Politik Hikmah Menjamin Kematangan Berpolitik



Pada 3hb April 2013, akhirnya tibalah detik-detik yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia, apabila diumumkan pembubaran Parlimen oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Sebuah tarikh keramat bagi membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) diadakan untuk menilai semula prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang masih muda dan juga kerajaan pusat yang sudah terlalu lama memerintah lebih daripada lima dekad. Persoalan yang agak menarik adalah, sama ada mengekalkan atau menukar kerajaan pusat?

Namun, saya bukanlah ingin berbicara soal mengekalkan atau menukar kerajaan. Tetapi saya ingin berbicara soal isu-isu politik yang dicanangkan pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang. Juga soal tanggungjawab setiap Muslim untuk membuang undi semasa Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) nanti dalam konteks negara demokrasi menurut perspektif Islam.

ISU-ISU DICANANGKAN

Pertama, saya ingin menyebut soal, adakah wajar 'isu aqidah' dijadikan bahan untuk kepentingan politik demi kuasa politik serakah? Saya benar-benar tidak bersetuju bahawa, isu aqidah dijaja dan dicanangkan untuk menghentam juga mengaibkan peribadi seteru-seteru politik demi kepentingan politik masing-masing.

Aqidah adalah suatu elemen suci yang merupakan asas utama kepada Islam. Tidaklah boleh dibuat main-main. Dan tidak semudahnya kita boleh menghukum aqidah seseorang Muslim itu sama ada dia terkeluar dari Islam (murtad), takfir (mengkafirkan) mereka dan sebagainya. Kerana menurut prinsip aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ), kita tidak boleh menghakimi aqidah seseorang itu berdasarkan apa yang ada di dalam jantung hati insan. Ianya hanya boleh dinilai secara zahir dan luaran. Selagi mana ia tidak mengaku menyekutukan ALLAH SWT, tidak melakukan perkara-perkara khurafat, juga tidak mengaku murtad, kemudian tetap percaya kepada rukun iman, melaksanakan rukun Islam, maka adalah tidak wajar jika kita terus menghukumnya dan membuat kesimpulan. Sabda Nabi Saw,
                                        
"Sesiapa yang menuduh seseorang itu kafir atau musuh ALLAH, tetapi ia tidak begitu. Maka tuduhan tersebut kembali kepada yang menuduh." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Seandainya ia pernah menyatakan berdasarkan penulisan atau percakapannya yang mungkin bertentangan aqidah, maka kita perlu mengkajinya terlebih dahulu dari segi konteks.

Saya ingin memberi beberapa contoh. Contohnya, apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah menyatakan, "Hudud adalah ciptaan ahli fekah". Namun, kita harus bersikap adil walau beliau adalah seteru politik atau insan yang tidak sebulu dengan kita, tidak boleh terlalu pantas untuk menghukum aqidah dan keimanannya, Kita harus mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin ia bermaksud, bahawa istilah ‘hudud’ itu yang dicipta oleh para ulama'.

Contoh kedua, apabila mantan Timbalan Perdana menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dituduh pluralisma dan liberalisma agama. Antaranya, beliau pernah menyatakan seorang wanita Muslim yang keluar meninggalkan Islam (murtad) iaitu Lina Joy, itu adalah haknya. Namun, tidaklah wajar kita terus menghukum dan menuduh beliau menyokong gejala murtad. Kita harus mengkaji dari segi konteksnya terlebih dahulu. Mungkin beliau maksudkan, dari sudut perundangan negara yang didominasi oleh sistem perundangan sivil yang diwarisi daripada penjajah British. Dari sudut perundangan sivil, memang kita tiada upaya untuk menghalang Muslim yang hendak murtad. Inilah hakikat, apabila sistem perundangan syar’iah tidak diangkat mengatasi sistem perundangan sivil. Namun, cara paling mudah untuk mengatasi gejala murtad adalah dengan melaksanakan ‘Enakmen Anti-Murtad’ yang sepatutnya telah lama dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah. Maka, ianya juga boleh membantu untuk membendung gejala murtad daripada berlaku.

Walau bagaimana pun, tiada salahnya untuk memberi teguran bahawa, apa yang telah mereka ungkapkan dan catatkan itu adalah salah. Kerana Islam adalah ‘agama nasihat’. Namun, dengan cara yang tidak mengaibkan, hikmah, tidak menjarakkan ia dari Islam serta dengan niat yang tulus. Bukan di atas agenda politik golongan tertentu, yang berpunca daripada kebencian dan dendam kesumat semata-mata. Apatah lagi jika insan yang dituduh itu mengaku tersilap dan menarik semula kenyataannya yang telah ditulis. Firman ALLAH SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Maidah: 8)

Kedua, saya ingin menyebut soal, adakah wajar perihal peribadi (yang tiada kaitan kepentingan/harta rakyat) seteru-seteru politik dimanipulasi sebagai isu politik? Saya dengan tegas menyatakan, benar-benar tidak bersetuju soal peribadi mana-mana insan termasuk ahli politik, dijaja di sana sini, londeh melondehkan, aib mengaibkan yang merupakan modal politik murahan untuk jatuh menjatuhkan musuh-musuh politik dengan cara yang amat menjijikkan. Firman ALLAH SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujurat: 12)

Ayat di atas menjelaskan bahawa, ALLAH SWT melarang hamba-hambaNYA yang benar-benar beriman kepada Al-Quran daripada menyingkap aib peribadi saudara se-Muslim yang lain. Meskipun benar, ia akan menjadi umpatan atau sepertimana Nabi SAW menyebut ‘ghibah’ dalam sebuah hadith sahih, yang memberi makna jelas iaitu menyebut tentang saudaramu dengan sesuatu yang ia benci. Manakala, jika cerita yang dihebahkan itu dusta, maka ianya menjadi fitnah yang mengakibatkan kacau bilau dan huru-hara dalam masyarakat. Sabda Nabi SAW,

“Sesiapa yang menutup aib Muslim yang lain, maka ALLAH akan menutup aibnya.” (Riwayat Muslim)

Maka, jika seseorang Muslim itu membuka aib saudaranya sendiri, adalah tidak mustahil ALLAH SWT akan membuka aibnya pula di kemudian hari nanti.

Oleh itu, pertempuran sihat di medan politik, cukuplah sekadar dengan menggunakan senjata yang berasaskan hujah dan fakta yang bernas. Perkara penting yang patut ditekankan dan diberikan perhatian yang serius adalah, tentang soal rasuah, penyelewengan dan ketirisan dalam menguruskan harta-harta rakyat, juga soal pembelaan terhadap rakyat golongan marhaen dan mustad’afin (yang ditindas).

TANGGUNGJAWAB MENGUNDI

Sesungguhnya, tanggungjawab mengundi semasa pilihanraya dilangsungkan, adalah suatu tuntutan yang wajib bagi setiap Muslim. Seperti kata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi,

“Proses mengundi atau dikenali sebagai pilihan raya adalah satu bentuk kaedah yang dibangunkan oleh pengalaman manusia bagi membolehkan setiap warga sesebuah negara menentukan pilihan dan kehendak mereka tentang tokoh pemimpin, corak pemerintahan dan tawaran kekuasaan yang dirasakan terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Menerusi proses mengundi, ia bererti seseorang itu memberikan kesaksiannya terhadap kebenaran dan kebaikan seseorang individu atau perkumpulannya bagi melangsungkan tugas dan amanah kepemimpinan dalam sesebuah negara.”

Maka, tidak sepatutnya jika ada di kalangan Muslim yang menyatakan, bahawa politik itu tiada kaitan dengan dirinya. Kerana Islam adalah agama yang syumul (lengkap/sempurna), seluruh aspek kehidupan, ada kaitan dengan insan yang bergelar Muslim. Bahkan, Islam bukan sekadar agama, tetapi ‘way of life’ (cara hidup).

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
9hb April 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com