Peperiksaan Kayu Ukur Berjaya?




Sumber: Google





Pada tanggal 17hb November 2016, kita telah digemparkan dengan statistik keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang amat memeranjatkan!



"Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Yusof, jumlah tersebut merupakan 1.11 peratus dari jumlah keseluruhan 440,782 calon yang menduduki UPSR tahun ini." (Astro Awani)



Namun, saya dengan semampunya mahu mengelak daripada terlibat dan terheret sama dalam perbalahan dalam isu pertukaran format kertas peperiksaan yang dikhabarkan punca peratusan yang mencapai A secara keseluruhan menjunam berbanding tahun-tahun sudah.



Meskipun semalam saya telah terlanjur memberi ulasan agak kritis mempertikaikan Kementerian terbabit di laman rasmi Facebook saya.



Saya telahpun menarik balik ulasan tersebut kerana ingin mengelak daripada terbabit sama dalam pertikaian tersebut.



Maka di sini saya hanya ingin menyentuh, berkenaan persoalan adakah faktor kejayaan setiap insan hanya terletak di atas kertas semata-mata?



Saya turut ingin berkongsi tentang perjalanan saya dalam memburu kejayaan sebagai seorang penulis meskipun saya tidak mempunyai sebarang pendidikan tinggi secara formal.



ASAS PENDIDIKAN



Pendidikan di sekolah sama ada bersistem berasaskan peperiksaan atau pun pendidikan bukan bersistem berasaskan peperiksaan.



Saya merasakan, kedua-duanya terdapat pro dan kontra. Terpulang bagi sesiapa yang mahu menyokong kepada mazhab sistem pendidikan yang mana.



Marilah kita raikan sahaja kepelbagaian pendapat yang wujud itu.



Sejujurnya, diri saya sendiri adalah salah seorang makhluk di muka bumi Malaysia ini yang seratus peratus berpendidikan tanpa berasaskan peperiksaan.



Malahan bukan sekadar itu. Saya adalah di antara rakyat Malaysia yang hampir sepanjang hidup saya berpendidikan secara tidak formal.



Saya hanya pernah merasai suasana pendidikan secara formal hanya lebih kurang dalam tempoh 6 tahun sahaja.



Sebelum menginjak ke umur 7 tahun, saya pernah beroleh pendidikan pra-sekolah di TASKI atau pun Tadika Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).



Seterusnya berpeluang beroleh pendidikan di sekolah rendah hingga sampai ke darjah 5 sahaja.



Setelah saya sakit sepenuhnya dengan penyakit Muscular Dsyrtrophy dan saraf, saya ditakdirkan untuk berhenti sekolah.



Namun, emak pernah menawarkan saya beroleh pendidikan di sekolah pendidikan khas berasrama.



Cuma saya yang berdegil tidak mahu pergi dan mahu dididik sepenuhnya oleh emak-ayah yang secara kebetulan adalah pasangan bergelar cikgu sekolah menengah.



Sebab saya sedar dengan kemampuan akal fikiran saya yang tidak mampu belajar dalam suasana yang formal.



Hendak dikatakan orang kelainan upaya (OKU) dalam kategori OKU mental seperti lembam, tidaklah pula. Cuma mungkin ada sedikit masalah dalam memberi tumpuan ketika proses pembelajaran di sekolah.



Ketika di sekolah rendah dahulu, matapelajaran yang saya amat berasa paling seronok adalah Bahasa Inggeris (BI).



Turut pernah dilantik sebagai ketua waktu pembelajaran BI oleh guru matapelajaran tersebut, Cikgu Subramaniam.



Cuma kini, saya tidak lagi mahir bertutur BI di atas faktor sudah agak lama tidak mengamalkannya. Sekadar masih mampu membaca dan memahaminya.



Malahan kini sudah menjadi sebaliknya. Kerana Allah kurniakan saya bakat penulisan dalam sastera Melayu pula.



Sedangkan ketika di sekolah rendah dahulu, Bahasa Melayu (BM) adalah antara matapelajaran yang paling saya lemah.



Agak berasa bersalah bila mengimbau kembali, guru BM saya, Cikgu Faridah benar-benar kesal dengan diri saya ketika itu.



Jika Cikgu Faridah tahu saya sudah bergelar penggiat sastera Melayu. Mudah-mudahan beliau mampu berbangga dengan diri saya.



SELAMI PERASAAN ANAK



Saya amat memahami dan mampu menyelami perasaan anak-anak yang mempunyai kelemahan dalam pelajaran dan akademik.



Risiko seperti diperlekehkan, pandangan dipandang sepi dan keyakinan diri menjunam jatuh adalah amat tinggi.



Kemelut jiwa yang membelenggu diri mereka amat saya merasai keperitannya serta memahami tekanan dilema yang mereka hadapi.



Apatah lagi jika mereka yang ditakdirkan sebagai anak sulong yang merupakan tonggak utama dan harapan sesebuah keluarga.



Cuma saya sedar dan insaf, saya tidak akan pernah mampu sama sekali memahami dan menyelami perasaan para ibu-bapa yang sungguh bimbang dengan masa depan anak-anak terbabit.



Sebab saya berasa mustahil di dunia ini, saya akan berjodoh bernikah dengan mana-mana wanita dan merasai nikmat dikurniakan zuriat keturunan dari benih sendiri.



Namun saya amat-amat bersyukur kerana berkesempatan menumpang kasih dengan anak-anak saudara tersayang.



Walau bagaimana pun, saya amat berharap suatu hari nanti saya layak dan mampu menjadi seorang contoh teladan dan inspirasi buat anak-anak yang masih belajar dan termasuk golongan OKU yang belum temui di mana bakat mereka.



Kerana saya benar-benar yakin, bahawa kayu ukur setiap kejayaan bukanlah terletak di atas kertas peperiksaan semata-mata.



SIKAP BERJAYA



Selagimana ada misi dan visi hidup. Selagimana punya kemahuan, keazaman dan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya dalam hidup.



Pedulikan sahaja jika kita dicemuh dan dipandang hina oleh segelintir insan sekeliling.



Fikir positif, ubah segala stigma negatif segelintir masyarakat itu menjadi suatu cabaran dan neon semangat untuk kita mara lebih maju ke hadapan.



Insya-Allah, Allah akan memberi petunjuk dan mendorong kita ke jalan kejayaan yang hakiki.



Berdasarkan firman-Nya, "Sesungguhnya telah Kami (Allah) ciptakan tiap-tiap insan dengan sebaik-baik kejadian." (At-Tin: 4)



Paling penting, para ibu-bapa harus berusaha untuk mencari dan mengenal-pasti bakat terpendam yang bersesuaian dengan diri anak-anak anda yang telah tertulis di Luh Mahfuz.



Dalam masa yang sama, turut dianjurkan mengamalkan doa daripada kalam Tuhan dalam surah Al-Furqan ayat 74.



Percayalah, anak-anak anda akan terlentur mempunyai sahsiah terbaik, menjadi penawar mata penyejuk hati dan turut sama akan mampu setanding dengan anak-anak para ibu-bapa yang lain.



Insya-Allah.



Sekian,



Wallahua'lam.



Adli Abdullah

18 Safar 1438 | 18hb November 2016
http://adliabdullah.blogspot.my