Iktibar Tragedi Facebook



Di dalam dunia tanpa sempadan, ramai masyarakat kita yang mula berlumba-lumba menguasai internet. Mereka aktif berblogging, akfif dengan laman-laman sosial seperti Facebook, Myspace, Friendster dan sebagainya. Dari situlah mereka mula berkongsi pelbagai perkara tentang isu-isu semasa, perkara-perkara ilmiah, kehidupan seharian. Namun tidak kurang juga perkara-perkara yang tidak berfaedah memenuhkan ruang pelayan-pelayan(servers) internet.

Kini Facebook adalah di antara laman sosial paling popular yang mendapat tempat di hati pengguna-pengguna internet. Berdasarkan statistik, pengguna-penguna Facebook telah mencecah sehingga 500 juta orang sejak ianya mula diwujudkan pada tahun 2004 oleh Mark Zuckerberg bersama rakan-rakan sekuliah beliau. Pada awal penubuhan, Facebook  hanya terhad untuk kegunaan para pelajar sehingga ianya dikembangkan bagi kegunaan orang awam. (klik untuk selanjutnya)

Pengguna-pengguna Facebook terdiri daripada pelbagai peringkat umur, ada remaja, dewasa, warga emas dan sebagainya. Pengguna internet ramai di kalangan golongan remaja, jadi tidak syak lagi Facebook lebih ramai dipelopori oleh golongan remaja. Mereka menggunakan Facebook bagi mencari rakan-rakan baru serta rakan-rakan sekolah lama. Sehingggalah ke suatu ketika ianya akan menjadi sebuah ketagihan untuk sentiasa mencari rakan baru, sehinggalah sampai ke satu tahap pelbagai ragam manusia pelik-pelik mereka akan temui. Tetapi pernahkah remaja-remaja tersebut memikirkan tentang keselamatan mereka di alam Facebook?

Pada tahun lepas ada sebuah tragedi yang mengerikan berlaku terhadap pengguna Facebook remaja, Ashleigh Hall, seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang dibunuh secara seksual oleh seorang bekas penjenayah seks berumur 33 tahun hasil perkenalan di Facebook. Tragedi tersebut berlaku, apabila penjenayah berkenaan menyamar sebagai seorang remaja lelaki yang berumur 19 tahun dengan menggunakan wajah profail yang kacak sehinggakan mangsa tertarik dan terpedaya. Seterusnya mereka merancang untuk bertemu, maka dari situlah mulanya tragedi tersebut berlaku. (klik untuk selanjutnya)

Sepanjang pengalaman saya dalam menggunakan kemudahan teknologi komunikasi informasi(ICT), saya pernah menghadapi beberapa kejadian pelik. Ada sebuah kejadian lebih kurang hampir dua tahun lepas, semasa saya sedang dalam talian Yahoo Messenger(YM), saya pernah diganggu oleh seorang lelaki misteri. Beliau mengajak saya berbual-bual di YM, dalam perbualan tersebut beliau cuba melakukan perkara yang menjijikkan.

Antaranya sewaktu perbualan berlangsung:

Lelaki Misteri: "Boleh berkenalan?"
Saya: "Boleh, tapi sila perkenalkan diri anda dahulu"
Lelaki Misteri: "Aku berasal dari Bangi"
Saya: "Oooo"
Lelaki Misteri: "Aku 'gay' “.
Saya: "Gay???"
Lelaki Misteri: "Aku gay-lah bodoh!!!"

Dalam keadaaan yang panik dan rasa memualkan, secara spontan saya terus menutup YM dan kemudiannya saya terus menyekat 'id' lelaki terbabit'. Itulah pengalaman pelik pertama yang pernah saya hadapi. Jika dikenang kembali, ia tidaklah terlalu merbahaya. Cuma saya benar-benar berasa jijik, dan membuatkan saya teringat tentang kisah kaum Nabi Luth AS yang engkar dengan larangan Allah SWT. Telah ternukil di dalam Al-Quran tentang kaum Luth,
"Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasul. Ketika saudara mereka, Lut, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia. Dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas." Mereka menjawab: "Hai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir" Lut berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu." (Lut berdoa): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan'." Lalu Kami selamatkan ia beserta keluarganya semua. Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang tinggal. Kemudian Kami binasakan yang lain. Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat jeleklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti-bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang." (Surah As-Syu'ara':160-175)
Daripada kisah di dalam Al-Quran itu menjelaskan betapa Allah benci terhadap golongan homoseksual dengan menurunkan bala' bencana yang amat dahsyat kepada kaum Luth. Sesungguhnya mereka ini adalah orang-orang yang buta tuli hingga tidak nampak betapa kehebatan Allah SWT. Dan mereka menentang fitrah, sedangkan setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan. Firman Allah SWT,
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.” (Surah Al-Dzariyat: 49)
Ada juga di negara barat membenarkan perkahwinan sejenis. Tidakkah mereka berfikir jika perkahwinan sebegitu dilakukan, bagaimana zuriat keturunan manusia boleh berkembang? Secara jelasnya, gejala homoseksual adalah cabang kepada gejala-gejala sosial lain seperti keruntuhan akhlak, berpesta maksiat, serta kegiatan zina yang menjerumus kepada kejadian pembuangan bayi yang semakin menjadi-menjadi. Seharusnya pihak-pihak berwajib terutamanya media-media, menjadi peranan penting mendidik golongan remaja. Kerana media adalah pengaruh penting kepada mereka. 

Cukuplah setakat itu saya ceritakan tentang pengalaman pelik saya. Kerana fokus utama hendak dibicarakan di sini bukan mengenai isu homoseksual. Tetapi berkenaan keselamatan Facebook buat remaja-remaja. Berbalik kepada topik asal, sebelum berlakunya tragedi terhadap mendiang Ashleigh Hall, sebuah badan kerajaan di United Kingdom yang dinamakan 'Child Exploitation and Online Protection Centre (CEOP) dan beberapa pihak pernah mencadangkan kepada Facebook Inc. agar menyediakan butang panik untuk keselamatan kanak-kanak dan remaja yang berumur 13-18 tahun sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakn dan diganggu.

Lantaran dari cadangan untuk menyediakan butang panik itu, pada mulanya pihak Facebook Inc. enggan menerima cadangan tersebut. Namun setelah timbulnya tragedi berkenaan, barulah mereka bersetuju menyediakan butang panik yang dinamakan ‘Click-Ceop’. Untuk pengetahuan anda, CEOP adalah ibarat polis di alam siber. Mereka adalah sebuah pusat aduan dan perlindungan kanak-kanak secara dalam talian CEOP yang mempunyai jaringan dengan badan polis Inggeris dan badan-badan polis dunia dan ia berfungsi mengesan dan membawa si pelaku kepada pihak polis. (klik untuk selanjutnya)

Oleh itu, sebagai perlindungan, sistem keselamatan Click-Ceop amat disyorkan supaya diaktifkan untuk keselamatan setiap kanak-kanak dan remaja-remaja yang menjadi pengguna Facebook. Namun ianya bukanlah keselamatan mutlak, keselamatan yang terbaik hanyalah perlindungan dari Allah SWT dan amalkan pergaulan cara Islam, jauhi zina maka anda akan selamat dari jalan yang buruk lagi menghinakan. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra': 32)
Walau bagaimana pun ia boleh menjadi suatu ikhtiar untuk keselamatan remaja. Kerana ikhtiar adalah suatu usaha untuk perkara-perkara yang baik.

Tanggunjawab ibu bapa:

1. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka. Periksa solat mereka, periksa pelajaran mereka, kawal mereka daripada selalu keluar rumah, kawal pergaulan mereka, dan mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan di alam maya atau di mana sahaja.
2. Pastikan sentiasa menasihati mereka agar memahami tujuan sebenar kehidupan adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan didiklah mereka menggunakan internet hanya untuk perkara-perkara yang positif.
3. Terakhir sekali perkara yang amat penting dan perlu ditekankan dengan tegas, pastikan anda adalah orang pertama yang paling rapat dengan anak-anak anda. Amalkan selalu solat secara berjemaah dengan anak-anak, dan makan bersama mereka. Berikan kasih sayang dan didikan sepenuhnya kepada mereka. In Shaa Allah, sudah tentu mereka sentiasa akan terdorong untuk melakukan kebaikan, mudah mendengar nasihat dan teguran anda. Sesungguhnya anak-anak adalah amanah kepada ibu bapa, dan andalah yang mencorakkan mereka.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
14hb Ramadhan 1431 Hijr | 24hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com