Coretan Permainan Video!

Screenshot permainan video kegemaran saya

Kali ini saya ingin membuat sedikit coretan mengenai permainan video simulasi dan ke semua jenis permainan video tiga dimensi(3D). Sebenarnya permainan-permainan tersebut ada buruknya, tetapi ada juga baiknya. Buruknya jika ianya menjerumus ke arah perkara-perkara negatif seperti melalaikan dan mempengaruhi diri untuk melakukan keburukan di alam realiti.

Manakala yang baiknya bagus untuk meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Dan ianya bagus untuk melahirkan idea-idea kreatif bagi setiap pereka-pereka grafik.

Walau bagaimana pun janganlah melampau-lampau dalam sesuatu perkara. Peringatan buat diri saya sendiri juga yang merupakan peminat permainan video berkenaan pada suatu ketika dulu, tetapi kini sudah jarang bermainnya. Namun begitu masih meminatinya hanya sekadar hobi sebagai riadah di kala lapang. Kerana saya tidak berpeluang melakukan riadah fizikal.

Sekian,

Wallahu'alam.

18hb Ramadhan 1431 Hijr | 28hb Ogos 2010  

Iktibar Tragedi Facebook



Di dalam dunia tanpa sempadan, ramai masyarakat kita yang mula berlumba-lumba menguasai internet. Mereka aktif berblogging, akfif dengan laman-laman sosial seperti Facebook, Myspace, Friendster dan sebagainya. Dari situlah mereka mula berkongsi pelbagai perkara tentang isu-isu semasa, perkara-perkara ilmiah, kehidupan seharian. Namun tidak kurang juga perkara-perkara yang tidak berfaedah memenuhkan ruang pelayan-pelayan(servers) internet.

Kini Facebook adalah di antara laman sosial paling popular yang mendapat tempat di hati pengguna-pengguna internet. Berdasarkan statistik, pengguna-penguna Facebook telah mencecah sehingga 500 juta orang sejak ianya mula diwujudkan pada tahun 2004 oleh Mark Zuckerberg bersama rakan-rakan sekuliah beliau. Pada awal penubuhan, Facebook  hanya terhad untuk kegunaan para pelajar sehingga ianya dikembangkan bagi kegunaan orang awam. (klik untuk selanjutnya)

Pengguna-pengguna Facebook terdiri daripada pelbagai peringkat umur, ada remaja, dewasa, warga emas dan sebagainya. Pengguna internet ramai di kalangan golongan remaja, jadi tidak syak lagi Facebook lebih ramai dipelopori oleh golongan remaja. Mereka menggunakan Facebook bagi mencari rakan-rakan baru serta rakan-rakan sekolah lama. Sehingggalah ke suatu ketika ianya akan menjadi sebuah ketagihan untuk sentiasa mencari rakan baru, sehinggalah sampai ke satu tahap pelbagai ragam manusia pelik-pelik mereka akan temui. Tetapi pernahkah remaja-remaja tersebut memikirkan tentang keselamatan mereka di alam Facebook?

Pada tahun lepas ada sebuah tragedi yang mengerikan berlaku terhadap pengguna Facebook remaja, Ashleigh Hall, seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang dibunuh secara seksual oleh seorang bekas penjenayah seks berumur 33 tahun hasil perkenalan di Facebook. Tragedi tersebut berlaku, apabila penjenayah berkenaan menyamar sebagai seorang remaja lelaki yang berumur 19 tahun dengan menggunakan wajah profail yang kacak sehinggakan mangsa tertarik dan terpedaya. Seterusnya mereka merancang untuk bertemu, maka dari situlah mulanya tragedi tersebut berlaku. (klik untuk selanjutnya)

Sepanjang pengalaman saya dalam menggunakan kemudahan teknologi komunikasi informasi(ICT), saya pernah menghadapi beberapa kejadian pelik. Ada sebuah kejadian lebih kurang hampir dua tahun lepas, semasa saya sedang dalam talian Yahoo Messenger(YM), saya pernah diganggu oleh seorang lelaki misteri. Beliau mengajak saya berbual-bual di YM, dalam perbualan tersebut beliau cuba melakukan perkara yang menjijikkan.

Antaranya sewaktu perbualan berlangsung:

Lelaki Misteri: "Boleh berkenalan?"
Saya: "Boleh, tapi sila perkenalkan diri anda dahulu"
Lelaki Misteri: "Aku berasal dari Bangi"
Saya: "Oooo"
Lelaki Misteri: "Aku 'gay' “.
Saya: "Gay???"
Lelaki Misteri: "Aku gay-lah bodoh!!!"

Dalam keadaaan yang panik dan rasa memualkan, secara spontan saya terus menutup YM dan kemudiannya saya terus menyekat 'id' lelaki terbabit'. Itulah pengalaman pelik pertama yang pernah saya hadapi. Jika dikenang kembali, ia tidaklah terlalu merbahaya. Cuma saya benar-benar berasa jijik, dan membuatkan saya teringat tentang kisah kaum Nabi Luth AS yang engkar dengan larangan Allah SWT. Telah ternukil di dalam Al-Quran tentang kaum Luth,
"Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasul. Ketika saudara mereka, Lut, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia. Dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas." Mereka menjawab: "Hai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir" Lut berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu." (Lut berdoa): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan'." Lalu Kami selamatkan ia beserta keluarganya semua. Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang tinggal. Kemudian Kami binasakan yang lain. Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat jeleklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti-bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang." (Surah As-Syu'ara':160-175)
Daripada kisah di dalam Al-Quran itu menjelaskan betapa Allah benci terhadap golongan homoseksual dengan menurunkan bala' bencana yang amat dahsyat kepada kaum Luth. Sesungguhnya mereka ini adalah orang-orang yang buta tuli hingga tidak nampak betapa kehebatan Allah SWT. Dan mereka menentang fitrah, sedangkan setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan. Firman Allah SWT,
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah.” (Surah Al-Dzariyat: 49)
Ada juga di negara barat membenarkan perkahwinan sejenis. Tidakkah mereka berfikir jika perkahwinan sebegitu dilakukan, bagaimana zuriat keturunan manusia boleh berkembang? Secara jelasnya, gejala homoseksual adalah cabang kepada gejala-gejala sosial lain seperti keruntuhan akhlak, berpesta maksiat, serta kegiatan zina yang menjerumus kepada kejadian pembuangan bayi yang semakin menjadi-menjadi. Seharusnya pihak-pihak berwajib terutamanya media-media, menjadi peranan penting mendidik golongan remaja. Kerana media adalah pengaruh penting kepada mereka. 

Cukuplah setakat itu saya ceritakan tentang pengalaman pelik saya. Kerana fokus utama hendak dibicarakan di sini bukan mengenai isu homoseksual. Tetapi berkenaan keselamatan Facebook buat remaja-remaja. Berbalik kepada topik asal, sebelum berlakunya tragedi terhadap mendiang Ashleigh Hall, sebuah badan kerajaan di United Kingdom yang dinamakan 'Child Exploitation and Online Protection Centre (CEOP) dan beberapa pihak pernah mencadangkan kepada Facebook Inc. agar menyediakan butang panik untuk keselamatan kanak-kanak dan remaja yang berumur 13-18 tahun sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakn dan diganggu.

Lantaran dari cadangan untuk menyediakan butang panik itu, pada mulanya pihak Facebook Inc. enggan menerima cadangan tersebut. Namun setelah timbulnya tragedi berkenaan, barulah mereka bersetuju menyediakan butang panik yang dinamakan ‘Click-Ceop’. Untuk pengetahuan anda, CEOP adalah ibarat polis di alam siber. Mereka adalah sebuah pusat aduan dan perlindungan kanak-kanak secara dalam talian CEOP yang mempunyai jaringan dengan badan polis Inggeris dan badan-badan polis dunia dan ia berfungsi mengesan dan membawa si pelaku kepada pihak polis. (klik untuk selanjutnya)

Oleh itu, sebagai perlindungan, sistem keselamatan Click-Ceop amat disyorkan supaya diaktifkan untuk keselamatan setiap kanak-kanak dan remaja-remaja yang menjadi pengguna Facebook. Namun ianya bukanlah keselamatan mutlak, keselamatan yang terbaik hanyalah perlindungan dari Allah SWT dan amalkan pergaulan cara Islam, jauhi zina maka anda akan selamat dari jalan yang buruk lagi menghinakan. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra': 32)
Walau bagaimana pun ia boleh menjadi suatu ikhtiar untuk keselamatan remaja. Kerana ikhtiar adalah suatu usaha untuk perkara-perkara yang baik.

Tanggunjawab ibu bapa:

1. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka. Periksa solat mereka, periksa pelajaran mereka, kawal mereka daripada selalu keluar rumah, kawal pergaulan mereka, dan mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan di alam maya atau di mana sahaja.
2. Pastikan sentiasa menasihati mereka agar memahami tujuan sebenar kehidupan adalah kerana Allah dan RasulNya. Dan didiklah mereka menggunakan internet hanya untuk perkara-perkara yang positif.
3. Terakhir sekali perkara yang amat penting dan perlu ditekankan dengan tegas, pastikan anda adalah orang pertama yang paling rapat dengan anak-anak anda. Amalkan selalu solat secara berjemaah dengan anak-anak, dan makan bersama mereka. Berikan kasih sayang dan didikan sepenuhnya kepada mereka. In Shaa Allah, sudah tentu mereka sentiasa akan terdorong untuk melakukan kebaikan, mudah mendengar nasihat dan teguran anda. Sesungguhnya anak-anak adalah amanah kepada ibu bapa, dan andalah yang mencorakkan mereka.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
14hb Ramadhan 1431 Hijr | 24hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com

Tazkirah Ramadhan 1431 Hijr

Di dalam kesibukan kita mengejar amalan-amalan sunat seperti solat sunat Tarawih, harus diingatkan agar kita mengutamakan ibadah solat fardu terlebih dahulu. Lebih mudah dikatakan, utamakan solat-solat fardu sebelum solat-solat sunat yang lain. Seharusnya di bulan Ramadhan ini kita mengambil kesempatan untuk mendidik diri agar menjaga solat fardu dan memperbaiki mutu solat tersebut ke tahap yang optimum.
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri. Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.)
Jelaslah daripada hadith tersebut, solat harus dilakukan dalam keadaan yang teratur dan tidak tergesa-gesa. Seandainya kita melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa, sudah tentu solat yang kita laksanakan itu menjadi tidak sempurna dan ianya seperti sesuatu perkara yang sia-sia.

Dan solat sudah semestinya dilakukan seperti apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Sabda Baginda SAW,
“Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari)
Seterusnya barulah boleh kita laksanakan perkara-perkara sunat yang digalakkan dengan sebanyak mungkin jika mampu. Solat sunat Tarawih adalah solat sunat yang amat dituntut untuk dilaksanakan pada malam Ramadhan. Sabda Nabi SAW,
"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith riwayat Imam Muslim)
Namun di saat ramai di kalangan masyarakat Muslim sibuk mengejar ganjaran pahala dari ALLAH SWT, ada di kalangan anak-anak remaja kita yang terjebak dengan gejala zina dan pembuangan bayi yang kian meningkat. Perkara tersebut seandainya tidak ditangani dengan bijaksana, maka akan rosaklah generasi muda akan datang. Kaedah pencegahan harus dimainkan oleh semua pihak khususnya ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak dengan cara hidup Islam yang jitu. Dan didiklah anak-anak kita agar menjauhi perkara-perkara yang boleh menjurus ke arah perbuatan zina dan apa saja perkara-perkara mungkar. Firman ALLAH SWT,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah al-Isra’: 32)
Seterusnya dalam firmanNya yang lain,
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabuut : 45)
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya,
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman: 17)
Oleh itu didiklah anak-anak kita agar menjaga solat sepertimana Luqmanul Hakim mendidik anaknya tentang keutamaan ibadah solat. Dan bersamalah kita memelihara ibadah solat fardu dengan sebaik mungkin. Solat pada awal waktu itu yang sebaiknya. Moga segala apa yang saya sampaikan itu tadi mendapat manfaat kita bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat berpesta ibadah kepada seluruh muslimin dan muslimat. Dan moga anda semua di dalam daerah kesejahteraan hendaknya. Sabda Nabi SAW,
"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Dan sabda Baginda lagi,
"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." (Hadith riwayat al-Bukhari)
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
6hb Ramadhan 1431 Hijr | 16hb Ogos 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com

Buka Jahitan Setelah Seminggu Biopsi?

Gambar sebenar

Setelah seminggu pembedahan biopsi yang telah saya jalani, sudah tiba masanya untuk dicabut jahitan pada bahagian pembedahan berkenaan. Jadi saya pergi berjumpa Dr. Raj di klinik beliau yang terletak di Bandar Jasin. Doktor tersebut memang baik hati kerana beliau mencabut jahitan kesan pembedahan itu serta disediakan ubat sapu dengan caj secara percuma sahaja..hehe.. Harap doktor Muslim juga mampu berbuat begitu. Berkhidmat sambil beramal apabila ada kesempatan.

Namun, para doktor Muslim juga ada yang baik hati seperti itu. Ada seorang doktor yang saya kenal semenjak sekian lama, yang sangat-sangat baik hati dengan saya. Namanya Dr. Rosnah Adam yang juga emak angkat saya. Bahkan beliau sudah saya anggap seperti emak saudara saya sendiri. Beliau adalah pengamal perubatan 'Homeopathy', bukan perubatan ‘Elopathy’. Sudah lebih 10 tahun beliau menanggung saya dengan ubat-ubatan percuma. Moga ALLAH SWT membalasnya.

Sudah agak lama saya makan ubat-ubatan yang Dr. Rosnah telah berikan. Tetapi mungkin belum rezeki saya untuk sembuh.

Mungkin pada minggu hadapan saya akan dapat tahu keputusan biopsi bagi memastikan apakah benar saya ini mempunyai penyakit ‘Muscular Dystrophy’(MD), dan apakah jenis MD yang saya alami.  Kerana penyakit MD terlalu banyak sehingga mencecah 80 jenis!

Jika benar saya ada penyakit MD, saya syak saya adalah jenis ‘Duchenne MD’. Kerana beberapa gejalanya ada persamaan dengan saya:

“Gejala biasanya muncul sebelum usia 6 dan mungkin muncul pada awal masa kanak-kanak. Mereka mungkin termasuk:

    * Kelelahan
   * Kelemahan otot
          o Mula di kaki dan pinggul, tetapi juga berlaku kurang parah di leher, lengan, dan bahagian lain dari tubuh
          o Kesulitan dengan kemahiran motor (berjalan, melompat, melompat)
          o Kerap jatuh
          o Cepat memburuk kelemahan
    * Progressive kesulitan berjalan
         o Kemampuan untuk berjalan mungkin akan hilang oleh usia 12

Pada usia 12, sebahagian besar pesakit terhad kepada kerusi roda.”
Sumber rujukan: The New York Times

Tetapi ada satu gejala yang mungkin tiada persamaan dengan saya:
* Terencat mental (mungkin, tetapi tidak memburuk dari masa ke masa)

Pesakit MD, kesihatan mereka ada progessive, makin lama makin menurun kesihatan. Berdasarkan fakta yang saya baca, para penghidap MD, sepanjang hayat mereka terpaksa bergantung pada ubat-ubatan atau makanan tambahan (supplement) bagi melambatkan progressive. Fakta berkenaan berlaku seperti apa yang saya rasakan, saya akan rasa lemah, letih dan tidak berdaya apabila tidak mengambil sebarang ubat-ubatan atau makanan tambahan (supplement). Dan mahu bercakap pun rasa tidak bermaya. 

Mungkin itu antara sebab saya ini pendiam. Jika anda berjumpa saya di luar, pasti anda terkejut. Kerana saya adalah seorang insan yang agak pendiam. Di alam maya sahaja kelihatan lantang mengemukakan segala pandangan dan pendapat.

Namun ia tidak menjadi alasan bagi saya untuk tidak berusaha menjadi insan yang cemerlang. Kecacatan fizikal tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk saya berjaya. Paling penting saya tidak boleh menjadi orang yang berputus asa. Kerana ALLAH SWT paling tidak suka orang yang berputus asa.

Kesimpulannya: Bersama menantikan keputusan biopsi pada minggu hadapan bagi memastikan apakah benar saya menghidapi ‘Mucular Dystrophy’ dan apakah jenisnya? Jika benar saya menghidapinya, saya dan keluarga tidak usah mengeluh, berdukacita dan berputus asa. Seterusnya kami wajib terus berikhtiar mencari solusi bagi merawat saya walau pun tidak sembuh 100 peratus.

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
2hb Ogos 2010

ULASAN: 'Pesanan Buat Pendokong Salafiyyah'

Sumber gambar: Google
ULASAN: Saya termenung seketika selepas membaca artikel 'Pesanan Buat Pendokong Salafiyyah' oleh Ustaz Aizam Mas'ud. Artikel tersebut amat bagus bagi menasihati diri saya dan juga pendokong-pendokong Salafiyyah yang lain. Kini saya sedar ke mana hala tuju sebenarnya saya sebagai pendokong 'Salafiyyah' dan sebagai Geng Salaf. 

Antara bahagian yang menarik perhatian saya - 
Terlalu emosional dalam memerangi bid’ah, 
boleh menjadi punca memerangi Sunnah:

"Kadang-kadang terdapat orang yang keterlaluan dalam memerangi bid’ah sehingga terjebak pula kepada memerangi Sunnah sendiri. Sebagai contoh, terdapat orang yang mengharamkan azan pertama pada hari Jumaat kerana menganggap ia bid’ah, tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW. Dia sebenarnya lupa bahawa azan ini adalah Sunnah pada zaman Uthman ibn’ Affan. Ketika ia dilakukan Sahabah menyetujuinya kerana ia mengandung hikmah bagi mengumpulkan orang ramai untuk solat. Ia juga mengambil hukum Sunnah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin selepasku, berpeganglah kepadanya dengan teguh (seumpama menggigit dengan geraham)”. Selain itu, bukankah kaedah dua azan ini telah lama diadakan termasuk ia diteruskan oleh ulama Ahli Sunnah dan Salafiyyah di Riyadh dan al-Haramain al-Syarifain (Makkah dan Madinah)".

Segala yang baik itu dari ALLAH SWT Dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.

Wallahu'alam.

Adli Abdullah

http://adli-abdullah.blogspot.com

  
Oleh: Ustaz Aizam Mas'ud

Semalam, kita dikejutkan dengan 40 orang ulama muda berfahaman Salafiyyah yang menyertai UMNO. Menurut mereka, tujuan penyertaan ke dalam UMNO itu adalah untuk berdakwah melalui platform parti tersebut. Bagi penulis soal tujuan dan matlamat itu adalah terlalu sukar untuk diduga kerana hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui tujuan dan agenda sebenar mereka.


Umumnya, penulis berpandangan aliran Salafiyyah itu wujud dengan pelbagai corak dan warna. Terpulang kepada individu atau jamaah yang beraliran tersebut untuk menentukan cara pembawaan atau approach yang ingin digunakan. Ia bukan baru, malah tokoh-tokoh gerakan Islam tempatan termasuk Tuan Guru Hj Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri cenderung terhadap aliran Salafiyyah. Begitu juga dengan pendekatan pelopor gerakan Islam tersohor di Mesir, al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna sehingga terkandung di dalam tulisannya yang mengatakan bahawa Ikhwan Muslimin menyeru kepada ‘dakwah Salafiyyah’.


Apapun , penulis perturunkan di sini sedikit pandangan dan nasihat, jika benarlah aliran Salafiyyah itu yang menjadi manhaj perjuangan 40 ulama muda itu:


Amat penting kita mengetahui siapakah sebenarnya Salafiyyah itu? Mungkin kita pernah terdengar golongan yang mendakwa Salafiyyah itulah yang lebih benar kerana ia merujuk kepada sebaik-baik generasi selepas zaman Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu, ada antara mereka yang ta’assub telah merendah-rendahkan golongan ulama sedia ada lalu menganggap mereka golongan yang perlu ditajdid atau diperbaharui.


Mereka juga mendakwa bahawa Salafiyyah itu ialah golongan yang berpegang kepada dalil al-Qur’an, al-Hadith dan pendapat ulama Salaf semata-mata. Selain daripada sumber itu ia dianggap menyalahi Sunnah dan menghampiri bid’ah. Persoalannya benarkah ini mafhum Salafiyyah yang sebenar?


Dalam membincangkan isu ini, penulis tertarik dengan apa yang dibahas oleh Dr. Rajih Abdul Hamid al-Kurdi, Ketua Jabatan Aqidah dan Dakwah, Universiti Jordan yang juga seorang Salafi, dalam bukunya berjudul “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Di dalam buku ini beliau telah membicarakan apakah maksud Salafiyyah yang sebenar. Beliau telah membahagikan Salafiyyah kepada tiga makna. (al-Kurdi, Rajih ‘Abd al-Hamid, al-Ittijah al-Salafi Baina al-Asalah Wa al-Mu’asarah, ‘Amman: Dar ‘Ammar, 12-17)


Pertama, golongan yang dinamakan Salafiyyah Zamaniyyah. Mereka ialah kalangan Sahabah, Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in pada tiga kurun yang pertama. Dalil tentang keutamaan golongan ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih nya, daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka, kemudian mereka yang menyusuli selepas mereka…”. Walau bagaimana pun golongan ini telah pun berakhir dengan berakhirnya tiga kurun pertama sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Kedua, Salafiyyah Manhajiyyah, iaitu golongan yang mengikuti jejak langkah golongan Salaf yang berada dalam tiga kurun pertama secara manhaj. Penyandaran kalimah ‘manhaj’ kepada Salafiyyah jenis ini memandangkan mereka mengekalkan manhaj yang telah dirintis oleh golongan terdahulu dalam menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Mereka berpegang kuat kepada disiplin Qawa’id Usuliyyah dalam memahami segala perintah dan larangan yang termaktub di dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Senjata mereka adalah ketaqwaan serta memusuhi perpecahan dan perhambaan hawa nafsu. Mereka adalah golongan usuliyyun (ahli usul) dan manhajiyyun (ahli manhaj) dalam berpegang teguh kepada sumber-sumber hukum dan kaedah-kaedah memahaminya.

Ketiga, iaitu golongan Salafiyyah Madhmuniyyah atau Fikriyyah yang mengambil pendapat dan pendekatan golongan Salafiyyah Manhajiyyah yang terdahulu dan mempratikkannya dalam kehidupan mereka tanpa sebarang penilaian semula atau penyesuaian. Pemahaman Salafiyah jenis ini agak sempit dan rigid berbanding Salafiyyah Manhajiyyah.

Bagi Salafiyyah Manhajiyyah, mereka telah mengekalkan manhaj yang digunakan oleh golongan Salaf terdahulu tetapi melalui pendekatan yang berbeza sesuai dengan situasi semasa, keadaan manusia dan perubahan zaman. Dengan pendekatan yang meraikan keadaan sekeliling maka Salafiyyah Manhajiyyah cenderung untuk menghasilkan suatu pemikiran atau fiqh baru sesuai dengan keadaan semasa tanpa mencabuli asas-asas manhaj golongan Salaf. Salafiyyah jenis yang ketiga inilah akhirnya menjadi metod utama dalam banyak gerakan-gerakan Islam yang wujud di dunia Islam pada hari ini. Salah satu gerakan Islam tersebut adalah Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan oleh tokoh Islam terkenal al-Syahid Hasan al-Banna.

Jika kita menelusuri khazanah pemikiran yang telah ditinggalkan oleh al-Banna, kita akan dapati beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj Salafiyyah Manhajiyyah dalam dakwahnya. Antara bukti jelas kefahaman al-Banna terhadap manhaj ini ialah dengan tercetusnya prinsip al-Usul al-‘Isyrin (usul dua puluh) yang menjadi teras dalam perjuangan dakwah beliau di Mesir. Usul dua puluh ini juga akhirnya telah dijadikan asas rujukan gerakan-gerakan Islam yang lain di seluruh dunia dalam menjalankan visi dan misi dakwah mereka.

Pendekatan Salafiyyah Manhajiyyah yang dibawa oleh al-Banna jauh sekali daripada membawa imej mazhab atau aliran tertentu. Umat Islam yang melihat dan mendengar apa yang dibawa oleh al-Banna, mengetahui keikhlasan beliau hanyalah ingin menyeru umat kembali kepada Islam. Setiap golongan yang menganuti mazhab atau aliran tertentu, senang menerima dakwah yang dibawa oleh al-Banna. Tiada cercaan, tiada penghinaan, tiada sindiran dan tiada label melabel kepada mana-mana kumpulan, individu, mazhab mahupun aliran dalam dakwah yang disampaikan. Hakikatnya beliau benar-benar telah mempraktikkan manhaj golongan Salaf dalam dakwahnya.

Oleh itu, amat baik sekali sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mahu menegakkan dakwah Salafiyyah di Negara ini merujuk dan menghayati apa yang telah diwariskan oleh al-Banna. Tidak setakat itu, penulis juga mahu mengajak para pembaca dan pencinta Salafiyyah agar sama-sama bermuhasabah sambil melihat beberapa pesanan yang disebut oleh Dr. Rajih al-Kurdi dalam bukunya “Aliran Salafi: Antara Tulen dan Masakini”. Antara saranan beliau di dalam buku tersebut dapat penulis ringkaskan seperti berikut:-

Kewajipan menjauhkan umat daripada membicarakan soal-soal cabang

Sewajarnya gerakan dakwah Salafiyyah Manhajiyyah tidak menghimpit pemikiran umat dengan perkara-perkara cabang fiqh yang asing bagi umat. Antaranya dengan cara memilih pandangan seorang alim atau faqih lalu menyembunyikan pandangan alim atau faqih yang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya perkara yang dibahaskan ini langsung tidak menjadi senarai utama dalam dakwah kepada umat ketika ini. Apatah lagi sekiranya ia hanyalah sesuatu yang berada di penghujung senarai keutamaan.


Memerangi ulama fiqh bukan cara untuk mengislah ummah

Dalam usaha mengajak umat supaya membuang rasa ta’assub, mencintai ilmu, mengikuti dalil serta membuka pintu ijtihad buat para ulama, semua ini tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah-rendah atau memperlecehkan ulama sedia ada. Menyifatkan mereka sebagai boneka ummah, menganggap ikutan kepada mereka seperti ikutan Nasrani dan Yahudi kepada pendeta dan paderi mereka berasaskan dalil surah al-Taubah ayat 31, jelas merupakan pendalilan yang tidak menepati manhaj Salaf al-Soleh dalam mengambil hukum. Memaksa orang lain mendengar dan berpuas hati dengan pandangan kita tetapi dengan cara menghentam dan menjatuhkan pandangan ulama yang lain hanya akan menjadi batu penghalang kepada dakwah Salafiyyah.

Pengajaran (dakwah) tidak boleh dengan menjatuhkan maruah para ulama terdahulu

Sekiranya matlamat anda adalah untuk mengajak para ulama kembali kepada dalil atau membuat kajian terhadap dalil-dalil atau berijtihad, maka menjatuhkan maruah mereka bukan cara yang sepatutnya digunakan untuk mendorong mereka berubah. Sekiranya bertujuan untuk mengajar umat secara umum, maka tidak ada sebab untuk anda menjatuhkan kredibiliti para ulama yang lain pada pandangan awam. Ini kerana dengan menjatuhkan kredibiliti ulama lain dan seterusnya memasukkan ijtihad anda ke dalam fikiran mereka, akhirnya membuatkan mereka akan bertaqlid dengan anda pula. Kesimpulannya anda juga menyeru kepada taqlid.

Jangan memaksa orang yang buta syariah untuk menilai dalil syar’i

Sekiranya anda berhajat untuk mempersiapkan golongan awam supaya masing-masing merujuk kepada dalil-dalil syar’i, sedangkan mereka tidak mampu berbuat demikian, tidak mampu untuk mentarjihkan (memilih yang lebih kuat) mana-mana pandangan ulama. Maka ini merupakan salah satu bentuk pengabaian dalam memahami asas-asas Islam, al-Qur’an dan al-Sunnah serta memaksa orang supaya memahaminya sebagaimana yang tidak difahami oleh para ulama Salaf. Ini juga membebankan umat dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Lebih-lebih lagi ia mungkin mendorong kemunculan golongan yang berani berijtihad dengan menggunakan akal sendiri tanpa memahami disiplin ilmu yang sebenar.

Beramal dengan apa yang kita sepakati dan bermaaf-maafan dalam perkara yang kita perselisihi.

Dalam menangani sebarang isu berbangkit, kita perlu kepada nasihat-menasihati dan saling bekerjasama demi memastikan hati-hati umat Islam sentiasa dalam kesatuan. Oleh itu kita perlu saling bekerjasama dalam apa jua perkara yang kita sepakati dan saling memaafkan pada perkara yang kita tidak sehaluan selagimana ia termasuk perkara cabang yang tidak berkaitan asas-asas Islam. Oleh itu sekiranya kita cenderung untuk memilih salah satu pendapat daripada pendapat yang dikemukakan oleh ulama Salaf, itu tidak bermakna yang lain bukan pendapat Salaf, kerana golongan Salaf juga saling berselisihan pendapat sesama mereka. Lebih-lebih lagi kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh selain pendapat Salaf sebagai golongan bid’ah yang sesat. Sesungguhnya khilaf sudah lama berlaku di kalangan ulama Salaf sama ada dalam persoalan menentukan keutamaan terhadap sesuatu atau berkaitan hukum-hakam far’iyyah (cabang).

Golongan Salafiyyah terkemudian menyalahi golongan Salafiyyah sebelumnya

Sebagai contoh Syaikh al-Albani berselisih pendapat dengan Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam beberapa masalah. Al-Albani berpandangan bahawa mandi pada hari ‘Arafah itu adalah bid’ah sedangkan Ibn Taimiyyah tidak menganggap ia sabit daripada Rasulullah SAW. Al-Albani melihat bahawa solat jama’ dalam bermusafir itu sabit, Ibn Qayyim pula menganggap itu tidak termasuk petunjuk Nabi SAW. Ibn Taimiyyah mengatakan, berwuduk disebabkan menyentuh zakar itu sunat, al-Albani pula memandangnya sebagai wajib. Oleh itu, sekiranya kita memilih salah satu daripada pendapat ini, kita tidak boleh mengatakan yang dipilih itu sebagai pandangan Salaf dan yang tidak dipilih sebagai bukan Salaf, atau yang dipilih itu Sunnah dan yang tidak dipilih itu bid’ah.

Amaran daripada berpegang kepada zahir nas semata-mata

Di sana wujud kebimbangan apabila muncul segelintir golongan muda yang bersemangat dalam kembali kepada dalil-dalil syar’i tanpa memahami usul. Ini amat berbahaya kerana ia menjurus kepada memahami nusus secara zahir tanpa mendalami fiqh nusus tersebut. Ia sebenarnya lebih bahaya daripada manhaj fiqh zahiri Imam Ibn Hazm sendiri. Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang mengharamkan wanita memakai emas. Mereka beralasan memakaikan wanita dengan rantai atau gelang emas seolah-olah memakaikan mereka dengan belenggu daripada neraka. Ini sangat jelas menunjukkan golongan ini terlalu kuat berpegang kepada zahir hadith tanpa memahami fiqh hadith tersebut. Sebenarnya hadith tersebut menjelaskan tentang tegahan Nabi SAW terhadap adat jahiliyyah yang masih wujud pada zaman Baginda SAW yang memakaikan kanak-kanak mereka dengan gelang-gelang emas, cincin dan hadiah-hadiah berbentuk seperti itu. Semua ini ditakuti boleh menyebabkan jiwa si anak lelaki terbiasa dan terikat dengan emas atau barang-barang sepertinya. Jika ini berlaku sudah tentu apabila mereka dewasa, akan menyukarkan mereka untuk meninggalkan tabiat mencintai perhiasan emas, ini sudah tentu akan menyebabkan mereka terjebak melakukan perkara yang diharamkan.

Menyibukkan ummah dengan apa yang mereka perlu dan dengan apa yang boleh menyatukan hati-hati mereka

Perkara-perkara khilaf berkatan cabang fiqh tidak sepatutnya menjadi agenda utama golongan Salafiyyah sebaliknya banyak lagi agenda umat yang perlu didahulukan. Menyibukkan mereka dengan perkara-perkara khilaf hanya akan memecahbelahkan kesatuan mereka sama ada dengan disedari atau tanpa disedari. Oleh itu keutamaan Salafiyyah ketika ini iaitu mengumpulkan jiwa umat Islam agar boleh bersama bersatu padu.

Terlalu emosional dalam memerangi bid’ah, boleh menjadi punca memerangi Sunnah

Kadang-kadang terdapat orang yang keterlaluan dalam memerangi bid’ah sehingga terjebak pula kepada memerangi Sunnah sendiri. Sebagai contoh, terdapat orang yang mengharamkan azan pertama pada hari Jumaat kerana menganggap ia bid’ah, tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW. Dia sebenarnya lupa bahawa azan ini adalah Sunnah pada zaman Uthman ibn’ Affan. Ketika ia dilakukan Sahabah menyetujuinya kerana ia mengandung hikmah bagi mengumpulkan orang ramai untuk solat. Ia juga mengambil hukum Sunnah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin selepasku, berpeganglah kepadanya dengan teguh (seumpama menggigit dengan geraham)”. Selain itu, bukankah kaedah dua azan ini telah lama diadakan termasuk ia diteruskan oleh ulama Ahli Sunnah dan Salafiyyah di Riyadh dan al-Haramain al-Syarifain (Makkah dan Madinah).

Tidak tergesa-gesa menghukum bid’ah ke atas orang lain

Sesungguhnya tergesa-gesa dalam menghukum orang lain sebagai bid’ah adalah merupakan sesuatu yang tertolak dalam mafhum Salafiyyah Manhajiyyah. Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum ke atas manusia di dunia, apatah lagi kita juga bukan penghukum kepada mereka di akhirat nanti sama ada penghuni neraka mahupun syurga.

Mengumum dalam menghukum bukan daripada sifat Salaf

Ini adalah perbuatan yang amat tidak beradab dalam membuat teguran. Bukan daripada sifat Salaf membuat teguran secara terbuka dalam bentuk ta’mim atau mengumum sesuatu hukum. Lebih-lebih lagi sekiranya ia ditujukan kepada pemegang ijazah dalam bidang agama yang disegani atau dikenali masyarakat. Menuduh mereka dengan jahil, penyebar hadith palsu, penghikayat dan sebagainya merupakan hukum ta’mim yang boleh merendah-rendahkan kredibiliti golongan agama sendiri. Ini kerana hukum ta’mim kepada yang tertuduh hanya akan mendapat reaksi balas secara ta’mim juga oleh ahli masyarakat awam.

Wajib berbaik sangka dengan semua golongan yang menyumbang kepada Islam.

Sesungguhnya dakwah Salafiyyah masakini adalah dakwah yang memerlukan kerja keras daripada semua lapisan masyarakat. Sama ada di peringkat individu, jamaah, swasta mahupun kerajaan, kesemuanya perlu berganding bahu untuk memastikan dakwah Islam sampai kepada golongan sasaran.

Kesimpulannya, apa yang penting menurut mafhum Salafiyyah Manhajiyyah, adalah penyampaian dakwah Islam itu sendiri. Ia melampaui batasan mazhab atau apa jua bentuk aliran pemikiran yang menjadi khilaf dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keutamaan adalah mengembalikan umat kepada Islam yang sebenar dan seterusnya membentuk kembali kesatuan dan kekuatan umat seperti mana suatu ketika dahulu.

Percaya Atau Tidak - Susuk Digital?


Sumber: Google

Petang tadi di rancangan Al-Kulliyyah ada membicarakan tentang 'susuk'. Susuk digunakan untuk dua tujuan, sama ada untuk kecantikan atau untuk menjadi kuat. Susuk adalah sesuatu perkara yang salah di sisi Islam. Kerana ia boleh membawa kita ke lembah kesyirikan (menyekutukan Allah).

Sebab apa? Kesimpulan mudah adalah, kita seolah-seolah meminta bantuan sesuatu yang lain dari Allah, dan menganggap ada sesuatu yang lain yang lebih berkuasa dari Allah SWT. Nazubillahi min dzalik. Sepatutnya, kita wajib meng-Esakan Allah, dan hanya Dialah selayak-layak tempat untuk kita memohon pertolongan.

Dan apabila kita perlukan bantuan di dalam kesulitan dan inginkan sesuatu, seharusnya kita hanya memohon doa kepadaNya. Seterusnya kita berikhtiar (berusaha) untuk mendapatkannya. Selebihnya kita bertawakal (berserah) kepada Allah agar mengizinkan perkara tersebut berlaku.
"Hanya kepada Engkau (Allah) tempat kami menyembah dan memohon pertolongan" (Surah Al-Fatihah: 4)
Tetapi kita juga harus pastikan niat, tujuan dan keinginan kita itu benar-benar suci lagi baik di sisi Allah SWT.

Di antara keburukan susuk:
1. Menjadi syirik (menyekutukan Allah). 
2. Solat tidak diterima selama 40 hari (kerana menyekutukan Allah).
3. Pengguna susuk selalu bermimpi yang buruk-buruk sewaktu tidur.

Dan susuk ada jenis-jenis kategorinya:
1. Susuk biasa, iaitu susuk luaran seperti pembedahan plastik, botox dll. 
2. Susuk luar biasa(susuk yang syirik), seperti susuk yang memasukkan sesuatu ke dalam muka atau tubuh dan ianya menggunakan Jin sebagai khadam.

Tetapi sama ada anda percaya atau tidak, di zaman IT ini ada lagi satu jenis susuk yang canggih, iaitu 'Susuk Digital'. Susuk tersebut, membuat sesuatu foto digital boleh disunting menjadi macam-macam rupa menggunakan perisian seperti 'Adobe Photoshop'.

Contohnya:
1. Seseorang yang kurang cantik, boleh menjadi bertambah cantik di dalam foto berkenaan dengan menggunakan kesan khas tertentu.
2. Ianya mungkin boleh di salah guna oleh segelintir wanita yang menyunting foto tersebut dan diletakkan dalam internet, bagi menipu lelaki demi mendapatkan sesuatu yang diingini dari pihak lelaki.
3. Lalu si lelaki tertipu/terpikat dengan kecantikan yang palsu itu.
4. Maka ianya memudahkan si lelaki yang ingin mencari pasangan hidup itu tertipu dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga melanggar batas-batas agama demi mendapatkan wanita berkenaan.

Apa yang saya ingin maksudkan adalah, sekiranya perkara sebegitu rupa berlaku, ia adalah kesalahan akhlak oleh kedua-kedua pihak yang menyalah guna teknologi IT dengan perbuatan yang diharamkan agama.

Kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak:
1. Si wanita melakukan penipuan dengan foto beliau sendiri.
2. Si lelaki terlalu mudah ditipu dan terpukau dengan kecantikan yang sementara sehingga melakukan pergaulan yang tidak sihat di alam maya (internet).

Mencari jodoh itu wajib, kerana perkahwinan itu sunnah Rasulullah SAW. Tetapi caranya juga mestilah halal mengikut syari'at.

Ciri-ciri jodoh yang paling ditekankan oleh Baginda:
1. Agamanya.
2. Keturunannnya.
3. Hartanya.

Di dalam Islam beberapa perkara telah digariskan di dalam pergaulan. Pergaulan bebas adalah haram sama sekali. Jadi kerana itulah Islam melarang berpasang-berpasangan sebelum bernikah.

Mungkin demi menghalalkan berpasangan sebelum nikah, ada juga orang yang memberikan alasan, "Apa salahnya berpasangan sebelum nikah. Kerana kami tidak buat apa-apa."

Tetapi bagi saya, jika kita berpasangan sebelum bernikah, berbagai perkara tidak diingini boleh berlaku. Risiko ke lembah zina amatlah tinggi. Cuba anda lihat, kes-kes kejadian buang bayi semakin berleluasa di kala ini. Semuanya jelas berpunca dari kejadian zina. Punca zina pula, akibat daripada pergaulan bebas yakni berpasangan sebelum nikah.
"Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya. Barangsiapa mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya juga." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)
Walau pun 'Susuk Digital' tidak menyebabkan kesyirikan, ia juga berbahaya. Kerana ianya membuat orang lelaki lebih mudah tertarik untuk melihatnya. Seterusnya ia juga boleh menyebabkan berlakunya zina, iaitu zina mata. Sungguh pun begitu, ia tidak sepenuhnya berpunca dari 'Susuk Digital'. Ia juga boleh berpunca oleh keaslian kecantikan seseorang wanita itu. 

Oleh itu, para wanita yang mempunyai paras rupa menawan, jangan terlalu mudah memaparkan foto-foto mereka di laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Kerana boleh mengundang sesuatu perkara yang tidak ingini.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
7hb Mei 2010
http://adli-abdullah.blogspot.com