Isu Kalimah ‘Allah’: Berhujah Atau Berbalah?


Sumber: Google

Apabila saya melihat kepada 'Polemik Isu Kalimah Allah', saya benar-benar tidak bersetuju seandainya ia dipolitikkan demi kepentingan politik pihak tertentu. Namun, saya tidak berani hendak memberikan pendapat yang lebih lanjut secara terbuka, kerana isu ini agak sensitif. Malahan, ianya hanyalah perkara furu' (cabang hukum), bermaksud perkara ini wujudnya khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan sarjana Islam. Contohnya, ada segolongan sarjana Islam berpendapat non-Muslim dilarang menggunakan/menyebut 'kalimah Allah'. Manakala sebahagian sarjana Islam pula, termasuklah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, dengan merujuk kepada nas (dalil) Al-Quran & Sunnah, menyatakan non-Muslim boleh menggunakan/menyebut 'kalimah Allah'.

Oleh itu saya lebih rela mengambil jalan tengah apabila membicarakan isu ini secara umum, kerana saya khuatir diri saya akan terjebak dalam perbuatan mencela/menghukum mana-mana golongan sarjana Islam yang merupakan pewaris Nabi serta melabel mereka dengan label-label yang negatif seperti Wahabi, Liberalisme dan sebagainya. Kerana saya tidak berminat untuk berbalah serta berdebat sesama Muslim terhadap perkara-perkara furu' (cabang hukum), kecuali perkara asas (aqidah).

Walau bagaimana pun, umat Islam wajib memantapkan 'ilmu aqidah mereka. Amat mendukacitakan andai ada insan yang menjadi Muslim yang hanya sekadar nama, mengaku Islam, tetapi masih menyekutukan Allah dengan melakukan serta mempercayai perkara-perkara syirik dan khurafat. Seperti berjumpa bomoh, mempercayai ramalan bintang, ramalan tarikh lahir, ramalan-ramalan yang karut-marut, memohon serta bergantung kepada selain Allah, meyakini bahawa rezeki itu datang daripada manusia, meyakini bahawa rezeki itu datang daripada tangkal/benda, memasukkan amalan agama-agama lain seperti Hindu ke dalam majlis perkahwinan dan sebagainya. Di dalam surah An-Nisa' ayat 116, Allah SWT menyatakan,
"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya."
Ketahuilah, bahawa iman itu merupakan nadi dan nyawa kepada setiap insan yang bergelar Muslim. Andai seseorang insan itu tidak beriman, amatlah rugi kehidupannya, segala amal kebajikannya adalah sia-sia. Telah dinyatakan di dalam Surah Az-Zumar ayat 65,
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. "Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi."
Nabi SAW juga telah menyatakan dalam hadith riwayat Muslim,
"Sesiapa yang berjumpa bomoh dan tukang ramal, lalu mempercayainya segala apa yang diperkatakannya, maka solatnya tidak diterima selama 40 hari."
Sebagai insan yang beriman, kita mempercayai serta meyakini bahawa "Allah itu Tuhan sekalian alam", seperti yang termaktub pada permulaan kitab Al-Quran, iaitu Surah Al-Fatihah. Ini bermaksud, Dia-lah yang telah  menciptakan alam semesta, sekalian manusia (tidak kira agama dan bangsa) dan sekalian makhluk. Ketahuilah bahawa “Allah itu Tuhan Yang Esa (Satu), tidak mempunyai zuriat dan tidak melahirkan zuriat”, sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Surah Al-Ikhlas. Justeru itu, mana mungkin Allah SWT itu mempunyai anak, mana mungkin para Rasul dan Nabi Isa AS itu anak Allah.

Maka, saya berharap ‘isu kalimah Allah’ yang tercetus pada tahun 2010, dan secara tiba-tiba ianya kembali berbangkit kini ketika hampirnya PRU13, tidaklah hanya berakhir dengan perbalahan sesama Muslim hingga tiada penghujungnya. Bersamalah kita mantapkan ‘ilmu aqidah pada diri kita, anak-anak, dan seluruh ahli keluarga. In Shaa Allah, dengan itu walau badai datang melanda, nescaya tiada apa pun yang mampu menggoyahkan iman kita. Sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith sahih Bukhari,
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, maka Allah akan menjadikan dirinya faqih (faham) dalam beragama.”
Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
10hb Januari 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan