Melihat
iklim ekonomi beberapa buah negara maju tertentu. Menjentik minda saya untuk
membandingkan dengan tanahair tercinta kita, Malaysia. Khabarnya, ada
di antaranya mempunyai kuasa membeli yang cukup rendah.
Kerana merupakan negara termahal di dunia. Lantaran itu, adalah tidak
wajar sekiranya rakyat Malaysia terlalu mudah berasa senang hati duduk goyang
kaki sambil mengungkapkan ayat klise, "Syukur Malaysia masih
aman."
Mungkin
ada pula yang akan menyanggah, "Gaji kakitangan awam di sana lebih tinggi dan
mewah." Benar apa yang diperkatakan itu, sekiranya dibandingkan pendapatan
mereka dari sudut ukuran nilai matawang. Namun, sekiranya dibandingkan dari
sudut kesempitan kos sara hidup, saya merasakan tiada perbezaan yang
ketara. Cuma negara kita, dari segi harga barangan, perubatan dan pendidikan
mungkin belum semahal mereka.
BAKAL
SETARA
Tidak
mustahil kita bakal setara mereka. Kini Malaysia, berdikit-dikit sedang
melalui proses peningkatan kos dan harga barangan. Harga minyak, tarif
elektrik, tarif air melambung naik merupakan antara faktor kenaikan
berganda harga makanan dan barangan. Maka, kita harus bersiap siaga dari
sekarang, cuba meraih pendapatan sampingan. Mungkin boleh berniaga dengan
mengedar produk tertentu. Atau yang berbakat menulis, mungkin boleh membina
kerjaya berkonsep 2 dalam 1, sebagai penulis dan usahawan di penerbitan indie.
Cuma
saya berasa sedikit musykil. Sekiranya semua mahu menjadi peniaga, siapa pula
mahu menjadi pengguna? Kuasa membeli tidak mustahil akan merosot. Namun,
setelah direnung kembali, ianya bukanlah suatu masalah. Setelah memperolehi
keuntungan menjual produk syarikat lain, kemudian boleh beli produk syarikat
lain pula. Maka, kuasa membeli mungkin tidak terjejas.
RAKYAT
BOROS
Di kala merujuk soal pembaziran dan ketirisan perbelanjaan. Adalah tidak adil
sekiranya diaudit sikap boros berbelanja (tanpa perancangan yang teliti) hanya
kepada rakyat bawahan yang marhaen sahaja. Sedangkan sikap boros dan
bermewah-mewahan pemerintah, tidak wajar sekiranya tiada siapa yang berani
mengaudit, menegur dan membantah. Seharusnya pihak pemerintah turut mempamerkan
tauladan yang baik kepada rakyat dalam soal berjimat cermat.
Bukan
hanya menyalahkan rakyat dengan menyatakan, "Bayar bil telefon bimbit
tinggi boleh, bayar Astro mahal boleh, bayaran ansuran kereta beratus-ratus
ringgit boleh. Kemudian mempertikaikan harga minyak naik, tarif utiliti naik,
merungut wujudnya tol, pinjaman PTPTN, GST dan sebagainya." Saya
bukan mahu menyalahkan sesiapa. Cuma kita harus bijak menegur siapa sahaja yang
tersilap.
Oleh
itu, walau siapa pun kita, haruslah berani saling berpesan-pesan dengan
kebenaran dan kesabaran. Tidak kiralah yang tersilap dan boros berbelanja itu
siapa dan apa jua darjat mereka. Sama ada golongan bangsawan, konglomerat atau
pun bukan. Sedangkan khalifah-khalifah Islam terawal, cukup tawaduk serta
terbuka menerima sebarang teguran dari rakyat bawahan.
Sekian,
والله أعلمُ بالـصـواب
'Dan
Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'
Adli Abdullah
15hb Mei 2014
http://adli-abdullah.blogspot.com/