Erti Kemerdekaan Hakiki



Setiap tanggal 31hb Ogos, ulangtahun kemerdekaan datang dan pergi sama sahaja, tiada yang berbeza, ianya disambut dengan perhimpunan, perarakan, acara-acara tertentu dan sebagainya. Namun, berapa ramai di antara kita yang benar-benar memahami makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Merdeka bukan bermaksud bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata dan bebas melakukan apa sahaja tanpa batas. 


Tetapi ianya mempunyai makna yang lebih luas, iaitu bebas daripada sebarang bentuk penjajahan minda dan jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk, harta benda dan segala yang fana. Kecuali perhambaan dan ketaatan hanya kepada ALLAH SWT & Nabi SAW.


KEMERDEKAAN PEMERINTAHAN


Daripada sudut politiknya, pemerintah negara mestilah bebas daripada telunjuk negara-negara kuasa besar, kezaliman, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Serta menjunjung tinggi syariat Islam sama ada dalam kepimpinan keluarganya mahu pun kepimpinan negara. 


Nescaya negara dirahmati, diredhai dan rakyat hidup dalam aman dan makmur menurut neraca ALLAH SWT, sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Saba' ayat 15, "Baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur - Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun."


Harapan saya suatu hari kelak, agar negara kita yang tercinta ini dikurniakan pemerintah yang mencontohi kepimpinan dan keperibadian khilafah Islam, Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh mahu pun pemerintah Islam kontemporari seperti Recep Teyyip Erdogan.


Adli Abdullah

30hb Ogos 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan