Batas Pergaulan Di Zaman Dunia Tiada Sempadan



Di zaman dunia tiada sempadan yang penuh dengan pancaroba, pelbagai rintangan perlu diharungi selagi hayat di kandung badan. Cabaran iman dan taqwa juga terlalu hebat perlu ditempuh. Gejala sosial, zina dan buang bayi berlaku dengan berleluasa yang sedikit sebanyaknya berpunca daripada pengaruh dunia maya dan pergaulan yang tidak sihat. Segalanya bermula daripada keluarga, kerana keluargalah yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah dan jatidiri generasi muda. Jika anak dididik dengan gaya hidup Islam berlandaskan 'ilmu yang sahih, pasti mereka tidak akan terjebak untuk melakukannya.

Namun, dalam masa yang sama, ‘ilmu untuk beroleh pahala juga terlalu mudah dicari di zaman dunia tiada sempadan, jika ringan hati untuk memperolehinya sebagai saham akhirat kelak. Begitu juga dosa, yang terlalu mudah ditemui, hanya iman yang menebal menjadi perisai agar tidak muflis di akhirat.

SEGALANYA BERMULA DARI KELUARGA

Para ibu-bapa harus peka dan prihatin dengan keadaan semasa dunia tanpa sempadan kini. Mereka perlu memantau cara pergaulan anak-anak, jangan dibiarkan bebas tanpa batas, kelak mereka menjadi liar tanpa mengenal batas dosa dan pahala. Allah SWT melarang lelaki atau perempuan duduk berdua-duaan dengan bukan mahramnya, terutamanya di tempat-tempat yang sunyi dan tertutup. Kerana yang ketiga adalah syaitan. Dalam surah Al-Isra' ayat 32 ada menyebut,

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk."

Segala larangan Allah pasti ada hikmah yang tersembunyi. Pasti ada sebab musabab wujudnya undang-undang sedemikian rupa. Kerana Dia ingin memelihara kita hambaNya daripada terjebak dengan akibat yang boleh merugikan. Sesungguhnya, Dia Yang Menciptakan kita, maka Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita hambaNya. Telah dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 216,

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

HUKUM SESUAI UNTUK ZAMAN

Apabila disesuaikan hukum tersebut dengan keadaan semasa, mungkin anak-anak muda kita harus mengelakkan daripada berbual secara tertutup (private) dengan rakan-rakan bukan mahramnya (jika tiada keperluan) di media-media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Kerana berbual melalui medium-medium tersebut secara sorok-sorok, mungkin boleh juga diibaratkan seperti berdua-duaan dengan bukan mahram di bilik yang tertutup atau pun di tempat yang sunyi. Jika ingin berbual panjang, berbuallah di tempat-tempat yang terbuka (public). Atau pun jika ingin berbual di tempat tertutup (private) juga, kerana segan di khalayak umum, maka pastikan mahram kita turut menemani di dalam perbincangan yang dilangsungkan.

Walau bagaimana pun, saya berpandangan, perbualan antara dua individu di dalam media-media sosial secara tertutup, sebenarnya tidaklah serahsia mana, kerana kita sedang dipantau oleh pihak pentadbirannya. Jika difikirkan, tiada lagi privasi di zaman dunia tiada sempadan. Segala gerak geri kita dipantau dan dikawal.

GARIS PANDUAN PERGAULAN

Oleh itu, garis panduan pergaulan di dunia maya yang tiada sempadan ini, lebih bergantung kepada niat, cara dan tujuan seseorang pengguna sesuatu media sosial itu apabila berbual secara tertutup dengan berlainan jantina.

Namun, beberapa garis panduan ini boleh dijadikan panduan:

1. Di saat berasa iman tidak kuat dengan nafsu syahwat yang meningkat, lebih baik mengelakkannya.
2. Apabila dilanda kesedihan, kedukaan dan masalah, usahlah mengadu kepada media sosial mahu pun insan. Sepertimana dinyatakan dalam surah Ali-'Imran ayat 173,

"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."

Maka, apabila ditimpa masalah dan tekanan, mengadulah hanya kepada Allah Yang Menciptakan segala kejadian. Kerana hanya Dia Yang Maha Tahu segala yang tersirat dalam hati nurani insan. Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
24/05/2013 
http://adli-abdullah.blogspot.com