Ramadhan Dihidupkan, Syawal Diraikan


Sumber: Google
Alhamdulillah, kita telah berada di fasa terakhir Ramadhan. Beruntunglah kepada mereka yang istiqamah menjaga amalan fardhunya, dan pada bulan Ramadhan ini pula mereka memperbanyakkan amalan-amalan sunat, mengejar Malam Al-Qadar dengan Qiyamulail (menghidupkan malam) di sepuluh terakhir Ramadhan. Bagi yang tidak mampu untuk Qiyamulail, tidur itu lebih baik daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan perkara-perkara yang melaghakan. 

RAMADHAN PENUH ISTIMEWA

Sungguh istimewanya bulan Ramadhan, kerana pelbagai hikmah ada di dalamnya:
1. Ianya bulan rahmat, barakah, pengampunan dan digandakan pahala amalan.
2. Paling istimewa adanya Malam Al-Qadar di sepuluh terakhir Ramadhan. 
(a). Pada malam itu turunnya Al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Kemudian diturunkannya secara berperingkat kepada Baginda Nabi SAW selama 23 tahun.
3. Mengeratkan ukhuwah sesama Muslim, dan silaturrahim sesama keluarga, apabila iftar (berbuka) dan bertarawih secara jemaah.


Kemeriahan Ramadhan tahun ini amat saya rasai, kerana setiap minggu, ada sahaja adik beradik saya yang pulang berpuasa bersama saya, Emak dan Ayah. 



Dan di penghujung di bulan barakah ini, saya berpeluang berpuasa bersama Uda saya dan anak-anaknya yang menceriakan suasana. Benarlah Ramadhan, adanya kesempatan untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga. Alhamdulillah.

Segalanya bermula dari keluarga 
Sayangi keluarga di situlah bahagia

Namun, pilu rasanya hati kerana bulan barakah bagi sesi tahun 1433 Hijr ini, sudah hampir ke garisan penamat.

Engkau tiba disambut dengan gembira
Berakhirnya engkau dalam tangisan
Tahun hadapan entah bertemu atau tidak?


Walau bagaimana pun, moga roh Ramadhan sentiasa subur di dalam sanubari kita semua. Sentiasa rajin membaca, mengkaji dan mengamalkan Al-Quran, serta rajin dalam melakukan kebaikan dengan mencari redha Allah. Dan moga suburnya kemalasan dari melakukan keburukan, lalu dibuang jauh-jauh perbuatan-perbuatan yang dimurkaiNya. Itulah Penunjuk Aras Prestasi (KPI) demi membentuk sahsiah diri bagi menjadi Mukmin sejati.

SYAWAL SEBUAH KEMENANGAN


Ketibaan Syawal makin dirasai, ianya dirai penuh semangat sebagai tanda kemenangan! Kerana selama sebulan telah berjuang menahan lapar dahaga, melawan hawa nafsu serta mendidik diri dengan pesta ibadah.

Eidulfitri juga merupakan kesempatan untuk ziarah sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim.

Dalam meraikan Eidulfitri, beberapa amalan Sunnah yang boleh dilakukan:

1. Mandi sebelum ke Masjid..
2. Memakai pakaian yang cantik.
3. Menjamah sedikit makanan/tamar sebelum ke Masjid.
4. Takbir semasa dalam perjalanan ke Masjid.
5. Mengucapkan tahniah atau ucapan-ucapan yang baik kepada Muslim yang lain. Seperti ucapan 'Taqaballahu minna wa minkum' - 'Semoga Allah menerima amalan baik dari kami dan dari kamu'.


BALIK KAMPUNG


Kepada yang ingin pulang ke kampung halaman, berhati-hati memandu. Bagi mengelakkan kesesakan, boleh rujuk jadual perjalanan yang disediakan oleh PLUS Malaysia Berhad (gambar atas).


Oleh itu, saya akhiri dengan ucapan, Selamat Hari Raya Eidulfitri, maaf zahir batin. Moga amalan anda diterima Allah, dan selamat tiba ke destinasi yang ditujui.

Sesungguhnya yang baik dari Allah dan yang buruk dari diri saya sendiri.

Sekian,


Wallahu'alam.  

Adli Abdullah

27hb Ramadhan 1433 Hijr | 16hb Ogos 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com