Sebagai seorang penulis dan blogger Orang Kelainan Upaya(OKU) yang menghabiskan banyak masa setiap hari hanya di rumah di atas faktor kesihatan fizikal, yang menjadi penghalang untuk melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah, saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan dan penilaian terhadap sebuah artikel yang menyatakan bahawa 'orang yang banyak masa untuk Facebook ada masalah mental', yang ditulis oleh seorang kolumnis daripada sebuah laman web kesihatan. Di sini saya akan menilai dari sisi pandangan golongan OKU. Termasuk juga golongan wanita bergelar suri rumah yang mempunyai kesukaran untuk melakukan sebarang aktiviti di luar mahu pun ziarah keluarga dan sahabat handai mereka. Terutamanya, suri rumah usia emas yang tinggal berjauhan dari anak-anak dan cucu-cucu mereka. Dan saya akan huraikan segalanya menurut nilai-nilai Islam dalam menjadikan Facebook yang merupakan suatu perkara yang berupa keduniaan itu, sebagai alat untuk menggapai matlamat suci demi menuju ke Taman Syurga Allah yang kekal abadi.
Sesungguhnya dunia adalah ladang untuk bercucuk tanam
Hasilnya akan diperolehi di Taman Syurga nanti
Hasilnya akan diperolehi di Taman Syurga nanti
Saya berpandangan, pendapat kolumnis tersebut yang pukul rata itu tidak relevan untuk semua golongan pengguna Facebook yang digambarkan. Seolah-olahnya semua pengguna aktif Facebook atau yang banyak meluangkan masa untuk Facebook(kecuali ahli perniagaan, pengurus IT untuk organisasi/syarikat), adalah orang yang berpenyakit ketagihan Facebook, kesunyian dan ada masalah mental. Saya berasa amat tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, yang lebih kepada sifat menghina dan menghukum.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maidah: Ayat 6)
Justeru itu, pada pandangan saya, ianya bergantung pada keadaan seseorang individu itu dan cara mereka mengendalikan jua matlamat menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook, sama ada untuk melakukan perkara negatif yang melalaikan atau pun perkara positif yang bermanfaat untuk diri sendiri mahu pun orang lain.
1. Rangkaian Sosial Internet Sebagai Alternatif Bagi Yang Sukar Keluar Rumah
1.1. Cuba anda fikirkan, bagaimana insan OKU seperti saya, seperti sahabat-sahabat OKU yang lain, dan juga golongan suri rumah yang telah saya sebutkan tadi, hendak berhubung dengan dunia luar? Jadi kami tiada pilihan lain, dan alternatif kami hanyalah dengan memanfaatkan rangkaian sosial seperti Facebook untuk berhubung dengan dunia luar, mendapatkan segala informasi, ‘ilmu dan untuk berkawan serta berhubung dengan saudara mara yang berjauhan. Dan tidak mustahil dengan Facebook, golongan OKU seperti saya boleh membina rangkaian untuk berbakti kepada insan yang senasib dengan saya.
(a). Contohnya seperti baru-baru ini saya menerima 'private message' dalam Facebook dari seorang sahabat OKU saya. Beliau meminta saya bantu kongsikan artikel bertajuk, ‘APABILA OKU MULA BERSUARA’, mengenai perniaagaan yang beliau sedang usahakan. Sebaik saja menerimanya, saya terus membalas, lalu beliau menjawab, "Kamulah orang pertama yang balas mesej saya. Jazakallahu khair (Semoga Allah segala kebaikan ke atas kamu)." Lantas, saya berjanji akan membantu beliau untuk menyebarkan artikel berkenaan di dalam beberapa laman blog yang saya kendalikan. Kerana saya amat memahami perasaan insan senasib dengan saya (apabila dipinggirkan masyarakat). Namun, saya benar-benar kagum dengan semangat gigih beliau itu, sesuailah dengan nama beliau yang sama seperti khalifah Omar Bin Abdul Aziz. Subhanallah.
Justeru itu, membuatkan saya merasakan bahawa masih ada masyarakat kita dan termasuklah penulis seperti kolumnis daripada laman web kesihatan tersebut masih kurang peka, kurang prihatin terhadap insan-insan OKU seperti kami dengan mengemukakan pendapat tanpa memikirkan sensitiviti insan-insan seperti kami.
2. Suri Rumah Pengguna Facebook
2.1. Contohnya seperti Emak saya sendiri, seorang suri rumah usia emas, terpaksa habiskan banyak masa di rumah (kecuali jika ada keperluan untuk ke luar rumah bagi menemani ayah saya membeli barang dapur, urusan-urusan penting), kerana beliau ditakdirkan Allah SWT untuk menjaga insan seperti saya. Beliau juga boleh diibaratkan sebagai jururawat saya yang paling ikhlas pernah saya kenal seumur hidup saya. Seorang Ibu yang cekal, tabah, penyayang, amat mengambil berat terhadap diri saya. Dan beliau juga boleh diibaratkan sebagai tangan dan kaki saya. Itulah sifat pengasih seorang Ibu yang pernah bertarung nyawa kerana mengandungkan anaknya selama 9 bulan. Subhanallah.
Jadi timbul persoalan di sini, bilakah masanya beliau berpeluang untuk keluar mencari ‘ilmu di luar, berjumpa dengan jiran/sahabat handai beliau di luar, dan juga ziarah anak-anak yang lain dan cucu-cucu yang tinggal jauh? Jadi itulah antara faktor kenapa saya membuatkan akaun Facebook untuk Emak saya adalah atas dasar keperluan. Dan agar beliau berpeluang mengeratkan silaturrahim dengan anak-anak yang lain, cucu-cucu serta saudara mara yang berjauhan.
2.2. Namun sebagai untuk mengeratkan silaturrahim, bergantung juga sama ada mereka membalas atau tidak sahutan silaturrahim dari Emak saya. Terutamanya sebagai seorang anak di abad 21 ini, yang mempunyai pekerjaan yang terlalu sibuk, dan tinggal pula berjauhan dari Ibu Ayah.
Apakah anda sebagai anak yang tiada masa untuk ziarah Ibu Ayah setiap minggu, ada alternatif lain selain dari Facebook ketika tiada kesempatan untuk pulang ziarah mereka? Setiap Ibu Ayah, tidak dahagakan harta dan wang ringgit dari anak cucu. Tetapi sekadar inginkan anak-anaknya bertanya khabar, dan memberi perhatian kepada mereka.
Bagi saya, seminggu sekali itu sudah memadai untuk bertanya khabar Ibu Ayah anda seandainya anda seorang yang berkerjaya atau pun kerana sibuk menguruskan anak-anak anda sendiri yang sedang membesar yang memerlukan perhatian khusus terutamanya dalam aspek pendidikan/persekolahan mereka.
Ketahuilah, keredhaan Allah adalah keredhaan Ibu Ayah.2.3. Kini Emak saya berpeluang berkenalan-kenalan dengan jiran-jiran baru mahu pun mengeratkan silaturrahim dengan jiran-jiran yang sudah kenal, di dalam Facebook Komuniti Krubong Perdana.
Manakala, warga emas seperti ayah saya tidak memerlukan Facebook, kerana beliau setiap hari berpeluang bertemu kawan-kawan/jiran-jiran di luar semasa solat berjemaah di Surau. Namun begitu, pada waktu tertentu yang secara rutinnya setiap pagi, saya memerlukan beliau, beliau akan memastikan waktu itu beliau berada di rumah untuk menguruskan saya. Itulah sifat pemimpin keluarga yang bertanggungjawab terhadapnya anaknya yang bergelar OKU. Beliau akan memastikan anaknya yang sakit sentiasa dalam keadaan selesa di rumah.
3. Hakikat Seorang OKU
3.1. Adakalanya saya agak cemburu melihat sahabat-sahabat saya, boleh kata selalu mereka berpeluang menghadiri kuliah-kuliah agama mantan Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin(DrMAZA), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dan lain-lain di sana sini. Dan saya ada keinginan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat saya yang boleh dikatakan sebagai anak murid kepada mantan Mufti Perlis berkenaan. Tapi apa boleh buat, saya harus terima hakikat bahawa saya tidak ‘mudah alih’.
Jadi solusinya, adalah dengan menyertai Laman Facebook DrMAZA dan baca apa saja ‘ilmu yang dikongsikan oleh sahabat-sahabat saya di Facebook mereka untuk saya memperolehi ‘ilmu. Seterusnya di Facebook juga saya berhubung dengan mereka untuk berdiskusi ‘ilmu.
Sesungguhnya orang yang bukan berada dalam situasi saya, sukar untuk mereka faham apa yang insan OKU seperti saya rasakan.
4. Ada Yang Dalam Talian 24 Jam Tanpa Henti?
Sesungguhnya, saya hanya menilai penulisan kolumnis berkenaan menurut perspektif Islam. Pasti anda dapat melihat perbezaan ketara antara cara penggunaan Facebook yang bermatlamatkan duniawi semata-mata, dengan cara penggunaan Facebook yang berlandaskan nilai-nilai Islam dari segi niat, konteks, cara dan matlamat untuk kesejahteraan duniawi dan ukhrawi. Sebagai Muslim kita perlu faham, dunia hanyalah di tangan bukannya di hati. Maksudnya dunia hanya alat untuk mengumpulkan amal kebajikan, demi bermatlamatkan akhirat yang kekal abadi.
Allah SWT berfirman:
“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Hud:Ayat 15-16)
Justeru itu, apabila kita menggunakan Facebook, harus diingat jagalah akhlak kita dan jangan sesekali melanggar syariat. Dan ‘manual pergaulan’ apabila bergaul dengan manusia adalah Fiqh Muamalat (Hukum urusan dunia).
Seperti mana Rasulullah S.A.W. berpesan kepada Mu’az Bin Jabal,
“Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadith Hasan Sahih, Riwayat Tirmidzi)
Walau bagaimana pun, bukan saya bermaksud Facebook adalah rangkaian sosial pilihan utama saya. Pilihan utama saya adalah sebuah laman web dakwah Al-Fikrah.Net, yang boleh dianggap sebagai rangkaian sosial Islamik, yang banyak memberi kesedaran Islam pada diri saya sejak 2-3 tahun lepas. Alhamdulillah.
Dan harus difahami, segala kritikan saya hanyalah kerana perbezaan pendapat. Tidak salah berbeza pendapat, asalkan jangan berbalah.
Segala yang baik itu dari Allah S.W.T., dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.
Sekian,
Wallahu’alam.
Adli Abdullah
21hb Oktober 2011