Masih ada di kalangan masyarakat Islam yang keliru, tentang kes bagaimana yang boleh atau tidak boleh menggunakan video dan gambar sebagai pembuktian. Sebagai contoh, pertarungan semasa kehangatan menjelang Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) dan setelah ianya berlalu, antara pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang yang menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti dan perang saraf untuk menyerang antara satu sama lain. Ada yang menggunakan video untuk membuktikan penipuan yang didakwa berlaku dalam PRU13. Tidak kurang juga budaya politik longkang dengan membikin video-video lucah untuk menyerang musuh-musuh politik masing-masing.
Maka,
ada pihak yang menyatakan video dan gambar tidak boleh dijadikan pembuktian
untuk kes zina/liwat sebagai untuk membela diri kerana telah diaibkan dengan sebegitu
dahsyat sekali. Itulah antara bentuk budaya politik yang tidak sihat, londeh
melondehkan dan aib mengaibkan dengan menyerang peribadi musuh-musuh politik. Lalu,
timbullah kekeliruan di kalangan segelintir masyarakat yang tersalah anggap
bahawa video dan gambar tidak boleh dijadikan bahan bukti untuk semua jenis kes.
Justeru
itu, saya ingin mengemukakan serba sedikit penerangan dan pandangan ringkas
saya berdasarkan apa yang telah saya amati. Apa yang jelas, tidak semua kes
boleh menggunakan video dan gambar sebagai bahan bukti kes. Tidak semua keadaan
membenarkan ianya dijadikan sebagai pembuktian yang selayaknya.
KESAKSIAN TERLARANG
Sebagai
contoh, kes zina/liwat tidak dibenarkan oleh syarak menggunakan video dan
gambar sebagai bahan bukti. Sesungguhnya, Islam amat melarang membuka aib
saudara se-Muslim yang lain, termasuklah mengintip dosa peribadi insan dan
melakukan ‘ghibah’ (mengumpat). Dan dosa peribadi seseorang insan, adalah
antara dirinya dengan Tuhan. Jika ia melakukan taubat nasuha (menyesal dan
berikrar untuk tidak mengulanginya), maka dosa-dosanya akan terhapus. Kerana
ALLAH itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun.
Maka,
kes zina/liwat hanya boleh dibuktikan dengan mengemukakan 4 orang saksi. Saksi-saksi
itu pula mestilah terdiri daripada golongan yang tidak fasik, orang yang tidak
fasik sudah tentulah mereka yang tidak mengintip-intip dan membuat rekayasa video
atau pun gambar lucah, serta menonton bahan-bahan lucah dan melakukan segala
dosa-dosa besar. Jika seseorang qazif (penuduh) itu, gagal mengemukakan 4 orang
saksi, ia boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu dengan 80 kali sebatan.
Berdasarkan dalil,
"Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah An-Nur: 4)
Dalil
di atas adalah umum bagi tertuduh di kalangan lelaki juga. Dan ianya adalah
mesej jelas daripada ALLAH SWT bagi mereka yang turut sama mengiyakannya. Seandainya
kesaksian seseorang itu ditolak, bermakna ia tidak boleh menjadi wali
pernikahan untuk anaknya bagi mereka yang bergelar bapa, atau saudara perempuannya
bagi seseorang saudara lelaki, melainkan setelah ia bertaubat. Maka
berhati-hatilah dalam membicarakan kes-kes sebegini di kedai-kedai kopi dan di
mana-mana sahaja.
Sepatutnya,
kes-kes sebegini biarlah undang-undang dan mahkamah yang memutuskannya.
Bukannya pihak media dan masyarakat awam yang menjadi hakim serta mendahului
undang-undang dan mahkamah, apatah lagi semasa kes sedang dibicarakan. Sebagai
Muslim yang benar-benar beriman kepada Al-Quran dan hukum hakam yang telah
termaktub di dalamnya, pasti kita yakin dan percaya bahawa pengadilan yang
tepat dan terbaik adalah dibicarakan di mahkamah syari'ah bagi kes-kes yang
melibatkan orang Muslim sendiri.
Namun,
sekali pun ianya benar, ia menjadi ghibah (mengumpat) dengan menyebarkan
keaiban sesama Muslim. Sesungguhnya, ghibah itu ibarat memakan daging saudara sendiri.
Firman ALLAH SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujuraat: 12)
Jika
tidak benar pula, maka ia akan menjadi fitnah yang dusta semata-mata. Fitnah
boleh mengakibatkan negara huru hara dan kacau bilau. Kecuali yang dibenarkan,
adalah menyebarkan kesalahan-kesalahan golongan tertentu berkaitan kepentingan
ramai pihak (bukan berkaitan peribadi), yang berkaitan kepentingan rakyat,
harta rakyat dan sebagainya.
Maka,
perlulah faham dan tahu bezakan, situasi dan kes bagaimana yang boleh menggunakan
video dan gambar sebagai pembuktian
MENJAWAB PERSOALAN
BERKAITAN
1.
Ada teman-teman yang bertanya kepada saya, “Bagaimana pula jika seseorang suami
memasang CCTV di dalam bilik di rumahnya. Tiba-tiba, ada terakam video
isterinya sedang melakukan perbuatan zina yang terkutuk? Namun, tiada 4 orang
saksi yang menyaksikannya?” Maka jawapannya, ia boleh membuat sumpah 'lian’,
berdasarkan dalil,
"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar." (Surah An-Nur: 6-9)
Manakala,
untuk tuduhan zina kepada mereka yang selain suami/isteri, maka tetap kena mengemukakan
4 orang saksi.
2.
Kemudian timbullah persoalan, apakah sebabnya Islam melarang menggunakan video
dan gambar sebagai bahan bukti untuk kes zina/liwat?
(a).
Kerana, ianya termasuk dalam kategori mengintip-intip dosa peribadi insan. Dan
ianya adalah sebuah isyarat jelas yang membuktikan, bahawa semenjak 1400 tahun
lalu lagi ALLAH SWT sudah tahu akan wujudnya video dan gambar, maka Ia tahu bahawa
video boleh disunting, boleh direka-reka dan boleh dimanipulasi. Ternyata,
bahawa ALLAH itu Maha Mengetahui, dan jelaslah bahawa hukum hakam Islam itu
adalah futuristik, sentiasa relevan, tidak ketinggalan zaman dan sesuai untuk
semua zaman.
(b).
Kerana, Islam melarang menyebarkan keaiban sesama Muslim. Islam memelihara
keaiban pihak yang menuduh dan yang dituduh. Sebab itu sebaik-baiknya kes-kes sebegini
hanya dibicarakan di mahkamah secara tertutup (tanpa dihebahkan di media-media).
Sabda Nabi SAW,
"Sesiapa yang menutup keaiban Muslim yang lain, maka ALLAH akan menutup keaibannya di akhirat kelak." (Riwayat Muslim)
Oleh
itu, tatkala timbul kes-kes sebegini, kita sebagai masyarakat awam adalah lebih
baik memilih jalan yang paling selamat dengan berlepas diri dari mengiyakan
mahu pun was-was dengan mempersoalkan benar atau tidak ianya berlaku. Sabda Nabi SAW,
“Tinggalkanlah
apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.” (Hadis Hasan
sahih riwayat At-Tirmizi dan An-Nasaai)
Kerana, dikhuatiri kita akan termasuk dalam golongan yang fasik. Nauzubillahi min dzalik.
Kerana, dikhuatiri kita akan termasuk dalam golongan yang fasik. Nauzubillahi min dzalik.
Walau bagaimana pun, saya hanya memberikan penerangan dan penjelasan secara ringkas sahaja. Untuk mendapatkan jawapan yang lebih konkrit dan terperinci, bolehlah mendapat buku ‘Qazaf’, terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sekian,
Wallahu’alam.
Adli Abdullah
19hb Mei 2013