Coretan Permainan Video!

Screenshot permainan video kegemaran saya

Kali ini saya ingin membuat sedikit coretan mengenai permainan video simulasi dan ke semua jenis permainan video tiga dimensi(3D). Sebenarnya permainan-permainan tersebut ada buruknya, tetapi ada juga baiknya. Buruknya jika ianya menjerumus ke arah perkara-perkara negatif seperti melalaikan dan mempengaruhi diri untuk melakukan keburukan di alam realiti.

Manakala yang baiknya bagus untuk meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Dan ianya bagus untuk melahirkan idea-idea kreatif bagi setiap pereka-pereka grafik.

Walau bagaimana pun janganlah melampau-lampau dalam sesuatu perkara. Peringatan buat diri saya sendiri juga yang merupakan peminat permainan video berkenaan pada suatu ketika dulu, tetapi kini sudah jarang bermainnya. Namun begitu masih meminatinya hanya sekadar hobi sebagai riadah di kala lapang. Kerana saya tidak berpeluang melakukan riadah fizikal.

Sekian,

Wallahu'alam.

18hb Ramadhan 1431 Hijr | 28hb Ogos 2010  

Iktibar Tragedi Facebook



Di dalam dunia tanpa sempadan, ramai masyarakat kita yang mula berlumba-lumba menguasai internet. Mereka aktif berblogging, akfif dengan laman-laman sosial seperti Facebook, Myspace, Friendster dan sebagainya. Dari situlah mereka mula berkongsi pelbagai perkara tentang isu-isu semasa, perkara-perkara ilmiah, kehidupan seharian. Namun tidak kurang juga perkara-perkara yang tidak berfaedah memenuhkan ruang pelayan-pelayan(servers) internet.

Kini Facebook adalah di antara laman sosial paling popular yang mendapat tempat di hati pengguna-pengguna internet. Berdasarkan statistik, pengguna-penguna Facebook telah mencecah sehingga 500 juta orang sejak ianya mula diwujudkan pada tahun 2004 oleh Mark Zuckerberg bersama rakan-rakan sekuliah beliau. Pada awal penubuhan, Facebook  hanya terhad untuk kegunaan para pelajar sehingga ianya dikembangkan bagi kegunaan orang awam. (klik untuk selanjutnya)

Pengguna-pengguna Facebook terdiri daripada pelbagai peringkat umur, ada remaja, dewasa, warga emas dan sebagainya. Pengguna internet ramai di kalangan golongan remaja, jadi tidak syak lagi Facebook lebih ramai dipelopori oleh golongan remaja. Mereka menggunakan Facebook bagi mencari rakan-rakan baru serta rakan-rakan sekolah lama. Sehingggalah ke suatu ketika ianya akan menjadi sebuah ketagihan untuk sentiasa mencari rakan baru, sehinggalah sampai ke satu tahap pelbagai ragam manusia pelik-pelik mereka akan temui. Tetapi pernahkah remaja-remaja tersebut memikirkan tentang keselamatan mereka di alam Facebook?

Pada tahun lepas ada sebuah tragedi yang mengerikan berlaku terhadap pengguna Facebook remaja, Ashleigh Hall, seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang dibunuh secara seksual oleh seorang bekas penjenayah seks berumur 33 tahun hasil perkenalan di Facebook. Tragedi tersebut berlaku, apabila penjenayah berkenaan menyamar sebagai seorang remaja lelaki yang berumur 19 tahun dengan menggunakan wajah profail yang kacak sehinggakan mangsa tertarik dan terpedaya. Seterusnya mereka merancang untuk bertemu, maka dari situlah mulanya tragedi tersebut berlaku. (klik untuk selanjutnya)

Sepanjang pengalaman saya dalam menggunakan kemudahan teknologi komunikasi informasi(ICT), saya pernah menghadapi beberapa kejadian pelik. Ada sebuah kejadian lebih kurang hampir dua tahun lepas, semasa saya sedang dalam talian Yahoo Messenger(YM), saya pernah diganggu oleh seorang lelaki misteri. Beliau mengajak saya berbual-bual di YM, dalam perbualan tersebut beliau cuba melakukan perkara yang menjijikkan.

Antaranya sewaktu perbualan berlangsung:

Lelaki Misteri: "Boleh berkenalan?"
Saya: "Boleh, tapi sila perkenalkan diri anda dahulu"
Lelaki Misteri: "Aku berasal dari Bangi"
Saya: "Oooo"
Lelaki Misteri: "Aku 'gay' “.
Saya: "Gay???"
Lelaki Misteri: "Aku gay-lah bodoh!!!"

Dalam keadaaan yang panik dan rasa memualkan, secara spontan saya terus menutup YM dan kemudiannya saya terus menyekat 'id' lelaki terbabit'. Itulah pengalaman pelik pertama yang pernah saya hadapi. Jika dikenang kembali, ia tidaklah terlalu merbahaya. Cuma saya benar-benar berasa jijik, dan membuatkan saya teringat tentang kisah kaum Nabi Luth AS yang engkar dengan larangan Allah SWT. Telah ternukil di dalam Al-Quran tentang kaum Luth,
"Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasul. Ketika saudara mereka, Lut, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia. Dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas." Mereka menjawab: "Hai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir" Lut berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu." (Lut berdoa): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan'." Lalu Kami selamatkan ia beserta keluarganya semua. Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang tinggal. Kemudian Kami binasakan yang lain. Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat jeleklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti-bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang." (Surah As-Syu'ara':160-175)
Daripada kisah di dalam Al-Quran itu menjelaskan betapa Allah benci terhadap golongan homoseksual dengan menurunkan bala' bencana yang amat dahsyat kepada kaum Luth. Sesungguhnya mereka ini adalah orang-orang yang buta tuli hingga tidak nampak betapa kehebatan Allah SWT. Dan mereka menentang fitrah, sedangkan setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan. Firman Allah SWT,
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.” (Surah Al-Dzariyat: 49)
Ada juga di negara barat membenarkan perkahwinan sejenis. Tidakkah mereka berfikir jika perkahwinan sebegitu dilakukan, bagaimana zuriat keturunan manusia boleh berkembang? Secara jelasnya, gejala homoseksual adalah cabang kepada gejala-gejala sosial lain seperti keruntuhan akhlak, berpesta maksiat, serta kegiatan zina yang menjerumus kepada kejadian pembuangan bayi yang semakin menjadi-menjadi. Seharusnya pihak-pihak berwajib terutamanya media-media, menjadi peranan penting mendidik golongan remaja. Kerana media adalah pengaruh penting kepada mereka. 

Cukuplah setakat itu saya ceritakan tentang pengalaman pelik saya. Kerana fokus utama hendak dibicarakan di sini bukan mengenai isu homoseksual. Tetapi berkenaan keselamatan Facebook buat remaja-remaja. Berbalik kepada topik asal, sebelum berlakunya tragedi terhadap mendiang Ashleigh Hall, sebuah badan kerajaan di United Kingdom yang dinamakan 'Child Exploitation and Online Protection Centre (CEOP) dan beberapa pihak pernah mencadangkan kepada Facebook Inc. agar menyediakan butang panik untuk keselamatan kanak-kanak dan remaja yang berumur 13-18 tahun sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakn dan diganggu.

Lantaran dari cadangan untuk menyediakan butang panik itu, pada mulanya pihak Facebook Inc. enggan menerima cadangan tersebut. Namun setelah timbulnya tragedi berkenaan, barulah mereka bersetuju menyediakan butang panik yang dinamakan ‘Click-Ceop’. Untuk pengetahuan anda, CEOP adalah ibarat polis di alam siber. Mereka adalah sebuah pusat aduan dan perlindungan kanak-kanak secara dalam talian CEOP yang mempunyai jaringan dengan badan polis Inggeris dan badan-badan polis dunia dan ia berfungsi mengesan dan membawa si pelaku kepada pihak polis. (klik untuk selanjutnya)

Oleh itu, sebagai perlindungan, sistem keselamatan Click-Ceop amat disyorkan supaya diaktifkan untuk keselamatan setiap kanak-kanak dan remaja-remaja yang menjadi pengguna Facebook. Namun ianya bukanlah keselamatan mutlak, keselamatan yang terbaik hanyalah perlindungan dari Allah SWT dan amalkan pergaulan cara Islam, jauhi zina maka anda akan selamat dari jalan yang buruk lagi menghinakan. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra': 32)
Walau bagaimana pun ia boleh menjadi suatu ikhtiar untuk keselamatan remaja. Kerana ikhtiar adalah suatu usaha untuk perkara-perkara yang baik.

Tanggunjawab ibu bapa:

1. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka. Periksa solat mereka, periksa pelajaran mereka, kawal mereka daripada selalu keluar rumah, kawal pergaulan mereka, dan mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan di alam maya atau di mana sahaja.
2. Pastikan sentiasa menasihati mereka agar memahami tujuan sebenar kehidupan adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan didiklah mereka menggunakan internet hanya untuk perkara-perkara yang positif.
3. Terakhir sekali perkara yang amat penting dan perlu ditekankan dengan tegas, pastikan anda adalah orang pertama yang paling rapat dengan anak-anak anda. Amalkan selalu solat secara berjemaah dengan anak-anak, dan makan bersama mereka. Berikan kasih sayang dan didikan sepenuhnya kepada mereka. In Shaa Allah, sudah tentu mereka sentiasa akan terdorong untuk melakukan kebaikan, mudah mendengar nasihat dan teguran anda. Sesungguhnya anak-anak adalah amanah kepada ibu bapa, dan andalah yang mencorakkan mereka.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
14hb Ramadhan 1431 Hijr | 24hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com

Tazkirah Ramadhan 1431 Hijr

Di dalam kesibukan kita mengejar amalan-amalan sunat seperti solat sunat Tarawih, harus diingatkan agar kita mengutamakan ibadah solat fardu terlebih dahulu. Lebih mudah dikatakan, utamakan solat-solat fardu sebelum solat-solat sunat yang lain. Seharusnya di bulan Ramadhan ini kita mengambil kesempatan untuk mendidik diri agar menjaga solat fardu dan memperbaiki mutu solat tersebut ke tahap yang optimum.
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri. Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.)
Jelaslah daripada hadith tersebut, solat harus dilakukan dalam keadaan yang teratur dan tidak tergesa-gesa. Seandainya kita melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa, sudah tentu solat yang kita laksanakan itu menjadi tidak sempurna dan ianya seperti sesuatu perkara yang sia-sia.

Dan solat sudah semestinya dilakukan seperti apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Sabda Baginda SAW,
“Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari)
Seterusnya barulah boleh kita laksanakan perkara-perkara sunat yang digalakkan dengan sebanyak mungkin jika mampu. Solat sunat Tarawih adalah solat sunat yang amat dituntut untuk dilaksanakan pada malam Ramadhan. Sabda Nabi SAW,
"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith riwayat Imam Muslim)
Namun di saat ramai di kalangan masyarakat Muslim sibuk mengejar ganjaran pahala dari ALLAH SWT, ada di kalangan anak-anak remaja kita yang terjebak dengan gejala zina dan pembuangan bayi yang kian meningkat. Perkara tersebut seandainya tidak ditangani dengan bijaksana, maka akan rosaklah generasi muda akan datang. Kaedah pencegahan harus dimainkan oleh semua pihak khususnya ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak dengan cara hidup Islam yang jitu. Dan didiklah anak-anak kita agar menjauhi perkara-perkara yang boleh menjurus ke arah perbuatan zina dan apa saja perkara-perkara mungkar. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Isra’: 32)
Seterusnya dalam firmanNya yang lain,
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabuut : 45)
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya,
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman: 17)
Oleh itu didiklah anak-anak kita agar menjaga solat sepertimana Luqmanul Hakim mendidik anaknya tentang keutamaan ibadah solat. Dan bersamalah kita memelihara ibadah solat fardu dengan sebaik mungkin. Solat pada awal waktu itu yang sebaiknya. Moga segala apa yang saya sampaikan itu tadi mendapat manfaat kita bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat berpesta ibadah kepada seluruh muslimin dan muslimat. Dan moga anda semua di dalam daerah kesejahteraan hendaknya. Sabda Nabi SAW,
"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Dan sabda Baginda lagi,
"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
6hb Ramadhan 1431 Hijr | 16hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com

Buka Jahitan Setelah Seminggu Biopsi?

Gambar sebenar

Setelah seminggu pembedahan biopsi yang telah saya jalani, sudah tiba masanya untuk dicabut jahitan pada bahagian pembedahan berkenaan. Jadi saya pergi berjumpa Dr. Raj di klinik beliau yang terletak di Bandar Jasin. Doktor tersebut memang baik hati kerana beliau mencabut jahitan kesan pembedahan itu serta disediakan ubat sapu dengan caj secara percuma sahaja..hehe.. Harap doktor Muslim juga mampu berbuat begitu. Berkhidmat sambil beramal apabila ada kesempatan.

Namun, para doktor Muslim juga ada yang baik hati seperti itu. Ada seorang doktor yang saya kenal semenjak sekian lama, yang sangat-sangat baik hati dengan saya. Namanya Dr. Rosnah Adam yang juga emak angkat saya. Bahkan beliau sudah saya anggap seperti emak saudara saya sendiri. Beliau adalah pengamal perubatan 'Homeopathy', bukan perubatan ‘Elopathy’. Sudah lebih 10 tahun beliau menanggung saya dengan ubat-ubatan percuma. Moga ALLAH SWT membalasnya.

Sudah agak lama saya makan ubat-ubatan yang Dr. Rosnah telah berikan. Tetapi mungkin belum rezeki saya untuk sembuh.

Mungkin pada minggu hadapan saya akan dapat tahu keputusan biopsi bagi memastikan apakah benar saya ini mempunyai penyakit ‘Muscular Dystrophy’(MD), dan apakah jenis MD yang saya alami.  Kerana penyakit MD terlalu banyak sehingga mencecah 80 jenis!

Jika benar saya ada penyakit MD, saya syak saya adalah jenis ‘Duchenne MD’. Kerana beberapa gejalanya ada persamaan dengan saya:

“Gejala biasanya muncul sebelum usia 6 dan mungkin muncul pada awal masa kanak-kanak. Mereka mungkin termasuk:

    * Kelelahan
   * Kelemahan otot
          o Mula di kaki dan pinggul, tetapi juga berlaku kurang parah di leher, lengan, dan bahagian lain dari tubuh
          o Kesulitan dengan kemahiran motor (berjalan, melompat, melompat)
          o Kerap jatuh
          o Cepat memburuk kelemahan
    * Progressive kesulitan berjalan
         o Kemampuan untuk berjalan mungkin akan hilang oleh usia 12

Pada usia 12, sebahagian besar pesakit terhad kepada kerusi roda.”
Sumber rujukan: The New York Times

Tetapi ada satu gejala yang mungkin tiada persamaan dengan saya:
* Terencat mental (mungkin, tetapi tidak memburuk dari masa ke masa)

Pesakit MD, kesihatan mereka ada progessive, makin lama makin menurun kesihatan. Berdasarkan fakta yang saya baca, para penghidap MD, sepanjang hayat mereka terpaksa bergantung pada ubat-ubatan atau makanan tambahan (supplement) bagi melambatkan progressive. Fakta berkenaan berlaku seperti apa yang saya rasakan, saya akan rasa lemah, letih dan tidak berdaya apabila tidak mengambil sebarang ubat-ubatan atau makanan tambahan (supplement). Dan mahu bercakap pun rasa tidak bermaya. 

Mungkin itu antara sebab saya ini pendiam. Jika anda berjumpa saya di luar, pasti anda terkejut. Kerana saya adalah seorang insan yang agak pendiam. Di alam maya sahaja kelihatan lantang mengemukakan segala pandangan dan pendapat.

Namun ia tidak menjadi alasan bagi saya untuk tidak berusaha menjadi insan yang cemerlang. Kecacatan fizikal tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk saya berjaya. Paling penting saya tidak boleh menjadi orang yang berputus asa. Kerana ALLAH SWT paling tidak suka orang yang berputus asa.

Kesimpulannya: Bersama menantikan keputusan biopsi pada minggu hadapan bagi memastikan apakah benar saya menghidapi ‘Mucular Dystrophy’ dan apakah jenisnya? Jika benar saya menghidapinya, saya dan keluarga tidak usah mengeluh, berdukacita dan berputus asa. Seterusnya kami wajib terus berikhtiar mencari solusi bagi merawat saya walau pun tidak sembuh 100 peratus.

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
2hb Ogos 2010