Ragam Berpuasa & Hikmahnya



Di atas rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, kita masih bernafas hingga ke hari ini. Dengan nikmat kesihatan dan izin-Nya juga, kita telah berjaya berpuasa penuh hingga memasuki fasa kedua Ramadhan tahun ini. Bagi mereka yang tertinggal puasa kerana ditimpa masalah kesihatan mahu pun uzur syar'ie, bersabarlah dengan ujian tersebut yang ALLAH beri sebagai kafarrah (penghapus dosa). Apabila telah kembali sihat, hendaklah ia menggantinya kelak.

Manakala bagi warga emas yang mempunyai keuzuran yang serius, dan mereka yang ditimpa penyakit kronik yang mustahil boleh sembuh, ALLAH memberi keringanan dan pengecualian berpuasa buat mereka. Namun, hendaklah ia membayar fidyah bagi menggantikan puasa yang tertinggal. Firman ALLAH SWT,

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 184)

BERPUASA TETAPI TIDAK SOLAT

Melihat pelbagai ragam dan gelagat hamba-hamba ALLAH SWT yang berpuasa, saya mendapati ada dua jenis golongan yang taat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan, tetapi tidak melaksanakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam.

Golongan pertama, non-Muslim yang turut berpuasa kerana seronok dan mengetahui tentang kebaikan berpuasa. Atau terikut-ikut dengan saudara/kawan mereka yang telah Muslim berpuasa. Termasuklah beberapa orang sepupu saya sendiri (di sebelah emak) yang merupakan kaum Cina yang masih belum memeluk Islam, turut tidak melepaskan peluang untuk berpuasa. Maka logiklah mereka tidak bersolat dan dan tidaklah menghairankan begitu rupanya.

Golongan kedua, segelintir orang yang mengaku Muslim, berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat 5 waktu yang difardhukan (diwajibkan) ke atas setiap mereka yang bergelar Muslim. Begitulah, salah satu contoh jenis golongan yang tempang dalam beramal dan mereka berpegang kepada rukun Islam secara berpilih-pilih. Orang yang benar-benar bertaqwa kepada ALLAH SWT, kepatuhan di atas segala perintah-Nya adalah secara keseluruhan, bukanlah berpilih-pilih mengikut selera. Kerana Islam itu didirikan atas lima perkara. Sabda Nabi SAW,

"Islam iaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada sembahan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan sesungguhnya Muhammad utusan ALLAH. Hendaklah engkau mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah jika mampu." (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, mereka yang melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, belum tentu mendirikan ibadah solat fardhu yang merupakan tiang agama dan ianya adalah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Namun, mereka yang mendirikan ibadah solat fardhu 5 waktu serta istiqamah mengerjakannya dengan iman, ehsan (beribadah seolah melihat-Nya/dilihat-Nya) dan bukan kerana riak, sudah semestinya mereka melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan jika tiada uzur syar'ie. Dan melaksanakan rukun Islam yang seterusnya, iaitu menunaikan zakat dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Kerana, mana mungkin orang yang menegakkan tiang agama akan meruntuhkan agamanya dengan meninggalkan amalan-amalan fardhu yang lain.

HIKMAH BERPUASA

Tidaklah segala apa yang dijadikan dan ditetapkan oleh ALLAH SWT adalah sia-sia. DIA mewajibkan sesuatu perkara itu, pasti ada kebaikan dan hikmahnya. Sepertimana kewajipan berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga selepas rukun Islam yang pertama, iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, dan rukun yang kedua iaitu solat.

Antara hikmah puasa berdasarkan kajian perubatan:

1. Apabila berpuasa, paras gula dalam darah menurun ke tahap yang rendah dengan tidak memudaratkan kesihatan.
2. Menurunkan kadar kolestrol yang memudaratkan, iaitu LDL (low density lipoprotein). Seterusnya meningkatkan kadar kolestrol baik, iaitu HDL (high density lipoprotein).
3. Merehatkan organ-organ tubuh bagi membantu menyingkirkan racun dan toksin dalam tubuh badan.
4. Kemudian, mampu menjadi asbab bagi penyembuhan beberapa jenis penyakit:
(a). Asma.
(b). Radang sendi.
(c). Susah tidur.
(d). Gangguan sistem penghadaman.
(e). Penyakit kulit.

Mungkin kerana itulah, apabila mengalami masalah keracunan makanan, seperti ceret beret dan sebagainya, antara penawarnya adalah dengan berpuasa selama beberapa jam.

Walau bagaimana pun, matlamat dan tujuan utama berpuasa, adalah demi memupuk sifat sabar, menyurutkan nafsu amarah, menundukkan hawa nafsu dan membakar semangat juang yang tinggi.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
20hb Julai 2013

Rujukan:
1. Arba'in Nawawiyah - Imam An-Nawawi Rh
2. Quran Saintifik - Dr. Danial Zainal Abidin