Apabila terlihat laporan berita berkisar Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU16) baru-baru ini. Saya agak terperanjat ketika menyaksikan Ustaz Syamsul Debat berucap dalam PAU16 selaku Perwakilan UMNO Negeri Sembilan dan merupakan Ketua Penerangan UMNO negeri tersebut!
Ternyata beliau adalah sealiran dengan Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, Dato' Ust. Kazim Elias, Dr. Fathul Bari Mat Jahya, Ulama Muda UMNO dan dengan sewaktu dengannya.
Saya bukanlah ingin mengumpat dan tidak berminat sama sekali hendak mengata dek kerana mereka orang kuat UMNO. Kerana parti politik ini hanyalah sebagai sebuah wadah bukanlah aqidah.
Cuma apabila melihat kemelut politik semasa, saya lebih tertarik dengan haluan Ilmuwan bebas seperti Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau pun DRMAZA yang berwadah non-partisan. Beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam UMNO dan hanyalah seorang penjawat awam yang berperanan sebagai Mufti Perlis.
Meskipun beliau punyai ramai teman-teman rapat dalam UMNO dan pernah diundang berceramah dalam PAU sebelum ini.
Prinsip menegakkan yang hak dan menegah yang batil masih terus dijunjung tinggi. Berani menyanggah dan mengkritik tidak kira kesilapan dan kelemahan tercetus daripada blok parti pemerintah mahu pun blok parti pembangkang.
Walau bagaimana pun, saya masih menghormati Dr. Asyraf Wajdi. Bukan kerana saya pernah bertemu beliau pada bulan April tahun 2015 bersempena pelancaran antologi ketiga saya bersama 24 rakan penulis terbaik lain yang berjudul, 'Biru Langit Itu'.
Sekadar menghormati dari sudut intelektual dan kekuatan akademik beliau dalam ilmu Islam. Apatah lagi setakat ini belum pernah kedengaran beliau bertelingkah tidak sudah dalam soal remeh temeh berkaitan agama seperti perihal furu' - cabang, pertembungan golongan Salafi dengan Khalafi ataupun isu Wahabi yang tiada faedah pun untuk diperdebatkan dan sebagainya.
Beliau turut merupakan mantan Presiden Persatuan Kebanggaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang kini seakan merupakan cabang kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi peringkat mahasiswa di IPTA. Mungkin sebab itulah rata-rata orang ABIM masih menghormati beliau.
Cuma dalam politik, tetaplah tidak mampu untuk berpendirian sehaluan dengan beliau. Kerana saya tidak berminat dengan parti UMNO dan kini lebih gemar menjadi golongan non-partisan.
Hakikatnya orang PKPIM mahu pun ABIM bukan sahaja berada dalam UMNO. Mereka telah melata-lata menjadi ejen-ejen dakwah dalam mana-mana parti politik.
Bukanlah ejen dalam erti kata mengintip dan membocorkan rahsia parti. Tetapi ejen dalam erti kata dengan mengambil pendekatan 'bil hikmah' atau pun bijaksana yang menjadikan parti-parti politik hanyalah sekadar wadah untuk berdakwah dan bukan seolah aqidah baru.
Sebagaimana firman Allah SWT,
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah An-Nahl: 125)
Malahan sehingga kini terdapat mantan pimpinan ABIM yang menjadi antara pimpinan dalam pertubuhan belia naungan kerajaan seperti Majlis Belia Malaysia (MBM).
Pada saya ini adalah bukti antara agenda ABIM adalah demi membentuk dan mewujudkan suasana politik matang tanpa mahu meletuskan suasana kacau bilau seperti kafir mengkafirkan hanya kerana berbeza aliran parti politik.
Begitulah juga apabila Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menyertai parti DAP. Adalah tidak wajar sewenangnya kita mencerca, mengeji dan menghukum aqidahnya meskipun tidak bersetuju dengan DAP.
Saya masih menghormati Bapak A. Samad Said kerana amat memahami itu adalah hak beliau dalam negara demokrasi untuk menyertai mana-mana parti politik.
Sejujurnya saya menyanjungi dan tabik hormat dengan keberanian beliau yang lantang mengkritik pemerintah agar tidak berlaku zalim.
Apatah lagi Bapak A. Samad Said telah banyak berjasa dalam memperkasa dan menyumbang demi kegemilangan sastera kebangsaan kita.
Dan beliau adalah pejuang bahasa yang pernah terlibat demi memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan Malaysia dengan turut sama mendesak agar PPSMI dimansuhkan suatu ketika dahulu.
Maka dalam kita berbicara dan memperjuangkan yang hak dan menegah yang batil, hakikatnya ia merentasi apa jua pasukan politik dan individu.
Termasuklah dalam pendekatan dakwah, ejen-ejen dakwah haruslah menyusup masuk ke dalam semua kelompok ideologi politik demi menarik mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Namun, bukanlah bermakna harus menyertai mana-mana parti politik. Sekadar tidak meminggirkan mereka dan tariklah mereka dengan 'bil hikmah' agar membenci najis rasuah dan kepentingan melahirkan para pemimpin yang amanah lagi berintegriti.
Sekian,
Wallahua'lam.
Adli Abdullah
5 Rabi'ul Awal 1438 | 5hb Disember 2016
http://adliabdullah.blogspot.my
- Posted using BlogPress from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan