Jerebu Menyelubungi Langit Kita?



Tatkala DUKHAN (JEREBU/ASAP) menjelma kembali di Malaysia, Singapura dan negara-negara berhampirannya, antara faktornya adalah berpunca daripada pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia.


Antara langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada ditimpa penyakit-penyakit yang berpunca daripada DUKHAN:
1. Elakkan atau kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah/bangunan.
2. Banyakkan minum air kosong. 

Walau bagaimana pun, kadang kala musibah itu terjadi, adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri. Sama ada berpunca daripada perbuatan merosakkan dan mencemarkan ALAM SEKITAR, atau pun ianya adalah PERINGATAN dari YANG MAHA ESA kepada hamba-hambaNYA di atas segala kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku dengan berleluasa di muka bumi ini! Firman ALLAH SWT,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Rum: 41)

Di dalam surah Ad-Dukhan ada mengisahkan bagaimana Nabi SAW memohon kepada ALLAH SWT agar menurunkan bala ke atas golongan musyrikin Makkah kerana melampaui batas dan menentang Baginda. Lalu, ALLAH SWT memakbulkan doa Nabi SAW dan menurunkan bala berupa DUKHAN. Firman ALLAH SWT,

"Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)." (Surah Ad-Dukhan: 10)

Kemudian mereka memohon kepada Baginda agar berdoa diturunkan hujan dan berjanji akan beriman. Namun, setelah hujan turun mereka kembali kufur dan ingkar. Ketahuilah, azab ALLAH amatlah pedih!

Sesungguhnya, antara tanda-tanda kiamat adalah munculnya DUKHAN (JEREBU/ASAP). Sabda Nabi SAW,

“Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, istiqamahlah dalam melaksanakan segala ketaatan kepada ALLAH dan cegahlah diri dari menempah kemurkaanNYA.

Sekian,

Wallahu’alam.

Adli Abdullah
19hb Jun 2013






Rahsia Penulisan Terbongkar?


  
'Andai ku menjadi seorang novelis, akan ku jadikan novel sebagai hantaran.'

Haha. Sekadar ingin membangkitkan semangat. Tetapi agak mendukacitakan, novel sulong saya, mungkin kelewatan siapnya. Mungkin setahun atau lebih. Kerana Blackberry (BB) saya menghadapi kesulitan. Mungkin kalian kehairanan, apa kaitan Blackberry dengan penulisan novel??

Maka saya ingin berkongsi rahsia penulisan bagi golongan insan kelainan upaya (IKU) seperti saya semenjak masalah saraf yang dialami makin memuncak. Sebenarnya, apabila saya ingin menghasilkan penulisan yang panjang berjela-jela, saya akan menaip dengan menggunakan BB. Sebab, hanya sebelah tangan saya sahaja yang boleh bertahan lama untuk menaip berjam-jam lamanya, iaitu ibu jari tangan kanan.



Setelah siap, saya akan pindahkan ia ke dalam 'cloud' seperti Google Drive supaya boleh diakses melalui laptop mahu pun tablet. Ketika itu barulah tangan kiri boleh digunakan untuk melakukan penyuntingan artikel dan menulis apa jua penulisan yang pendek dengan menggunakan laptop atau tablet. Apabila menggunakan tangan kiri, saya terpaksa menggunakan jari hantu atau jari telunjuk. Tetapi ia akan kesakitan dan kebas jika menaip penulisan yang agak panjang. Jika ada yang masih tidak mengetahui mengenai masalah kesihatan saya, sila baca artikel 'Buka Jahitan Setelah Seminggu Biopsi'.

Sesiapa yang mengenali dan biasa bertemu dengan saya, mungkin akan perasan bahawa saya sering mengetip papan kekunci di BB saya. Maka, diharap tiadalah yang salah sangka akan perbuatan yang sedang saya lakukan ketika itu.

Walau bagaimana pun menulis dengan BB tetaplah kesulitan akan dihadapi. Iaitu kesulitan untuk mengira jumlah muka surat kerana menaip hanyalah dengan menggunakan applikasi Nota. Tambahan pula butang navigasinya sedikit rosak atau pun sudah degil dan keras kepala! Menulis novel untuk dibukukan mestilah kena mengira setiap helaian muka surat bagi menepati piawaian penulisan pihak penerbitan. Jika menulis artikel, saya tidak perlu memikirkan soal muka surat, kerana ianya boleh ditulis ikut sesuka hati dan sesedap rasa.

Justeru itu, mungkin saya kena mohon jasa baik abang angkat saya yang dikasihi, Abang Munif Hijjaz agar boleh beri saya masa yang panjang untuk menyiapkan novel saya itu. Kerana beliaulah insan yang menawarkan saya agar menghantar novel kepada pihak penerbit, Hijjaz Records Publishing (HRP) untuk diterbit dan diedarkan.

Seterusnya, saya ingin memohon seribu kemaafan andai ada yang sudah ternanti-nanti dan sudah tidak sabar menantikan novel saya berada di pasaran jika ia berjaya diterbitkan. 

Oleh itu, jika ada rezeki saya terpaksa mencari solusi bagi menggantikan BB saya. Saya juga ingin menyarankan bagi penulis/blogger tegar dan juga pengendali media-media baru jika ingin memilih telefon pintar, jangan terpikat dengan BB. Tetapi pilihlah Android mahu pun Apple yang mempunyai applikasi untuk menghasilkan dokumen.

Sesungguhnya, jalan untuk mendaki puncak jaya, memang berliku-liku dan perit jalannya. Namun, ingatlah janji ALLAH Azzawajalla, "Sesudah kesulitan ada kemudahan." Apa yang penting, usah berputus asa dalam perjuangan demi meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Tiada apa yang akan datang bergolek jika tanpa usaha yang gigih. Kerana ALLAH tidak akan ubah nasib setiap hambaNya jika ia sendiri tidak ingin berubah.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
17hb Jun 2013
http://adli-abdullah.blogspot