Apa Alternatif Pokemon Go?










Ketika ramai orang awam bertelagah dan berbalah demi Pokemon.

Sehingga fatwa disanggah sampai ada yang sanggup caci maki Mufti dan para ulama'.

Dan mungkin timbulnya situasi segelintir yang berpegang fatwa haram Pokemon dengan mudah menghukum mereka yang bermain Pokemon.

Maka munculnya pergeseran antara penyokong fatwa dengan penyokong Pokemon.

Namun, saya tidak mahu terbabit sama dalam perbalahan yang sedang melanda.

Cuma ingin menyatakan alternatif yang lebih berfaedah patut anda lakukan selain daripada bermain Pokemon Go.

SELAIN POKEMON GO

Jika anda menghabiskan masa dengan berjalan kaki mencari Pokemon.

Alangkah lebih indah jika anda berjalan kaki ke surau atau pun ke masjid.

Insya-Allah akan beroleh pahala dan Allah akan bertambah sayang pada anda.

Apatah lagi jika berjalan kaki atau pun berkenderaan menuju ke majlis ilmu.

Bakal dipermudahkan jalan ke syurga Allah seperti dinyatakan dalam hadith sahih.

Insya-Allah kaki anda bakal menjadi saksi di Mahsyar kelak.

Kerana anda punya kaki yang sihat untuk dimanfaatkan dengan sebaik mungkin sebagai tanda kesyukuran anda padaNya dengan nikmat kaki yang dikurnia.

Sedang OKU lumpuh kaki tidak mampu berjalan ke surau atau pun ke masjid.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?" (Surah Ar-Rahman: 13)

Tetapi saya ada terdengar khabar.

Ada yang mencari Pokemon ketika berjalan menuju ke masjid.

Bermakna adalah juga yang bermain Pokemon Go yang tidak lupa jalan ke rumah Allah.

Namun, nawaitunya saya tidak mahu mempersoalkan.

Cuma ingin bersangka baik.

Kerana soal keikhlasan seseorang itu hanyalah antara dirinya dengan Allah.

Sungguh pun begitu, alangkah lebih indah ketika dalam perjalanan ke surau atau pun masjid jika anda tidak bermain games tidak kira sama ada Pokemon Go atau pun bukan.

Dibimbangi akan menjejaskan fokus solat anda di rumah Allah itu nanti.

Saya pernah terbaca satu pandangan berkenaan tip khusyuk solat.

Adalah dinasihati dalam tempoh 10 minit sebelum solat agar ditinggalkan dan dilupakan seketika perkara-perkara berkaitan keduniaan.

Contohnya di zaman dunia tanpa sempadan kini.

Elakkan ber-Whatsapp, ber-Fb, ber-Insta dan beraktiviti dengan apa jua media sosial 10 minit sebelum bersolat.

Apatah lagi bermain games.

Namun, jika anda solat di rumah. Ketika azan baru berkemundang, anda sedang melakukan perbuatan keduniaan.

Atau seperti anak-anak kita di hari cuti yang sedang bermain games, setelah masuk waktu solat kita akan menyeru mereka untuk bersolat.

Ketika itu barulah berhenti dan pergi mengambil wudhuk.

Dalam tempoh itu, tidak mustahil anda telah meninggalkan perihal keduniaan hampir 10 minit.

Apatah lagi hendak bersolat jemaah bersama anak-anak.

Sepertimana saya sendiri apabila hendak bersolat bersama anak-anak saudara.

Sementara mereka mengambil dan membentang sejadah serta menunggu yang lain selesai ambil wudhuk.

Masa telah berlalu hampir 10 minit dan terkadang lebih.

Walau bagaimana pun, berhati-hatilah dalam mengurus masa kita agar tidak terleka dan lalai hingga melampaui batas dalam hal keduniaan sehingga menjejaskan hubungan kita dengan Allah.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman yang beramal soleh serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." (Surah Al-Asr: 1-3)

Sekian,

Wallahua'lam.

خير العدل عبد الله
Khairul Adli Abdullah
7hb Ogos 2016

http://khairuladeli.blogspot.my

- Posted using BlogPress from my iPhone


Tiada ulasan:

Catat Ulasan