secara kebetulan pada saat itu melalui laluan di mana pesawat MH370 hilang daripada pengesanan radar tentera.

Termasuklah teori dengan dakwaan yang tidak munasabah oleh sebuah media United Kingdom (UK) bagi mengaitkan ketua juruterbang pesawat tersebut, iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan sebuah parti pembangkang dan seorang pemimpin tertinggi parti tersebut. Dakwaan tersebut bakal menimbulkan persoalan, adakah juruterbang peribadi Perdana Menteri, Kapten Norudin Abd. Majid yang merupakan rakan karib Kapten Zaharie turut sama akan terkait??

Tidak kurang juga teori yang agak mendukacitakan mengaitkan kehilangan tersebut dengan puak Islam tertentu. Apabila muncul dakwaan sebegini, suka saya mengambil sikap mencurigai kebenarannya terlebih dulu. Kerana khuatir terperangkap dengan permainan sekolompok pihak barat yang gemar mengaitkan Islam dengan keganasan. Sebagai contoh, keganasan dan letupan yang berlaku di Mesir, sehingga kini saya masih tidak percaya dengan dakwaan bahawa ia angkara gerakan Ikhwanul Muslimin (IM). IM merupakan gerakan Islam terbesar di dunia yang cukup terkenal dengan sifat keterbukaan dan kesederhanaan.

SIMULATOR DISIASAT

Apabila komputer simulator penerbangan Kapten Zaharie menjadi antara bahan penyiasatan, bikin saya rindu dengan kenangan mengujakan suatu ketika dulu bermain permainan komputer Microsoft Flight Simulator bersama anak-anak saudara saya menggunakan komputer desktop gaming (berkuasa pertengahan) saya yang telah dijual. Memadam simpanan permainan (save games) menjadi suatu kelaziman. Bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

Termasuklah persoalan landasan-landasan pelik yang menjadi pilihan Kapten Zaharie dalam permainan simulator penerbangan milik beliau. Menurut mantan Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain mengakui bukanlah suatu perkara yang luar biasa bagi mana-mana juruterbang memilih landasan-landasan pelik dalam permainan simulator tersebut dan ia sekadar suka-suka sahaja. Kerana di alam realiti adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka melakukannya.

Bermakna permainan simulator penerbangan belum tentu dapat membuktikan apa-apa. Cuma ianya sebuah permainan video/komputer yang agak rumit dan mencabar. Dan mendedahkan kita orang awam betapa sukarnya untuk menerbangkan sesebuah pesawat. Tabik hormat buat Kapten Zaharie dan para juruterbang sekalian!

IKTIBAR KEHILANGAN

Saya amat bersimpati dan menumpang perasaan duka menimpa ke atas semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Ketahuilah apabila ALLAH SWT menguji, DIA mahu kita meminta serta tidak melupakanNYA pada tiap saat dan ketika. Teruskan berdoa agar segera hadirnya berita gembira. Turut berdoa agar dikurniakan dariNYA kesabaran, ketabahan dan sifat redha dalam sanubari kalian sebagai persediaan sekiranya menerima berita sebaliknya.

Kedua, saya amat berharap agar pihak MAS menerima kehilangan pesawat tersebut sebagai teguran daripada ALLAH SWT agar mencontohi syarikat penerbangan milik Islam yang lain seperti Saudi Arabian Airlines (SAA) yang mengundang keselamatanNYA dengan memasang audio bacaan doa naik kenderaan semasa pesawat hendak berlepas. Secara tidak langsung memberi peringatan kepada para penumpang beragama Islam untuk turut membacanya. Seterusnya, mengundang keredhaanNYA dengan menyediakan ruang khas solat, menetapkan kod berpakaian para juruterbang dan anak kapal yang menutup aurat dan mengharamkan arak. Begitulah pengalaman saya semasa menaiki penerbangan SAA beberapa tahun yang lalu.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
20hb Mac 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com/