Ziarah Munif Hijjaz - Dengan Nyanyian: Kasih Ibu Bapa



Persembahan istimewa oleh abang angkat saya, Abang Munif Hijjaz, dengan sebuah lagu lama yang pernah dipopularkan oleh sebuah kumpulan nasyid lagenda, Orkes El-Suraya, yang bertajuk 'Kasih Ibu Bapa'.


Ianya dirakam, semasa Abang Munif ziarah ke rumah saya bersama isteri beliau, Kak Ida Munif, Ibu beliau (tengah) dan beberapa orang ahli keluarga beliau yang lain.



Ini adalah kali ketiga Abang Munif bertandang ke rumah saya, barulah saya berani membuat lagu permintaan daripada beliau. Itu pun, di atas cadangan salah seorang kakak saya yang juga meminati kumpulan Hijjaz.



Sebenarnya, pertama kali, saya dan mak mengenali Abang Munif hanyalah di laman sosial Facebook beberapa tahun yang lalu. Kemudian kami mengenali isteri beliau pula, Kak Ida Munif. Tanpa disangka-sangka kejutan menimpa kami, pada Hari Raya 'Aidilfitri 1432, Kak Ida menghubungi mak untuk ziarah kami. Itulah kali pertama kami bertemu di alam realiti, dan terjalinlah hubungan kami bersama Abang Munif sekeluarga.



Ramai juga yang hairan, kerana kebiasaannya peminat yang pergi bertemu selebriti. Tetapi kisah kami lain pula, selebriti yang datang bertemu peminat. Maka timbullah pelbagai persoalan dari sahabat-sahabat dan rakan taulan kepada keluarga saya. Ada yang bertanya, "Bagaimana Munif Hijjaz boleh datang? Ada kaitan saudarakah?" Ada juga yang berkata, "Ingatkan sepupu."



Mungkin ada yang bertanya begitu, kerana melihat rupa paras dan wajah beliau seakan-akan Abang Long saya. Itulah hebatnya kuasa Allah, keunikan Abang Munif dengan Abang Long saya yang Dia telah takdirkan. Maha Suci Allah yang mengciptakan segala kejadian. Mungkin itu juga antara faktor pertemuan kami sekeluarga.



Apa yang jelas, Abang Munif dan Kak Ida benar-benar prihatin terhadap golongan  insan kelainan upaya (IKU) seperti saya. Jika tidak, masakan seorang artis lagenda yang terkenal seperti Abang Munif sudi menjadi keluarga angkat kami golongan yang biasa-biasa sahaja. 



Syukur kepada Allah SWT yang mempertemukan kami dengan Abang Munif sekeluarga yang baik hati.

Walau bagaimana pun, jutaan terima kasih diucapkan kepada Abang Munif kerana sudi menyumbangkan sebuah lagu yang amat mengesankan jiwa buat generasi muda. Terima kasih juga buat keluarga Abang Munif.

Sekian.

Adli Abdullah
29hb Disember 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

Percutian Yang Bermakna



Pada musim cuti sekolah ini, mereka yang berpeluang pergi bercuti bersama-sama keluarga pasti merasa gembira dan seronok hingga tidak terkata. Ada di antaranya yang pergi ke Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Port Dickson, Cameron Highlands, Australia, London, Jordan, Mesir, Disneyland, Lego Land, Universal Studios, Aquaria dan bermacam-macam destinasi yang menarik lagi. Saya pun seronok juga, seronok berangan-angan sajalah.

Apa pun, dalam percutian dan musafir itu biarlah yang ada manfaatnya dan beroleh pahala. Ketika mata terpegun melihat keindahan alam ciptaan Sang Pengcipta, sedarilah kebesaranNya, berzikir serta memujiNya dan bersyukurlah. Firman Allah SWT,
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu." (Surah Fussilat: 53)
Ayat di atas, membuktikan kebenaran Islam, dan ianya adalah seruan untuk manusia berfikir, mengkaji kejadian alam serta kejadian diri manusia sendiri. Dari situ, manusia akan sedar serta bertambah-tambah iman dan keyakinannya tentang kewujudan Tuhan Semesta Alam. Al-Quran telah membuktikan, bahawa alam semesta dan segala makhluk tidak akan terjadi dengan sendirinya tanpa kewujudan Sang Pencipta. Ternyata benarlah, Al-Quran itu adalah wahyu Allah, bukanlah rekaan dan ciptaan manusia.

Antara pakej percutian yang unik dan paling menarik, adalah pakej percutian '2-Dalam 1'. Iaitu, seperti pulang ke kampung halaman, kerana percutian sebegitu membuatkan kita beroleh pahala. Pahala ziarah kedua orang tua, keluarga dan saudara mara demi mengeratkan silaturrahim. Atau pun bercuti ke suatu tempat, disamping itu kita ziarah sahabat handai yang berada di situ. Sabda Nabi SAW,
"Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya." (Riwayat Muslim)
Dalam bercuti/musafir, adanya rukhsah (kemudahan) yang Allah Ar-Rahim (Maha Penyayang) telah sediakan untuk hamba-hambaNya yang dikasihi, adalah 'Jamak, iaitu menggabungkan solat fardu Zuhur dengan Asar, solat fardhu Maghrib dengan Isyak serta Qasar (memendekkan) solat yang 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Sungguh Islam itu mudah, namun jangan dipermudah-mudahkan. Walau bagaimana pun, rukhsah berkenaan hanyalah bagi musafir yang menuju ke destinasi-destinasi yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syari'at. Destinasi/lokasi maksiat dan yang terdapat unsur-unsur haram, maka gugurlah rukhsah tersebut.

Oleh itu, pastikan bercuti dengan niat kerana Allah dan destinasi percutian yang ditujui itu adalah destinasi yang baik. Ke mana saja yang ditujui, redha Allah itu sentiasa menjadi penunjuk arah tujuan. Sesungguhnya, definisi ibadah di dalam Islam adalah luas, segala perbuatan/tindakan yang baik dan disertakan dengan niat kerana Allah, maka ianya adalah ibadah. 'In Shaa Allah' akan beroleh pahala.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
10hb Disember 2012