Tip Menyemai Syukur Menegah Kufur



Sumber Imej: Google


Dalam proses dan langkah demi menyemai dan menyubur sifat syukur beraja dalam jiwa haruslah ditabur baja terpuji di minda terlebih dahulu dengan sifat qana'ah atau pun merasai cukup dengan apa yang telah Allah pinjamkan pada kita.

Begitulah antara jalan demi bergelar hamba Al-Khaliq (Sang Pencipta) yang benar-benar bersyukur.

Kerana nafsu dan keinginan tidak akan pernah berasa puas jika kita terus-terusan melihat nikmat dunia yang dipinjamkan-Nya pada insan lain.

Melainkan kita sering melihat dan merenung nikmat yang telah ada pada diri kita dan sedar bahawa segala keindahan dunia hanyalah fatamorgana yang tidak kekal abadi.

Malahan jauhilah wabak 'wahan' atau pun sikap mencintai/menggilai dunia serta mengejar dunia dengan kadar melampaui batas bagaikan hidup di dunia ini abadi selamanya.

Berdasarkan peringatan Nabi SAW,

"Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi SAW bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian."" (Riwayat Abu Daud)


Bila kita sebut nikmat Allah ini bukanlah bermakna hanya dalam berbentuk wang atau pun materi semata-mata.

Sedang pengertian nikmat Allah itu adalah terlalu luas.

Sihat itu nikmat, punya selera makan itu nikmat, dikelilingi insan penyayang itu nikmat, dikurnia anak-anak itu nikmat, berasa damai dan tenang itu nikmat.

Sekecil-kecil nikmat yang jarang kita sedar adalah yang kita peroleh secara percuma setiap saat, setiap minit dan setiap hari tanpa dikirim bil.

Jika dikirim bil bulanan mana mungkin mampu untuk kita melunaskannya.

Iaitu nikmat oksigen untuk bernafas, nikmat hidung untuk menghidu, nikmat mata untuk melihat dan nikmat telinga untuk mendengar.

Kesemua nikmat pancaindera ini adalah yang paling-paling bernilai untuk disyukuri.

Hakikatnya itulah bukti Cinta Teragung serta Kasih Sayang Allah yang tiada tolok bandingnya dan tiada bertepian.

Pedoman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 cukup mengesan jiwa jika direnung dan dihayati secara mendalam.

"Dan jika kamu bersyukur akan Kami (Allah) tambahi nikmat pada kamu. Dan jika kamu kufur (tidak bersyukur), ketahuilah azab-Ku amatlah pedih."


Namun demi bergelar hamba Tuhan yang tulus bersyukur, bukan sekadar lahir dengan hanya berasa cukup.

Ianya haruslah lahir dari lubuk hati dan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan.

Semestinya kita diwajibkan berpegang dengan prinsip,

سَمِعْنَا وَأَطَعْنَاۚ (Sami'na wa ataqna)

'Kami patuh dan kami ta'at.'

Berdasarkan firman-Nya dalam surah An-Nur ayat 51,

"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang orang yang beroleh kejayaan."


Iaitu secara mudahnya kita istiqamah mengamalkan ibadah-ibadah khusus yang termaktub dalam Rukun Islam seperti solat fardhu 5 kali sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu.

Serta menegah diri daripada terjerumus ke dalam dosa-dosa besar seperti dosa syirik dan kancah maksiat yang paling dibenci Allah SWT iaitu perbuatan terkeji minum arak, melakukan zina, bermain judi dan mengamalkan riba'.

Maka antara jalan demi bergelar hamba Allah yang sentiasa bersyukur menegah kufur adalah dengan terus mengamalkan sifat qana'ah dan prinsip سَمِعْنَا وَأَطَعْنَاۚ (Sami'na wa ataqna).

Insya-Allah kita akan mampu menjadi hamba Allah yang sejati dan tergolong dalam kalangan mereka yang الْمُفْلِحُونَ (Al-Muflihun) atau pun orang-orang yang beroleh kejayaan menurut neraca Allah SWT.

Sekian,

Wallahua'lam.

العدا عبد الله - Adli Abdullah
9 Rabi'ul Awwal 1438 | 9hb Disember 2016
http://adliabdullah.blogspot.my


- Posted using BlogPress from my iPhone

Ada Apa Dengan Syamsul Debat?





Apabila terlihat laporan berita berkisar Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU16) baru-baru ini. Saya agak terperanjat ketika menyaksikan Ustaz Syamsul Debat berucap dalam PAU16 selaku Perwakilan UMNO Negeri Sembilan dan merupakan Ketua Penerangan UMNO negeri tersebut!

Ternyata beliau adalah sealiran dengan Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, Dato' Ust. Kazim Elias, Dr. Fathul Bari Mat Jahya, Ulama Muda UMNO dan dengan sewaktu dengannya.

Saya bukanlah ingin mengumpat dan tidak berminat sama sekali hendak mengata dek kerana mereka orang kuat UMNO. Kerana parti politik ini hanyalah sebagai sebuah wadah bukanlah aqidah.




Cuma apabila melihat kemelut politik semasa, saya lebih tertarik dengan haluan Ilmuwan bebas seperti Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau pun DRMAZA yang berwadah non-partisan. Beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam UMNO dan hanyalah seorang penjawat awam yang berperanan sebagai Mufti Perlis.

Meskipun beliau punyai ramai teman-teman rapat dalam UMNO dan pernah diundang berceramah dalam PAU sebelum ini.

Prinsip menegakkan yang hak dan menegah yang batil masih terus dijunjung tinggi. Berani menyanggah dan mengkritik tidak kira kesilapan dan kelemahan tercetus daripada blok parti pemerintah mahu pun blok parti pembangkang.

Walau bagaimana pun, saya masih menghormati Dr. Asyraf Wajdi. Bukan kerana saya pernah bertemu beliau pada bulan April tahun 2015 bersempena pelancaran antologi ketiga saya bersama 24 rakan penulis terbaik lain yang berjudul, 'Biru Langit Itu'.




Sekadar menghormati dari sudut intelektual dan kekuatan akademik beliau dalam ilmu Islam. Apatah lagi setakat ini belum pernah kedengaran beliau bertelingkah tidak sudah dalam soal remeh temeh berkaitan agama seperti perihal furu' - cabang, pertembungan golongan Salafi dengan Khalafi ataupun isu Wahabi yang tiada faedah pun untuk diperdebatkan dan sebagainya.

Beliau turut merupakan mantan Presiden Persatuan Kebanggaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang kini seakan merupakan cabang kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi peringkat mahasiswa di IPTA. Mungkin sebab itulah rata-rata orang ABIM masih menghormati beliau.

Cuma dalam politik, tetaplah tidak mampu untuk berpendirian sehaluan dengan beliau. Kerana saya tidak berminat dengan parti UMNO dan kini lebih gemar menjadi golongan non-partisan.

Hakikatnya orang PKPIM mahu pun ABIM bukan sahaja berada dalam UMNO. Mereka telah melata-lata menjadi ejen-ejen dakwah dalam mana-mana parti politik.

Bukanlah ejen dalam erti kata mengintip dan membocorkan rahsia parti. Tetapi ejen dalam erti kata dengan mengambil pendekatan 'bil hikmah' atau pun bijaksana yang menjadikan parti-parti politik hanyalah sekadar wadah untuk berdakwah dan bukan seolah aqidah baru.

Sebagaimana firman Allah SWT,

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah An-Nahl: 125)

Malahan sehingga kini terdapat mantan pimpinan ABIM yang menjadi antara pimpinan dalam pertubuhan belia naungan kerajaan seperti Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada saya ini adalah bukti antara agenda ABIM adalah demi membentuk dan mewujudkan suasana politik matang tanpa mahu meletuskan suasana kacau bilau seperti kafir mengkafirkan hanya kerana berbeza aliran parti politik.

Begitulah juga apabila Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menyertai parti DAP. Adalah tidak wajar sewenangnya kita mencerca, mengeji dan menghukum aqidahnya meskipun tidak bersetuju dengan DAP.

Saya masih menghormati Bapak A. Samad Said kerana amat memahami itu adalah hak beliau dalam negara demokrasi untuk menyertai mana-mana parti politik.

Sejujurnya saya menyanjungi dan tabik hormat dengan keberanian beliau yang lantang mengkritik pemerintah agar tidak berlaku zalim.

Apatah lagi Bapak A. Samad Said telah banyak berjasa dalam memperkasa dan menyumbang demi kegemilangan sastera kebangsaan kita.

Dan beliau adalah pejuang bahasa yang pernah terlibat demi memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan Malaysia dengan turut sama mendesak agar PPSMI dimansuhkan suatu ketika dahulu.

Maka dalam kita berbicara dan memperjuangkan yang hak dan menegah yang batil, hakikatnya ia merentasi apa jua pasukan politik dan individu.

Termasuklah dalam pendekatan dakwah, ejen-ejen dakwah haruslah menyusup masuk ke dalam semua kelompok ideologi politik demi menarik mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Namun, bukanlah bermakna harus menyertai mana-mana parti politik. Sekadar tidak meminggirkan mereka dan tariklah mereka dengan 'bil hikmah' agar membenci najis rasuah dan kepentingan melahirkan para pemimpin yang amanah lagi berintegriti.

Sekian,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah
5 Rabi'ul Awal 1438 | 5hb Disember 2016
http://adliabdullah.blogspot.my


- Posted using BlogPress from my iPhone