Tidak Terputus Kalimah Syukur - Ramadhan Pertama 1433 Hijr

Pada 1 Ramadhan kali ini, saya menjangkakan suasana agak sunyi, hanya saya bersama Emak dan Ayah. Namun alhamdulillah kami menerima kejutan apabila Abang Lang sekeluarga pulang berbuka puasa bersama kami pada awal Ramadhan. Nabi SAW bersabda,
”Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadith Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Sejurus saja azan Maghrib berkumandang, kami terus menyegerakan berbuka puasa. Baginda bersabda,
”Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, banyaknya juadah berbuka untuk dini'mati, kebanyakkannya dibeli oleh Abang Lang di Pasar Ramadhan. Alhamdulillah, ianya habis dan tidak membazir. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Nauzubillahi min dzalik.

Alhamdulillah, sungguh ni'matnya rezeki yang Allah SWT kurniakan, dan ni'matnya berbuka bersama keluarga tersayang. Syukur Ya Allah, dan terima kasih Abang Lang, dan terima kasih Emak kerana buat Bubur Lambuk(tiada dalam gambar). Kepada kekanda-kekandaku yang lain usah risau, kami faham kalian tidak berpeluang pulang pada awal Ramadhan di atas halangan yang tidak bisa dielakkan.


Sesungguhnya, hikmah kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, bukan saja untuk mendidik hawa nafsu jiwa mahu pun nafsu anggota. Tetapi dengan lapar dan dahaga itu menginsafkan diri kita, menyedari betapa peritnya 'survival’ golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan 'mustad'afin' untuk memperoleh sesuap rezeki setiap hari, serta mengajar diri tentang ni'matnya bersyukur akan segala kurniaNya. Dan ianya juga mendidik diri untuk ringan bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang penuh barakah. Nabi SAW bersabda,

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)
Sesungguhnya yang baik itu dari Allah SWT, dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.

Sekian,


Wallahu'alam


Adli Abdullah

21hb Julai 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com

- Posted using BlogPress from my iPad