Ziarah Munif Hijjaz - Dengan Nyanyian: Kasih Ibu Bapa



Persembahan istimewa oleh abang angkat saya, Abang Munif Hijjaz, dengan sebuah lagu lama yang pernah dipopularkan oleh sebuah kumpulan nasyid lagenda, Orkes El-Suraya, yang bertajuk 'Kasih Ibu Bapa'.


Ianya dirakam, semasa Abang Munif ziarah ke rumah saya bersama isteri beliau, Kak Ida Munif, Ibu beliau (tengah) dan beberapa orang ahli keluarga beliau yang lain.



Ini adalah kali ketiga Abang Munif bertandang ke rumah saya, barulah saya berani membuat lagu permintaan daripada beliau. Itu pun, di atas cadangan salah seorang kakak saya yang juga meminati kumpulan Hijjaz.



Sebenarnya, pertama kali, saya dan mak mengenali Abang Munif hanyalah di laman sosial Facebook beberapa tahun yang lalu. Kemudian kami mengenali isteri beliau pula, Kak Ida Munif. Tanpa disangka-sangka kejutan menimpa kami, pada Hari Raya 'Aidilfitri 1432, Kak Ida menghubungi mak untuk ziarah kami. Itulah kali pertama kami bertemu di alam realiti, dan terjalinlah hubungan kami bersama Abang Munif sekeluarga.



Ramai juga yang hairan, kerana kebiasaannya peminat yang pergi bertemu selebriti. Tetapi kisah kami lain pula, selebriti yang datang bertemu peminat. Maka timbullah pelbagai persoalan dari sahabat-sahabat dan rakan taulan kepada keluarga saya. Ada yang bertanya, "Bagaimana Munif Hijjaz boleh datang? Ada kaitan saudarakah?" Ada juga yang berkata, "Ingatkan sepupu."



Mungkin ada yang bertanya begitu, kerana melihat rupa paras dan wajah beliau seakan-akan Abang Long saya. Itulah hebatnya kuasa Allah, keunikan Abang Munif dengan Abang Long saya yang Dia telah takdirkan. Maha Suci Allah yang mengciptakan segala kejadian. Mungkin itu juga antara faktor pertemuan kami sekeluarga.



Apa yang jelas, Abang Munif dan Kak Ida benar-benar prihatin terhadap golongan  insan kelainan upaya (IKU) seperti saya. Jika tidak, masakan seorang artis lagenda yang terkenal seperti Abang Munif sudi menjadi keluarga angkat kami golongan yang biasa-biasa sahaja. 



Syukur kepada Allah SWT yang mempertemukan kami dengan Abang Munif sekeluarga yang baik hati.

Walau bagaimana pun, jutaan terima kasih diucapkan kepada Abang Munif kerana sudi menyumbangkan sebuah lagu yang amat mengesankan jiwa buat generasi muda. Terima kasih juga buat keluarga Abang Munif.

Sekian.

Adli Abdullah
29hb Disember 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com