ADAPTASI NOVEL: Insurgent








Suatu ketika di malam yang hening, saya berkesempatan menonton sebuah filem menarik yang berjaya menambat hati saya, yang berjudul Insurgent.

Ia adalah sebuah filem Inggeris yang diadaptasi daripada novel Inggeris terlaris dan merupakan kesinambungan daripada filem Divergent yang turut merupakan karya novel daripada penulis yang sama, Veronica Roth.

Mesej positif melalui cerita tersebut, adalah demi membaik pulih nilai kemanusiaan yang kian tandus, membanteras sifat assobiyyah (perkauman/sifat berpuak-puak/ketaksuban pada kumpulan) dan tentang nilai keberanian dalam melawan penindasan jua kezaliman.

Barangkali turut mahu menyindir fahaman Zionisma yang berpegang dengan konsep 'the surpreme of race' atau pun fahaman yang mengangkat pegangan bahawa hanya bangsa tertentu sahaja yang terbaik dan mulia serta mengatasi peradaban bangsa-bangsa lain dalam dunia ini.

2. Paling penting ia seakan menceduk konsep dan nilai Islam yang menggariskan tentang hak kesaksamaan setiap insan dan semua bangsa adalah sama.

Agak-agak di Malaysia kita yang tercinta ini, jika dihasilkan novel sebegitu rupa adakah ada potensi untuk menjadi karya sastera terlaris dan digemari ramai?

Sebab secara lazimnya, novel-novel berunsur cinta sahaja yang mampu menjadi terlaris dan digilai ramai.

Malahan pada telahan saya, plot penceritaan novel-novel cinta tempatan sudah terlalu klise.

Contoh:
1. Kahwin paksa
2. Kahwin kontrak
3. Kahwin perniagaan
4. Mula benci, kemudian sayang
5. Cinta antara dua darjat

Itulah antara bentuk dan rupa pasaran meletup novel di Malaysia secara lazimnya.

Namun, jika kita meneliti antara novel tempatan yang lazimnya hanya menyentuh hal remeh temeh tentang persoalan hati dan perasaan, dibandingkan dengan novel Inggeris yang menyentuh tentang sistem politik dan kemasyarakatan. Kedua-duanya ada pro dan kontra.

Sepertimana novel Inggeris, dari sudut positif kita akan melihat ia mengandungi unsur dan mesej yang menjentik daya kebijaksanaan para penonton untuk berfikir serta menyuntik semangat juang yang tinggi. Dari sudut negatif dan keji, terkadang para novelis mereka menyelitkan serta seakan mempromosi budaya negatif barat seperti pergaulan bebas dan amalan zina yang terkutuk.

Manakala novel-novel tempatan secara umumnya dari sudut positif, para penulis Muslim mempromosi pernikahan sebagai menutup jalan maksiat lagi keji berupa zina.

Cuma satu persoalan harus difikirkan oleh para novelis tempatan khususnya yang Muslim.

1. Adakah selain ibadah fardhu, juzuk Islam itu hanyalah pernikahan?

Cabang kehidupan yang lain adakah harus dilupakan dan dipinggirkan?

Bukanlah Islam itu merupakan cara hidup yang sempurna lagi menyeluruh?

Bukankah Islam itu mencakupi segala cabang aspek kehidupan?

2. Adakah anda tidak memikirkan tentang khidmat sosial dalam mendidik masyarakat?

Tidakkah anda melihat bagaimana runtuhnya akhlak dan adab segelintir remaja masa kini?

Tidakkah anda mahu turut sama menyumbang dalam mendidik anak-anak remaja kita cakna dengan isu-isu kemanusiaan?

3. Adakah anda tidak mahu menyumbang dalam melahirkan generasi pemimpin pelapis masa depan yang berintegriti dan berakhlak tinggi?

Tidakkah anda mahu menyumbang dalam melahirkan generasi yang berani menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan menurut prinsip amal 'makruf nahi mungkar' (menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran) yang telah digariskan Islam?

Meskipun begitu, tidaklah salah menjadikan unsur cinta sebagai asas dalam berkarya demi penghasilan sesebuah novel, cerpen mahu pun puisi. Kerana dengan cinta itu mampu melembutkan hati-hati yang keras, bongkak sombong takabbur serta menerapkan tentang peri pentingnya nilai dan erti kemanusiaan dalam sanubari setiap bergelar Muslim.

Cuma, alangkan lebih indah dan lebih menarik plot penceritaan jika bukan sekadar hanya bertemakan tentang cinta antara lelaki dengan wanita. Tetapi turut dibaluti dengan pelbagai nilai cinta yang lebih luas serta mengangkat unsur-unsur positif yang lain.

Khairul Adli Abdullah
27hb Mac 2016
http://khairuladeli.blogspot.my/



- Posted using BlogPress from my iPhone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan