Pernikahan merupakan institusi suci bagi mencegah setiap insan daripada melakukan segala bentuk penzinaan yang menjijikkan, sebarang hubungan terlarang dan sebagainya. Sementelahan di zaman ICT yang serba mencabar kini, golongan OKU turut tidak terlepas daripada ancaman godaan zina mata dan pornografi yang membinasakan.
Sesungguhnya, pernikahan merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW bagi mengembangkan zuriat keturunan anak cucu Nabi Adam A.S. Malah, Baginda SAW pernah bersabda, "Pernikahan itu sunnahku. Sesiapa yang membenci sunnahku bukanlah di kalangan umatku." (HR Al-Bukhari)
Apa yang perlu difahami, asas utama dalam sesebuah pernikahan adalah berada di atas landasan taqwa demi menyalurkan nafsu berkeinginan untuk berpasangan melalui saluran yang benar. Kerana fitrah setiap insan adalah mahukan pendamping dan teman di sisi dalam menyelusuri liku dan onak dalam kehidupan. Tidak kira ketika senang mahu pun susah sentiasa bersama. Meskipun badai datang melanda, kesetiaan kekal bertakhta selamanya.
MATLAMAT PERNIKAHAN
Peranan utama yang wajib dipegang oleh setiap pasangan adalah soal tanggungjawab. Dalam masa yang sama, seseorang yang bergelar suami/isteri adalah merupakan penghibur hati kepada pasangannya. Penghibur di kala duka serta penyuluh jalan tika tersungkur dalam kegelapan. Bermakna, pernikahan itu bukan sekadar sunnah. Tapi juga merupakan mukaddimah untuk menempa kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Maka saya berpandangan bahawa, penanda aras kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu boleh diukur berdasarkan produktiviti dalam bidang kerjaya yang diceburi oleh setiap pasangan.
Namun, saya sendiri tidak pasti apakah hukum pernikahan bagi golongan OKU seperti saya? Adakah haram atau pun makruh? Wallahu'alam. Justeru, kepada sesiapa yang mungkin ada menaruh harapan terhadap saya, lebih baik lupakan saja. Kerana hidup bersama insan seperti saya tidaklah semudah yang disangka. Setiap pasangan bernikah pastinya mengidamkan kebahagian yang hakiki. Bukanlah kesengsaraan yang dihajati. Mungkin kerana itulah keluarga saya sendiri tidak berapa menggalakkan saya untuk bernikah dan berumah tangga.
ALTERNATIF PERNIKAHAN
Bagi yang tidak berkemampuan bernikah, Nabi SAW memberikan panduan dan alternatif untuk meredakan nafsu membuak-buak untuk berpasangan melalui sabdanya, "Wahai anak muda, bernikahlah. Sesiapa yang mampu bernikah, bernikahlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj (kemaluan). Sesiapa yang tidak mampu bernikah, hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (HR Al-Bukhari). Berdasarkan dalil tersebut, ianya adalah pedoman dalam mengatasi gelojak nafsu terhadap jantina yang berlainan bagi yang belum bernikah.
Namun, tentang penghibur hati yang telah saya sebutkan tadi, saya berpandangan bahawa penggantinya adalah dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat melebihi mereka yang telah bernikah (setelah amalan-amalan fardhu terlaksana). Iaitu dengan banyak berzikir, bertasbih, bertahmid, membaca Quran dan sebagainya. Kerana cabaran jiwa yang perlu dihadapi oleh golongan yang masih bujang adalah jauh lebih hebat. Dan kerana adrenalin mereka yang masih bujang adalah tidak setenang mereka yang telah bernikah.
Kedua, boleh juga melayani apa saja hobi diminati yang memberikan kepuasan selagi mana tidak bertentangan dengan aqidah, syari'at serta tidak menjerumus kepada pembaziran. Maka secara berterus terang, hobi saya adalah dengan membeli gajet-gajet canggih terbaru. Itu pun dengan syarat bagi menggantikan gajet-gajet lama yang telah rosak atau pun yang telah dihadiahkan kepada insan tersayang dalam keluarga.
MEMILIH GAJET
Kini, saya sedang merancang untuk memilih gajet terbaru bagi menggantikan telefon pintar saya Blackberry, yang sudah membenihkan pelbagai masalah yang kronik. Pilihan pengganti yang dihajati adalah telefon pintar yang menggunakan sistem operasi (OS) Android. Namun, saya belum pasti untuk memilih jenama dan model mana. Antara pilihannya,
1. Honami (Sony Xperia Z1).
2. Google Nexus 5.
3. Samsung Galaxy Note 3.
4. HTC One.
Penekanan utama saya dalam memilih gajet adalah pemprosesnya mestilah empat teras (quad core), dan kamera berprestasi terbaik untuk rakaman video bagi menghasilkan vlog berdefinisi tinggi (HD). Berdasarkan tip yang saya temui dalam menilai kualiti kamera yang terbaik bukan hanya berdasarkan piksel yang tinggi. Tapi juga berdasarkan keupayaan sistem penstabilan yang mengurangkan kesan gegaran ke tahap minima semasa menangkap gambar dan merakam video. Kerana itu adalah antara faktor bagi menghasilkan gambar dan video yang jelas serta ketajaman (sharpness) yang terbaik.
Walau bagaimana pun, saya ingin tunggu beberapa bulan saja lagi dengan harapan ianya akan turun kepada harga yang berpatutan. Kerana dalam memilih gajet, bukan hanya keupayaan perkakasannya (hardware) dan perisiannya (software) yang menjadi ukuran. Tapi perlu diukur berdasarkan kemampuan kewangan sendiri serta tidak menjejaskan keutamaan lain dalam kehidupan. Bak kata pepatah, ukurlah baju di badan sendiri. Dan elakkan pembaziran.
Sekian,
Wallahu'alam.
Adli Abdullah
31hb Disember 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com
http://www.facebook.com/adli.abdullah
- Posted using BlogPress from my iPod 5