Di
atas rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, kita masih bernafas hingga ke hari ini.
Dengan nikmat kesihatan dan izin-Nya juga, kita telah berjaya berpuasa penuh
hingga memasuki fasa kedua Ramadhan tahun ini. Bagi mereka yang tertinggal puasa
kerana ditimpa masalah kesihatan mahu pun uzur syar'ie, bersabarlah dengan
ujian tersebut yang ALLAH beri sebagai kafarrah (penghapus dosa). Apabila telah
kembali sihat, hendaklah ia menggantinya kelak.
Manakala bagi warga emas yang mempunyai keuzuran yang serius, dan mereka yang ditimpa penyakit kronik yang mustahil boleh sembuh, ALLAH memberi keringanan dan pengecualian berpuasa buat mereka. Namun, hendaklah ia membayar fidyah bagi menggantikan puasa yang tertinggal. Firman ALLAH SWT,
"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 184)
BERPUASA TETAPI TIDAK
SOLAT
Melihat
pelbagai ragam dan gelagat hamba-hamba ALLAH SWT yang berpuasa, saya mendapati
ada dua jenis golongan yang taat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan,
tetapi tidak melaksanakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam.
Golongan
pertama, non-Muslim yang turut berpuasa kerana seronok dan mengetahui tentang
kebaikan berpuasa. Atau terikut-ikut dengan saudara/kawan mereka yang telah
Muslim berpuasa. Termasuklah beberapa orang sepupu saya sendiri (di sebelah
emak) yang merupakan kaum Cina yang masih belum memeluk Islam, turut tidak
melepaskan peluang untuk berpuasa. Maka logiklah mereka tidak bersolat dan dan
tidaklah menghairankan begitu rupanya.
Golongan
kedua, segelintir orang yang mengaku Muslim, berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi
tidak melaksanakan kewajipan solat 5 waktu yang difardhukan (diwajibkan) ke
atas setiap mereka yang bergelar Muslim. Begitulah, salah satu contoh jenis
golongan yang tempang dalam beramal dan mereka berpegang kepada rukun Islam
secara berpilih-pilih. Orang yang benar-benar bertaqwa kepada ALLAH SWT,
kepatuhan di atas segala perintah-Nya adalah secara keseluruhan, bukanlah
berpilih-pilih mengikut selera. Kerana Islam itu didirikan atas lima perkara.
Sabda Nabi SAW,
"Islam iaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada sembahan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan sesungguhnya Muhammad utusan ALLAH. Hendaklah engkau mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah jika mampu." (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya,
mereka yang melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, belum tentu mendirikan
ibadah solat fardhu yang merupakan tiang agama dan ianya adalah amalan pertama
yang akan dihisab di akhirat kelak. Namun, mereka yang mendirikan ibadah solat
fardhu 5 waktu serta istiqamah mengerjakannya dengan iman, ehsan (beribadah
seolah melihat-Nya/dilihat-Nya) dan bukan kerana riak, sudah semestinya mereka
melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan jika tiada uzur syar'ie. Dan
melaksanakan rukun Islam yang seterusnya, iaitu menunaikan zakat dan
mengerjakan haji jika berkemampuan. Kerana, mana mungkin orang yang menegakkan
tiang agama akan meruntuhkan agamanya dengan meninggalkan amalan-amalan fardhu
yang lain.
HIKMAH BERPUASA
Tidaklah
segala apa yang dijadikan dan ditetapkan oleh ALLAH SWT adalah sia-sia. DIA
mewajibkan sesuatu perkara itu, pasti ada kebaikan dan hikmahnya. Sepertimana
kewajipan berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga selepas rukun Islam yang
pertama, iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, dan rukun yang kedua iaitu
solat.
Antara hikmah puasa
berdasarkan kajian perubatan:
1.
Apabila berpuasa, paras gula dalam darah menurun ke tahap yang rendah dengan
tidak memudaratkan kesihatan.
2.
Menurunkan kadar kolestrol yang memudaratkan, iaitu LDL (low density
lipoprotein). Seterusnya meningkatkan kadar kolestrol baik, iaitu HDL (high
density lipoprotein).
3.
Merehatkan organ-organ tubuh bagi membantu menyingkirkan racun dan toksin dalam
tubuh badan.
4.
Kemudian, mampu menjadi asbab bagi penyembuhan beberapa jenis penyakit:
(a).
Asma.
(b).
Radang sendi.
(c).
Susah tidur.
(d).
Gangguan sistem penghadaman.
(e).
Penyakit kulit.
Mungkin
kerana itulah, apabila mengalami masalah keracunan makanan, seperti ceret beret
dan sebagainya, antara penawarnya adalah dengan berpuasa selama beberapa jam.
Walau
bagaimana pun, matlamat dan tujuan utama berpuasa, adalah demi memupuk sifat
sabar, menyurutkan nafsu amarah, menundukkan hawa nafsu dan membakar semangat
juang yang tinggi.
Sekian,
Wallahu'alam.
Adli Abdullah
20hb Julai 2013
Rujukan:
1.
Arba'in Nawawiyah - Imam An-Nawawi Rh
2.
Quran Saintifik - Dr. Danial Zainal Abidin