Jerebu Menyelubungi Langit Kita?



Tatkala DUKHAN (JEREBU/ASAP) menjelma kembali di Malaysia, Singapura dan negara-negara berhampirannya, antara faktornya adalah berpunca daripada pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia.


Antara langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada ditimpa penyakit-penyakit yang berpunca daripada DUKHAN:
1. Elakkan atau kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah/bangunan.
2. Banyakkan minum air kosong. 

Walau bagaimana pun, kadang kala musibah itu terjadi, adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri. Sama ada berpunca daripada perbuatan merosakkan dan mencemarkan ALAM SEKITAR, atau pun ianya adalah PERINGATAN dari YANG MAHA ESA kepada hamba-hambaNYA di atas segala kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku dengan berleluasa di muka bumi ini! Firman ALLAH SWT,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Rum: 41)

Di dalam surah Ad-Dukhan ada mengisahkan bagaimana Nabi SAW memohon kepada ALLAH SWT agar menurunkan bala ke atas golongan musyrikin Makkah kerana melampaui batas dan menentang Baginda. Lalu, ALLAH SWT memakbulkan doa Nabi SAW dan menurunkan bala berupa DUKHAN. Firman ALLAH SWT,

"Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)." (Surah Ad-Dukhan: 10)

Kemudian mereka memohon kepada Baginda agar berdoa diturunkan hujan dan berjanji akan beriman. Namun, setelah hujan turun mereka kembali kufur dan ingkar. Ketahuilah, azab ALLAH amatlah pedih!

Sesungguhnya, antara tanda-tanda kiamat adalah munculnya DUKHAN (JEREBU/ASAP). Sabda Nabi SAW,

“Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, istiqamahlah dalam melaksanakan segala ketaatan kepada ALLAH dan cegahlah diri dari menempah kemurkaanNYA.

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
19hb Jun 2013