Pada 3hb April 2013, akhirnya tibalah
detik-detik yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia, apabila diumumkan
pembubaran Parlimen oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Sebuah
tarikh keramat bagi membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) diadakan untuk
menilai semula prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang masih muda dan juga
kerajaan pusat yang sudah terlalu lama memerintah lebih daripada lima dekad.
Persoalan yang agak menarik adalah, sama ada mengekalkan atau menukar kerajaan
pusat?
Namun, saya bukanlah ingin berbicara soal
mengekalkan atau menukar kerajaan. Tetapi saya ingin berbicara soal isu-isu
politik yang dicanangkan pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang.
Juga soal tanggungjawab setiap Muslim untuk membuang undi semasa Pilihanraya
Umum Ke 13 (PRU13) nanti dalam konteks negara demokrasi menurut perspektif
Islam.
ISU-ISU
DICANANGKAN
Pertama, saya ingin menyebut soal, adakah
wajar 'isu aqidah' dijadikan bahan untuk kepentingan politik demi kuasa politik
serakah? Saya benar-benar tidak bersetuju bahawa, isu aqidah dijaja dan
dicanangkan untuk menghentam juga mengaibkan peribadi seteru-seteru politik
demi kepentingan politik masing-masing.
Aqidah adalah suatu elemen suci yang
merupakan asas utama kepada Islam. Tidaklah boleh dibuat main-main. Dan tidak
semudahnya kita boleh menghukum aqidah seseorang Muslim itu sama ada dia
terkeluar dari Islam (murtad), takfir (mengkafirkan) mereka dan sebagainya.
Kerana menurut prinsip aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ), kita tidak boleh
menghakimi aqidah seseorang itu berdasarkan apa yang ada di dalam jantung hati
insan. Ianya hanya boleh dinilai secara zahir dan luaran. Selagi mana ia tidak
mengaku menyekutukan ALLAH SWT, tidak melakukan perkara-perkara khurafat, juga
tidak mengaku murtad, kemudian tetap percaya kepada rukun iman, melaksanakan
rukun Islam, maka adalah tidak wajar jika kita terus menghukumnya dan membuat
kesimpulan. Sabda Nabi Saw,
"Sesiapa yang menuduh seseorang itu
kafir atau musuh ALLAH, tetapi ia tidak begitu. Maka tuduhan tersebut kembali
kepada yang menuduh." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Seandainya ia pernah menyatakan berdasarkan
penulisan atau percakapannya yang mungkin bertentangan aqidah, maka kita perlu
mengkajinya terlebih dahulu dari segi konteks.
Saya ingin memberi beberapa contoh.
Contohnya, apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah
menyatakan, "Hudud adalah ciptaan ahli fekah". Namun, kita harus
bersikap adil walau beliau adalah seteru politik atau insan yang tidak sebulu
dengan kita, tidak boleh terlalu pantas untuk menghukum aqidah dan keimanannya,
Kita harus mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin ia bermaksud,
bahawa istilah ‘hudud’ itu yang dicipta oleh para ulama'.
Contoh kedua, apabila mantan Timbalan Perdana
menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dituduh pluralisma dan liberalisma agama. Antaranya,
beliau pernah menyatakan seorang wanita Muslim yang keluar meninggalkan Islam
(murtad) iaitu Lina Joy, itu adalah haknya. Namun, tidaklah wajar kita terus
menghukum dan menuduh beliau menyokong gejala murtad. Kita harus mengkaji dari
segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin beliau maksudkan, dari sudut
perundangan negara yang didominasi oleh sistem perundangan sivil yang diwarisi
daripada penjajah British. Dari sudut perundangan sivil, memang kita tiada
upaya untuk menghalang Muslim yang hendak murtad. Inilah hakikat, apabila
sistem perundangan syar’iah tidak diangkat mengatasi sistem perundangan sivil. Namun,
cara paling mudah untuk mengatasi gejala murtad adalah dengan melaksanakan ‘Enakmen
Anti-Murtad’ yang sepatutnya telah lama dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah. Maka,
ianya juga boleh membantu untuk membendung gejala murtad daripada berlaku.
Walau bagaimana pun, tiada salahnya untuk
memberi teguran bahawa, apa yang telah mereka ungkapkan dan catatkan itu adalah
salah. Kerana Islam adalah ‘agama nasihat’. Namun, dengan cara yang tidak
mengaibkan, hikmah, tidak menjarakkan ia dari Islam serta dengan niat yang
tulus. Bukan di atas agenda politik golongan tertentu, yang berpunca daripada
kebencian dan dendam kesumat semata-mata. Apatah lagi jika insan yang dituduh itu
mengaku tersilap dan menarik semula kenyataannya yang telah ditulis. Firman
ALLAH SWT,
"Wahai orang-orang yang beriman
hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana
Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku
adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah
Al-Maidah: 8)
Kedua, saya ingin menyebut soal, adakah wajar
perihal peribadi (yang tiada kaitan kepentingan/harta rakyat) seteru-seteru
politik dimanipulasi sebagai isu politik? Saya dengan tegas menyatakan,
benar-benar tidak bersetuju soal peribadi mana-mana insan termasuk ahli
politik, dijaja di sana sini, londeh melondehkan, aib mengaibkan yang merupakan
modal politik murahan untuk jatuh menjatuhkan musuh-musuh politik dengan cara
yang amat menjijikkan. Firman ALLAH SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima
taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujurat: 12)
Ayat di atas menjelaskan bahawa, ALLAH SWT melarang
hamba-hambaNYA yang benar-benar beriman kepada Al-Quran daripada menyingkap aib
peribadi saudara se-Muslim yang lain. Meskipun benar, ia akan menjadi umpatan
atau sepertimana Nabi SAW menyebut ‘ghibah’ dalam sebuah hadith sahih, yang memberi
makna jelas iaitu menyebut tentang saudaramu dengan sesuatu yang ia benci. Manakala,
jika cerita yang dihebahkan itu dusta, maka ianya menjadi fitnah yang
mengakibatkan kacau bilau dan huru-hara dalam masyarakat. Sabda Nabi SAW,
“Sesiapa yang menutup aib Muslim yang lain,
maka ALLAH akan menutup aibnya.” (Riwayat Muslim)
Maka, jika seseorang Muslim itu membuka aib
saudaranya sendiri, adalah tidak mustahil ALLAH SWT akan membuka aibnya pula di
kemudian hari nanti.
Oleh itu, pertempuran sihat di medan politik,
cukuplah sekadar dengan menggunakan senjata yang berasaskan hujah dan fakta
yang bernas. Perkara penting yang patut ditekankan dan diberikan perhatian yang
serius adalah, tentang soal rasuah, penyelewengan dan ketirisan dalam
menguruskan harta-harta rakyat, juga soal pembelaan terhadap rakyat golongan
marhaen dan mustad’afin (yang ditindas).
TANGGUNGJAWAB
MENGUNDI
Sesungguhnya, tanggungjawab mengundi semasa
pilihanraya dilangsungkan, adalah suatu tuntutan yang wajib bagi setiap Muslim.
Seperti kata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi,
“Proses mengundi atau dikenali sebagai
pilihan raya adalah satu bentuk kaedah yang dibangunkan oleh pengalaman manusia
bagi membolehkan setiap warga sesebuah negara menentukan pilihan dan kehendak
mereka tentang tokoh pemimpin, corak pemerintahan dan tawaran kekuasaan yang
dirasakan terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Menerusi proses
mengundi, ia bererti seseorang itu memberikan kesaksiannya terhadap kebenaran
dan kebaikan seseorang individu atau perkumpulannya bagi melangsungkan tugas
dan amanah kepemimpinan dalam sesebuah negara.”
Maka, tidak sepatutnya jika ada di kalangan
Muslim yang menyatakan, bahawa politik itu tiada kaitan dengan dirinya. Kerana
Islam adalah agama yang syumul (lengkap/sempurna), seluruh aspek kehidupan, ada
kaitan dengan insan yang bergelar Muslim. Bahkan, Islam bukan sekadar agama, tetapi
‘way of life’ (cara hidup).
Sekian,
Wallahu’alam.
Adli
Abdullah
9hb
April 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com