Tazkirah Ramadhan 1431 Hijr

Di dalam kesibukan kita mengejar amalan-amalan sunat seperti solat sunat Tarawih, harus diingatkan agar kita mengutamakan ibadah solat fardu terlebih dahulu. Lebih mudah dikatakan, utamakan solat-solat fardu sebelum solat-solat sunat yang lain. Seharusnya di bulan Ramadhan ini kita mengambil kesempatan untuk mendidik diri agar menjaga solat fardu dan memperbaiki mutu solat tersebut ke tahap yang optimum.
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri. Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.)
Jelaslah daripada hadith tersebut, solat harus dilakukan dalam keadaan yang teratur dan tidak tergesa-gesa. Seandainya kita melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa, sudah tentu solat yang kita laksanakan itu menjadi tidak sempurna dan ianya seperti sesuatu perkara yang sia-sia.

Dan solat sudah semestinya dilakukan seperti apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Sabda Baginda SAW,
“Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari)
Seterusnya barulah boleh kita laksanakan perkara-perkara sunat yang digalakkan dengan sebanyak mungkin jika mampu. Solat sunat Tarawih adalah solat sunat yang amat dituntut untuk dilaksanakan pada malam Ramadhan. Sabda Nabi SAW,
"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith riwayat Imam Muslim)
Namun di saat ramai di kalangan masyarakat Muslim sibuk mengejar ganjaran pahala dari ALLAH SWT, ada di kalangan anak-anak remaja kita yang terjebak dengan gejala zina dan pembuangan bayi yang kian meningkat. Perkara tersebut seandainya tidak ditangani dengan bijaksana, maka akan rosaklah generasi muda akan datang. Kaedah pencegahan harus dimainkan oleh semua pihak khususnya ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak dengan cara hidup Islam yang jitu. Dan didiklah anak-anak kita agar menjauhi perkara-perkara yang boleh menjurus ke arah perbuatan zina dan apa saja perkara-perkara mungkar. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Isra’: 32)
Seterusnya dalam firmanNya yang lain,
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabuut : 45)
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya,
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman: 17)
Oleh itu didiklah anak-anak kita agar menjaga solat sepertimana Luqmanul Hakim mendidik anaknya tentang keutamaan ibadah solat. Dan bersamalah kita memelihara ibadah solat fardu dengan sebaik mungkin. Solat pada awal waktu itu yang sebaiknya. Moga segala apa yang saya sampaikan itu tadi mendapat manfaat kita bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat berpesta ibadah kepada seluruh muslimin dan muslimat. Dan moga anda semua di dalam daerah kesejahteraan hendaknya. Sabda Nabi SAW,
"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Dan sabda Baginda lagi,
"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
6hb Ramadhan 1431 Hijr | 16hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com