Signifikan Ekonomi Kita Dengan Negara Maju?


Melihat iklim ekonomi beberapa buah negara maju tertentu. Menjentik minda saya untuk membandingkan dengan tanahair tercinta kita, Malaysia. Khabarnya, ada di antaranya mempunyai kuasa membeli yang cukup rendah. Kerana merupakan negara termahal di dunia. Lantaran itu, adalah tidak wajar sekiranya rakyat Malaysia terlalu mudah berasa senang hati duduk goyang kaki sambil mengungkapkan ayat klise, "Syukur Malaysia masih aman." 

Mungkin ada pula yang akan menyanggah, "Gaji kakitangan awam di sana lebih tinggi dan mewah." Benar apa yang diperkatakan itu, sekiranya dibandingkan pendapatan mereka dari sudut ukuran nilai matawang. Namun, sekiranya dibandingkan dari sudut kesempitan kos sara hidup, saya merasakan tiada perbezaan yang ketara. Cuma negara kita, dari segi harga barangan, perubatan dan pendidikan mungkin belum semahal mereka.

BAKAL SETARA

Tidak mustahil kita bakal setara mereka. Kini Malaysia, berdikit-dikit sedang melalui proses peningkatan kos dan harga barangan. Harga minyak, tarif elektrik, tarif air melambung naik merupakan antara faktor kenaikan berganda harga makanan dan barangan. Maka, kita harus bersiap siaga dari sekarang, cuba meraih pendapatan sampingan. Mungkin boleh berniaga dengan mengedar produk tertentu. Atau yang berbakat menulis, mungkin boleh membina kerjaya berkonsep 2 dalam 1, sebagai penulis dan usahawan di penerbitan indie.

Cuma saya berasa sedikit musykil. Sekiranya semua mahu menjadi peniaga, siapa pula mahu menjadi pengguna? Kuasa membeli tidak mustahil akan merosot. Namun, setelah direnung kembali, ianya bukanlah suatu masalah. Setelah memperolehi keuntungan menjual produk syarikat lain, kemudian boleh beli produk syarikat lain pula. Maka, kuasa membeli mungkin tidak terjejas.

RAKYAT BOROS

Di kala merujuk soal pembaziran dan ketirisan perbelanjaan. Adalah tidak adil sekiranya diaudit sikap boros berbelanja (tanpa perancangan yang teliti) hanya kepada rakyat bawahan yang marhaen sahaja. Sedangkan sikap boros dan bermewah-mewahan pemerintah, tidak wajar sekiranya tiada siapa yang berani mengaudit, menegur dan membantah. Seharusnya pihak pemerintah turut mempamerkan tauladan yang baik kepada rakyat dalam soal berjimat cermat. 

Bukan hanya menyalahkan rakyat dengan menyatakan, "Bayar bil telefon bimbit tinggi boleh, bayar Astro mahal boleh, bayaran ansuran kereta beratus-ratus ringgit boleh. Kemudian mempertikaikan harga minyak naik, tarif utiliti naik, merungut wujudnya tol, pinjaman PTPTN, GST dan sebagainya." Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Cuma kita harus bijak menegur siapa sahaja yang tersilap. 

Oleh itu, walau siapa pun kita, haruslah berani saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Tidak kiralah yang tersilap dan boros berbelanja itu siapa dan apa jua darjat mereka. Sama ada golongan bangsawan, konglomerat atau pun bukan. Sedangkan khalifah-khalifah Islam terawal, cukup tawaduk serta terbuka menerima sebarang teguran dari rakyat bawahan. 

Sekian,

والله أعلمُ بالـصـواب

'Dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'

Adli Abdullah
15hb Mei 2014
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan