Erti Kemerdekaan Hakiki



Setiap tanggal 31hb Ogos, ulangtahun kemerdekaan datang dan pergi sama sahaja, tiada yang berbeza, ianya disambut dengan perhimpunan, perarakan, acara-acara tertentu dan sebagainya. Namun, berapa ramai di antara kita yang benar-benar memahami makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Merdeka bukan bermaksud bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata dan bebas melakukan apa sahaja tanpa batas. 


Tetapi ianya mempunyai makna yang lebih luas, iaitu bebas daripada sebarang bentuk penjajahan minda dan jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk, harta benda dan segala yang fana. Kecuali perhambaan dan ketaatan hanya kepada ALLAH SWT & Nabi SAW.


KEMERDEKAAN PEMERINTAHAN


Daripada sudut politiknya, pemerintah negara mestilah bebas daripada telunjuk negara-negara kuasa besar, kezaliman, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Serta menjunjung tinggi syariat Islam sama ada dalam kepimpinan keluarganya mahu pun kepimpinan negara. 


Nescaya negara dirahmati, diredhai dan rakyat hidup dalam aman dan makmur menurut neraca ALLAH SWT, sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Saba' ayat 15, "Baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur - Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun."


Harapan saya suatu hari kelak, agar negara kita yang tercinta ini dikurniakan pemerintah yang mencontohi kepimpinan dan keperibadian khilafah Islam, Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh mahu pun pemerintah Islam kontemporari seperti Recep Teyyip Erdogan.


Adli Abdullah

30hb Ogos 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com

Berkira-kira Mengisi Borang Baitul Muslim



Semakin saya dewasa, semakin membuak-buak keinginan untuk memiliki seorang isteri seperti insan-insan lain. Lebih-lebih lagi apabila melihat ramai sahabat-sahabat telah pun bernikah. Kerana jika tidak bernikah, ke manakah hendak disalurkan nafsu ingin berpasangan? Sama sekali tidak dengan perbuatan-perbuatan zina secara fizikal, zina mata (pornografi) mahu pun zina hati! Kerana zina adalah suatu perbuatan terlarang dan terkeji. Bahkan ALLAH SWT menegah hamba-hambaNya daripada menghampiri zina, seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Isra' ayat 32,
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk."
Manakala jika tidak mampu untuk bernikah, hendaklah berpuasa, dengan sabda Nabi SAW dalam hadith Al-Bukhari, “Wahai anak muda, bernikahlah. Sesiapa yang mampu, bernikahlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk bernikah hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu).” Namun, bagi yang tidak mampu berpuasa, umpamanya yang tidak mampu untuk sering berpuasa sunat, maka saya merasakan mungkin lebih baik bernikah. Lantaran itu, saya telah pun mendaftar diri menjadi ahli Baitul Muslim (BM). Cuma borang jodoh belum diisi, kerana saya berasa ragu-ragu dan terfikir, wujudkah gadis masa kini yang ingin hidup dengan jejaka OKU??

Walau bagaimana pun, berdasarkan realiti, wujudnya kisah yang sebegitu. Khabarnya seorang pakar motivasi dan penulis OKU terkenal yang kudung kaki dan tangan, Nick Vujicic telah pun berumah tangga. Tetapi sedarnya diri saya ini bukanlah OKU sehebat beliau. Masih banyak matlamat saya dalam dunia sastera yang belum tercapai,

Oleh itu, seandainya borang jodoh diisi, ia hanyalah sebagai usaha setelah puas berdoa agar dipertemukan jodoh. Setelah itu barulah wajar untuk berserah. Kerana, tiada penyerahan tanpa didahului dengan doa dan usaha. Namun, tidak akan dimasukkan butiran diri yang indah-indah belaka. Tetapi cukuplah dinyatakan butiran diri yang sebenar. Sudi atau tidak, terpulanglah.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
23hb Ogos 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com