Soalan: Mengapa haram makan babi?
Jawapan:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُواْ بِالأَزْلاَمِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala."
Sadaqallahul 'Azim (Benarlah kata Allah)
1. Jawapan saya begini,
apabila Allah mengharamkan sesuatu, ianya tidak lain adalah Allah SWT ingin
menguji siapakah hamba-hambaNya yang benar-benar beriman. Sesungguhnya
kehidupan di dunia ini adalah pentas ujian demi menuju ke alam akhirat. Belajar
di sekolah dan universiti juga ada ujian yang perlu ditempuhi. Begitu juga
dengan kehidupan yang sementara ini. Sepertimana firman Allah SWT,
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi?
2. Lantaran dari
pengharaman dan ketentuan sesuatu perkara itu, sebagai hambaNya yang kerdil,
akurlah dengan segala perintah dan segala kehendak Tuhan. Kita hanyalah
hambaNya, Dia berhak melakukan apa sahaja ke atas hamba-hambaNya. Kerana
Dia-lah yang mengciptakan kita, dan kita juga adalah milik Dia, siapalah kita
ingin persoalkan segala kehendakNya. Sesungguhnya apa yang dilihat baik di mata
insan, belum tentu baik di sisi Tuhan. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, telah
dinyatakan,
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Maka sentiasalah bersangka
baik kepada Allah Al-'Alim (Yang Maha Mengetahui). Kerana Dia Maha Mengetahui
apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.
3. Kemudian, babi tiada
leher, haiwan yang tiada leher bagaimana hendak disembelih bukan? Sedangkan,
daging yang halal dimakan bukan sahaja dari jenis haiwan yang dihalalkan untuk
dimakan. Tetapi ianya mestilah yang disembelih terlebih dahulu, dan diperolehi
dengan cara yang halal serta sumber yang halal. Maka, itu barulah makanan yang
benar-benar halal mengikut syari'at. Apabila sesuatu makanan itu daripada
haiwan yang tidak disembelih, maka ia adalah bangkai. Sesungguhnya, bangkai juga
adalah termasuk di dalam senarai yang diharamkan untuk dimakan, rujuk kembali
Surah Al-Maidah ayat 3. Di dalam Surah Al-An'am ayat 145 juga, Allah ada
berfirman,
(Katakanlah) "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Setakat itu sahaja jawapan
dan penjelasan saya. Semoga apa yang telah saya sampaikan ini mudah difahami
dan dimanfaatkan demi mengukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Namun
segala apa telah saya perkongsikan ini, sebahagian daripadanya boleh diaplikasikan
untuk hikmah terhadap hukum-hukum pengharaman yang lain. Ianya juga ada kaitan
dengan persoalan takdir, iaitu hikmah di atas segala ujian yang perlu kita
tempuhi di alam yang sementara ini.
Sekian,
Wallahu'alam.
Adli
Abdullah
6hb
Januari 2013