Gegata Itu Merah Menyala?



Sumber: Google

Sejak semalam kulit saya mula bintat-bintat, merah-merah seperti kena 'Gegata'(Hives). Seorang doktor yang juga mak angkat saya kata, "puncanya kerana darah saya panas". Saya rasa mungkin saya telah terlebih makan ubat-ubatan rutin saya setiap hari, ditambah pula makanan tambahan berbentuk serat(fibre supplement) yang saya ambil sejak beberapa hari. Jadi saya harus sejukkan badan dengan berhenti seketika mengambil semuanya.

Menurut fakta perubatan, Gegata berupa penyakit alahan kulit. Ia muncul tiba-tiba, tanpa disedari. Simptonnya seperti, kulit akan kemerahan, bintat-bintat dan gatal-gatal. Gegata yang tidak serius bertahan kurang dari enam minggu. Manakala Gegata yang serius bertahan lebih dari enam minggu.


Tapi berdasarkan teori saya, ada kemungkinan penyakit alahan susu lembu yang saya alami semenjak lahir hingga zaman kanak-anak, telah kembali aktif. Kerana setelah dewasa hingga kini, saya selalu minum minuman coklat panas yang mengandungi susu lembu. Kesan dari pengambilan susu berkenaan semenjak beberapa tahun lepas menjadi faktor ianya kembali aktif.


Teori saya itu berdasarkan dari kajian pakar perubatan. Punca utamanya adalah dari alahan pemakanan seperti, kacang, coklat, ikan, telur, gandum, soya, susu dan makanan-makanan mentah. Atau pun lebih mudah, makanan tertentu yang seseorang itu alah. Kerana alahan makanan setiap orang adalah berbeza.


Walau bagaimana pun, ia hanyalah teori dan sekadar kajian menurut sains. Kerana hanya Allah S.W.T. Yang Maha Mengetahui segalanya secara tepat. Selebihnya kita hanya mampu berikhtiar, dan dengan izinNya, kesembuhan akan dikecapi.


Ikhtiar pertama yang Emak tersayang lakukan untuk merawat saya, adalah petua tradisional. Iaitu, kunyit yang ditumbuk dicampur dengan garam dan sedikit air. Seterusnya disapu pada permukaan kulit yang terlibat. Namun begitu untuk diri saya, ianya hanya hilang seketika pada waktu tengah hari, dan apabila petang ia kembali aktif.


Akhirnya saya menelan sebiji pil alahan, sebagai ikhtiar kedua. Alhamdulillah, nampaknya semakin kecut permukaan kulit yang bintat, dan semakin hilang kegatalan.


Seterusnya ikhtiar ketiga, saya akan cuba berhenti mengambil susu lembu buat sementara waktu. Dan alternatifnya, saya akan kembali minum soya sama seperti semasa zaman saya kanak-kanak.


Paling terakhir adalah, saya hanya mampu berdoa dan berserah padaNya.


Sekian,


Wallahu'alam.


Adli Abdullah

27hb Jun 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

p/s: Sebahagian fakta perubatan dikutip dari laman sesawang WebMd.


Kalimah Kasih Yang Dipinggirkan?



"Miss you, love you, take care", ungkapan yang lama sudah saya lupa ungkapkan dalam keluarga walau pun hanya dalam Sms, mesej dan perbualan di internet. Sungguh pun ia perkara remeh, tapi ia mampu memupuk kasih sayang keluarga. Kita sebagai Muslim wajib menyintai dan mengasihi saudara se-agama kita. Jadi, muqaddimah untuk cinta dan kasih terhadap saudara se-agama kita, adalah dengan sentiasa menyuburkan terlebih dahulu kasih sayang di dalam institusi keluarga masing-masing. Nabi SAW bersabda,
"Tidak sempurna iman seorang Muslim jika tidak mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri". (Riwayat Al-Bukhari)
Umat Islam kini berbalah walau pun hanya berbeza pendapat dalam perkara-perkara furu' (cabang hukum) dan perbezaan 'mazhab fiqh'. Mengapa ianya terjadi? Saya berpendapat ianya terjadi kerana rapuhnya semangat kasih sayang sesama Muslim, sifat mementingkan diri dan terlalu indivualistik dalam sanubari ummah masa kini. Sedangkan kita Muslim adalah bagai satu tubuh. Baginda SAW bersabda,

"Orang Islam seumpama satu tubuh, jika matanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya dan jika kepalanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, kita harus mulakan dalam keluarga kita semua, dengan amalkan ungkapan kalimah kasih sayang walau pun hanya dalam penulisan atau pun teks. Usah malu dan segan, kerana Islam itu indah dan mendamaikan. Justeru Islam menggalakkan apa sahaja perkara-perkara baik dan indah yang tidak bertentangan dengan aqiah dan syari'at.

Sekian,


Wallahu'alam.


Adli Abdullah
28 Jamadil Akhir 1432 Hijr | 1hb Jun 2011
http://adli-abdullah.blogspot.com

Published with Blogger-droid v1.6.9