Sumber: Google |
Kes Pembuangan Bayi
Kita imbau kembali pada zaman gelap jahiliah sebelum kedatangan Islam, anak-anak perempuan dibunuh dengan menanamnya secara hidup-hidup. Kerana bagi mereka, anak perempuan membawa sial. Dan para wanita menjadi hamba, alat lelaki untuk memuaskan nafsu dan sebagainya. Namun apabila tibanya kedatangan Nabi Saw yang membawa cahaya Islam, berita gembira, mesej kebenaran dan perintah Tuhannya, lalu lenyaplah segala kekejaman, kerosakkan masyarakat yang membarah. Dan para wanita dimuliakan Islam.Habis madu, sepah dibuang.
Allah SWT ada menyatakan di dalam Al-Quran,
"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." (Surah Saba': 28)Kini amat menyedihkan setelah 1400 tahun kewafatan Nabi Saw, muncullah pula jahiliah moden yang membunuh anak dengan gugurkan kandungan, buang janin, buang anak dalam tempat sampah, pembetungan dan bermacam-macam lagi. Inilah akibatnya bila manusia melupakan Tuhan Yang Esa, lalu nafsu serakah menjadi tuhan mereka.
Petikan Berita Harian Online: "Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010). Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan." Klik di sini.
Nabi Saw bersabda,
"Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu." (Hadith riwayat al-Bukhari)Imam an-Nawawi R.h. ada menjelaskan maksud hadith ini: "Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat. Malu sejati ialah malu yang didorong oleh perasaan lman kepada Allah. Malu melakukan kebaikan adalah malu yang tercela dan dilarang seperti malu menutup aurat, malu mengerjakan ketaatan kepada Allah atau malu bertanya perkara yang tidak diketahui." (Hadith 40)
Pengaruh Budaya Dan Punca
Di televisyen-televisyen, terlalu banyak menyiarkan drama-drama Melayu dan sinetron-sinetron yang mempromosi budaya barat seperti ber-'couple' yang berwajah rumpun Melayu itu. Ianya amat berpengaruh bagi bangsa serumpun seperti Malaysia, Indonesia, Brunei.
Justeru itu, saya berpandangan seakan budaya barat yang di-serumpunkan, impaknya lebih hebat bagi anak-anak di rumpun Melayu. Ianya menimbulkan persepsi di benak fikiran anak-anak kita bahawa itu adalah budaya dan cara hidup kita. Jika budaya barat yang memang dilakonkan orang barat, kesannya tidak terlalu berpengaruh.
Namun, bukanlah saya ingin menyatakan 'jangan bagi anak-anak menonton drama atau filem Melayu.' Tapi ianya sekadar menjadi pedoman untuk ibu-bapa agar berwaspada. Kerana anak-anak belum pandai tapis segala yang mendatang terutamanya yang berwajah tempatan. Apa saja yang mereka tonton dan lihat, mulalah hendak meniru secara bulat-bulat.
Mungkin ada yang bertanya, "Apa kaitan pengaruh budaya barat yang di-serumpunkan itu terhadap anak-anak remaja Muslim?" Kaitannya adalah, ia mempunyai kekuatan pengaruh kepada anak-anak remaja Muslim yang berada di rumpun Melayu. Jika bangsa Arab, mungkin budaya barat yang berwajah Arab digunakan bagi mempengaruhi masyarakat Muslim yang berada di tanah Arab. Itulah jarum halus barat yang perlu diawasi semua masyarakat Muslim.
Seperti zaman ICT kini, anak-anak mempunyai sumber maklumat hanya di hujung jari. Apa saja yang mereka ingin tahu dan melihat, boleh Google, YouTube dan berbagai lagi. Ini tidak termasuk peranti-peranti pintar seperti iPhone, iPad, Tablet dan lain-lain jika disalah gunakan. Kini anak-anak yang sekolah rendah pun sudah ada laman sosial.
Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTEM, Prof. Dr. Shahrin Sahib mendedahkan, Malaysia merupakan Negara pengguna facebook ke 8 teramai di dunia. Ini bermakna Gejala Sosial yang berlaku di Malaysia turut dipengaruhi oleh kebejatan penggunaan Facebook. Beliau menyarankan agar Agensi Kerajaan dan NGO berperanan bagi mewujudkan pengisian berguna di dunia maya bagi mengimbangi kesan negatif di kalangan anak-anak muda khususnya di negeri Melaka. Klik di sini.
Apa pun, isu kepada gejala-gejala sosial yang melanda anak-anak remaja kita, berbalik kepada akar puncanya iaitu zina! Sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak menjadi apa-apa. Jika sudah begitu bukan cinta namanya, tapi nafsu durjana merasuk diri. Mungkin mereka tidak berfikir panjang. Selepas itu iman pun tidak kuat sehingga dunia membutakan mata hati.
Kerana itulah Allah Swt memberi amaran di dalam Al-Quran,
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah Al-Isra': 32)Tapi anak-anak muda kita tidak endahkan amaran Allah itu, atau mungkin mereka tidak tahu kerana kurangnya mendapat didikan aqidah. Nabi Saw bersabda,
"Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak mencuri, tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya, dan seseorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya." (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)Pelan Tindakan Dan Pencegahan
Ada sahabat seperjuangan bertanya saya, 'Apa yang perlu kita buat?' Pelbagai program-program dakwah kepada golongan belia, telah digerakkan oleh ABIM, JIM dan NGO-NGO Islam yang lain semenjak sekian lama. Namun ianya bukanlah tanggungjawab utama NGO, Kerajaan atau organisasi tertentu secara dasarnya. Ianya tanggungjawab utama para ibu-bapa. Dan persoalannya, bagaimana ibu-bapa mendidik anak-anak?'
Maka, institusi keluarga perlu mantap menurut neraca Al-Quran dan Sunnah, pasti boleh melahirkan generasi yang soleh, solehah dan cemerlang di dunia dan di akhirat.
Para kaunselor mengesyorkan, sekali sekala hendaklah ibu-bapa 'spot check' telefon pintar anak-anak, laman sosial mereka, dengan siapa yang dihubungi, 'chatting', mesej, Sms. Sekarang mungkin mereka marah, tapi bila sudah dewasa, pasti akan faham tindakan itu demi kebaikan mereka juga.
Seperti saya dan adik beradik semasa kanak-kanak, ayah kami ibarat guru disiplin kami. Tapi displin bukanlah bermakna dengan ringan mengangkat tangan semata-mata, disiplinnya lebih kepada soal pengurusan masa dan waktu untuk perkara-perkara berfaedah dan 'ilmiah. Beliau juga ibarat imam yang membimbing kami ke jalan yang lurus, agar tidak tergelincir ke jurang api neraka. Mungkin masa itu kami marah di dalam hati, kerana ayah mengharamkan rancangan-rancangan dan bahan-bahan bacaan hiburan yang melalaikan di media-media elektronik dan media-media cetak. Namun apabila sudah dewasa, barulah kami sedar akan kesan dan kebaikannya yang besar buat kami adik beradik. Firman Allah Swt,Anak-anak ibarat layang-layang, sekejap lepas sekejap tarik semula.
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3)Jalan Penyelamat Lagi Lurus
Tapi masalah juga jika mereka mencari perkhidmatan internet di luar rumah atau buat akaun laman sosial lain, bagaimana ibu-bapa hendak kesan? Oleh itu, solusinya kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah. Firman Allah Swt,
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah An-Nisa': 59)1. Utamakan mendidik anak-anak dengan pendidikan 'Iman', iaitu aqidah, secara istiqamah hingga mereka dewasa. Nabi Saw pun dahulukan dakwah aqidah, setelah itu barulah Baginda dakwah bab ibadah.
2. Seterusnya, barulah ibu-bapa didik anak-anak dengan pendidikan 'Islam', contohnya perkara-perkara praktikal seperti ibadah dalam Islam. Jika mereka sudah berumur 10 tahun tidak solat, rotanlah mereka demi mendidik.
3. Kemudian, terapkan dengan nilai 'Ehsan'. Nabi Saw bersabda tentang maksud 'Ehsan': "Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." (Hadith riwayat Imam Muslim)
4. Didiklah anak-anak menurut cara Islam:
(a.) Tujuh tahun pertama belailah mereka.
(b.) Tujuh tahun kedua disiplin. Contohnya, latihlah mereka untuk beribadah demi mendidik.
(c.) Tujuh tahun ketiga ibu-bapa jadilah teman rapat utama dalam hati anak-anak dan orang yang paling dipercayai mereka untuk berkongsi kisah suka dan duka. Jika ada lelaki/perempuan asing yang mendahului anda, pasti mereka sukar menerima nasihat anda.
Seperti kami adik beradik apabila memasuki alam remaja, tempat rapat utama kami adalah emak, tempat berkongsi rahsia, cerita suka dan duka. Emak juga ibarat kaunselor bagi kami, yang sering memberi nasihat, motivasi kepada kami. Beliaulah insan yang amat memahami kami kerana telah mengandungkan kami. Sehingga kami dewasa kini, beliau masih menjadi teman rapat kami.
Paling terbaik, ibu-bapa rapat dengan anak-anak secara rohani. Bagi memupuknya, solat berjema'ah bersama anak-anak, makan berjema'ah bersama mereka.
Justeru, apabila ketiga-ketiga elemen, Iman, Islam, Ehsan itu sudah tersemat dalam sanubari anak-anak, dan dididik menurut cara Islam, ibu-bapa tidak perlu risau di mana saja anak-anak berada.
Nabi Saw bersabda,Sesungguhnya benih yang baik, di campak di mana saja, akan menjadi pulau.
"Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah." (Hadith riwayat at-Tirmidzi - Hasan Sahih)Sekian,
Wallahu'alam.
Adli Abdullah
6hb April 2012
http://adlyalkhair.blogspot.com