Menjelang 1 April 2015, keresahan dan kegusaran rakyat berpendapatan rendah serta peniaga-peniaga kecil sudah tiba ke kemuncaknya. Dalam suasana dengan kos saraan hidup yang semakin meningkat, sistem percukaian GST menjadi antara topik hangat di masa ini.
GST bermaksud good and service tax atau dalam Bahasa Melayu-nya sebagai cukai barangan dan perkhidmatan. Ianya sebagai penstrukturan semula sistem cukai barangan di Malaysia bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan SST. Perbezaan ketara antara GST dengan SST adalah skop keluasan perkara yang boleh dicukaikan oleh pihak kerajaan. Malahan GST meliputi apa jua bentuk perkhidmatan termasuk yuran universiti dan tuisyen. Manakala SST tidak meluas skop perkhidmatan yang boleh dicukaikan.
Melihat pelbagai kempen cukai GST di kaca televisyen, semuanya indah dan manis belaka. Mereka kata banyak harga barang akan turun, harga rumah tidak naik kerana tidak dikenakan GST, ubat-ubatan juga tidak dikenakan GST. Dalam masa yang sama, buku-buku turut dikecualikan GST.
Namun ada perkara-perkara tertentu masih samar dan menjadi kemusykilan.
Contohnya:
(a). Peniaga makanan kecil tidak perlu bayar cukai GST dan mengenakannya kepada para pelanggan. Kerana GST hanya dikenakan kepada syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan setahun RM500,000 ke atas. Namun para peniaga kecil tersebut terpaksa menanggung kos setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.
(b). Perumahan tiada GST. Namun, setiap bahan-bahan pembuatannya pasti ada yang dikenakan GST. Maka, mungkinkah harga rumah akan berisiko naik?
(c). Barangan ilmu seperti buku dikecualikan GST. Namun, setiap bahan-bahan untuk membuatnya tetap ada GST. Maka, tidak mustahil kos pembuatan buku akan meningkat dan mungkin harga buku akan naik, sekiranya pihak penerbitan tidak mencari alternatif bagi menangani kesan kenaikan kos.
1. Kita melihat kadar cukai GST kelihatan sedikit iaitu hanya sebanyak 6%. Namun berdasarkan telahan awal saya, ia adalah cukai yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Kerana dari awal proses penghasilan sesuatu barangan itu, sudah adanya cukai GST untuk setiap rantaian bekalan.
Contohnya:
Pengilang mengenakan kepada pemborong GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Pemborong mengenakan kepada peruncit GST 6% (bagi setiap barangan)
+ Peruncit mengenakan kepada pengguna GST 6% (bagi setiap barangan)
= Menjadikan jumlah keseluruhan cukai sebanyak 18% (bagi setiap barangan)
Maka, ia bukanlah semudah yang kita sangkakan, dengan melihat cukai 6% hanya dalam resit jualan produk yang dikenakan GST yang kita beli. Malahan berkemungkinan boleh mengakibatkan harga barangan tertentu melambung tinggi berbanding sebelum GST dilaksanakan. Kerana, ia tidak seperti cukai SST yang sekali gus dimasukkan dalam jumlah keseluruhan harga jualan/belian.
Lantaran dari itu, pihak kerajaan perlulah telus memberi penjelasan kepada rakyat tentang hakikat sebenarnya sistem percukaian GST.
2. Saya menyambut baik langkah yang diambil Mydin dan Oppo yang merupakan antara syarikat besar dengan menyerap cukai GST agar para pelanggannya tidak dikenakan cukai tersebut. Namun, bagi para peniaga kecil, mungkin mereka terpaksa menaikkan harga barangan untuk menampung kos daripada setiap bahan-bahan pembuatan (yang bukan mentah) yang dikenakan GST.
Walau bagaimana pun, diperakui GST adalah sistem percukaian paling berkesan dan mampu menjamin pendapatan yang terbaik buat negara. Berkemungkinan dari situlah gaji kakitangan awam mampu dinaikkan dan banyak kebaikan boleh dirasai bersama. Namun, pihak kerajaan perlulah menimbang dengan seteliti mungkin sebelum melaksanakan GST. Apakah sudah sesuai untuk dilaksanakan dalam suasana rakyat bawahan masih terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?
Sedang para pemimpin negara hidup dalam keadaan senang lenang dengan menikmati pelbagai kemudahan seperti gaji yang tinggi, elaun rumah, elaun keraian, minyak percuma dan sebagainya. Maka adakah ia suatu yang adil untuk dilaksanakan sekarang? Dan adakah majoriti rakyat sudah benar-benar faham apa itu GST?
Sedangkan hukum hudud sendiri pun sebelum dilaksanakan, perlu memastikan sama ada rakyat sudah benar-benar faham tentangnya serta adakah penjelasan sudah diberikan secara meluas sepertimana promosi hebat berkenaan GST yang dipaparkan di media-media arus perdana.
Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sebelum melaksanakan undang-undang Islam hendaklah dipastikan terlebih dahulu rakyat yang susah sudah cukup makan.
Sekiranya hendak melaksanakan undang-undang Allah SWT perlu dikaji dan dilihat pelbagai aspek terlebih dahulu. Apatah lagilah cukai ciptaan manusia. Maka, pihak kerajaan sekiranya mahu teruskan GST, ada baiknya laksanakan hanya dalam tempoh percubaan terlebih dahulu dengan menetapkan tempoh tertentu. Dari situ kita akan dapat melihat sama ada ia sudah sesuai atau tidak untuk dilaksanakan dalam konteks semasa di Malaysia.
Walau bagaimana pun, sebelum melaksanakan GST bagi mengatasi masalah defisit dan hutang negara yang melonjak tinggi yang sudah melebihi 50%.
Antara langkah yang disarankan:
(a). Adalah lebih baik ditumpukan dahulu langkah bagi mengatasi masalah ketirisan dan rasuah yang boleh merencatkan ekonomi secara lebih berkesan dan telus.
(b). Para pemimpin perlulah terlebih dahulu mempamerkan teladan yang baik dengan berjimat cermat dalam pentadbiran dan penggunaan dana awam, sebelum menyeru rakyat bawahan berjimat cermat.
Namun, alangkah lebih indah sekiranya para pemimpin negara mampu mencontohi peribadi dan integriti Saidina Umar bin Abdul Aziz. Hanya sebatang lilin milik kerajaan pun beliau amat berhati-hati dan hanya digunakan atas urusan rasmi, bukan urusan peribadi. Paling menakjubkan, beliau hanya memerintah selama 30 bulan.
Tetapi semasa era pemerintahannya, Wilayah Islam ketika itu aman makmur serta sangat cemerlang dan gemilang. Harta negara diagihkan secara adil dan saksama. Sehinggakan sampai satu tahap tidak ditemui langsung golongan fakir miskin untuk tujuan pengagihan zakat. Begitulah antara kisah yang paling berkesan dijadikan teladan bagi setiap para pemimpin negara dengan mengutamakan ketelusan dan integriti seperti Saidina Umar bin Abdul Aziz.
Sekian,
Wallahua'lam.
Adli Abdullah
31hb Mac 2015
http://adli-abdullah.blogspot.com.my