Sambutan Hari Ibu Boleh Memesongkan Aqidah?




Pada hari semalam adalah merupakan 'Hari Ibu' yang jatuh pada tanggal 8hb Mei 2016.

Di atas faktor itulah ramai insan bergelar anak berbondong-bondong mengutus ucapan 'Selamat Hari Ibu' buat ibunda tersayang mereka.

Kecuali saya tidak mengutuskan sebarang ucapan buat bonda kesayangan saya.

Meskipun begitu, saya tetaplah tidak bersetuju dihukum salah mereka yang mengucapkannya.

Sebab berasa ianya tiada kaitan langsung dengan isu aqidah dan merupakan perkara yang sia-sia. Ia hanyalah berkait soal muamalat (urusan keduniaan) yang mencakupi kepentingan hubungan sesama insan.

Kerana Islam menyeru umatnya memelihara 'hablu minallah wa hablu minannas' (hubungan dengan Allah dan manusia).

Antara hujah dikemukakan menghukum salahnya sambutan 'Hari Ibu', dengan menyatakan ianya ada kaitan dengan hari Bonda Maryam (Mother Mary).

Apabila sebut Maryam bukan orang Kristian sahaja yang percaya. Orang Islam turut mengimani kewujudannya sebagai bonda kepada Nabi Isa (Jesus) Ibni Maryam.

Cuma kita mengimaninya dengan cara yang berbeza menepati dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Kita tolak sama sekali pegangan mereka bahawa Maryam sebagai bonda kepada Tuhan iaitu Nabi Isa.

Iktiqad (pegangan) aqidah umat Islam bahawa, Maryam dan Isa hanyalah hamba Allah Azza Wa Jalla yang diberikan kemuliaan dan keistimewaan olehNya.

Tidak lebih tidak kurang.

Malahan, Islam tidak melarang kita menceduk perkara-perkara baik dan bermanfaat yang berkaitan muamalat (urusan keduniaan) sekalipun ia daripada non-Muslim.

Sebagaimana contoh, Khalifah Umar Al-Khattab Radiallahu 'Anhuma, merupakan pencetus takwim (kalendar) Islam yang lebih dikenali sebagai Takwim Hijrah yang diceduk idea tersebut daripada Kalendar Masihi yang diasaskan oleh golongan Kristian.

Kerana ketika di zaman Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Takwim Hijrah masih belum wujud. Yang wujud hanyalah bulan-bulan Islam.

Cuma apa yang berbeza, Takwim Hijrah mengukur bulan dan tahun menurut peredaran bulan di orbit, tidak seperti Kalendar Masihi yang membuat ukuran berdasarkan peredaran matahari.

Walau bagaimana pun, adalah mustahil Muslim yang mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' itu menujukan ucapan tersebut buat Maryam.

Nawaitu mereka yang jelas hanyalah manifestasi cinta buat ibu kandung dan ibu mertua mereka serta ibu-ibu yang mereka kenali di sekeliling mereka sebagai penghargaan dan mengenang pengorbanan setiap insan bergelar ibu.

Namun, yang salah dan boleh terpesongnya aqidah jika dinyatakan 'semua agama adalah sama'.

Nauzubillahi min dzalik.

Cukuplah sekadar menyatakan bahawa terdapat kebarangkalian perkara-perkara tertentu dalam agama-agama lain ada persamaan dengan Islam sebagaimana contoh mempercayai kewujudan Maryam dan Isa Ibni Maryam.

Dengan pegangan, ada di antara agama-agama lain turut berasal daripada wahyu Allah melalui para Rasul terdahulu sebelum agama-agama tersebut terpesong dan menyeleweng.

Paling penting, gigitlah dengan gigi geraham bahawa hanya Islam-lah agama yang benar lagi lurus.

Allah Azza Wa Jalla telah menegaskan,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًاۚ

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah Al-Maidah: 3)

Walau bagaimana pun, hujah 'Hari Ibu' yang saya kemukakan ini tidaklah boleh disamakan seperti menyambut 'Hari Valentine'.

Sebab itu ternyata jelas haram kerana berkaitan dengan hari yang menggalakkan pergaulan bebas dan hubungan zina yang terlarang lagi keji.

Wallahua'lam.

خيرالعدل عبدالله

Khairul Adli Abdullah
1 Sya'ban 1437 | 9hb Mei 2016

http://khairuladeli.blogspot.my/


- Posted using BlogPress from my iPhone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan