Cerpen - Badai Kehidupan




Badai Kehidupan


Adli Abdullah


Berasal daripada sebuah keluarga golongan pertengahan yang berjiwa marhaen. Merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik, dikurniakan paras rupa yang manis dan sihat tubuh badan. Adam adalah namaku, sebuah pemberian yang amat bermakna daripada bonda dan ayahanda.


Ayahanda adalah seorang yang amat tegas dalam perihal disiplin, sehinggakan rancangan hiburan di peti televisyen juga dikawalselia bagi mengelakkan pengaruh dan budaya hedonisma yang semakin berleluasa. Bonda pula, seorang yang lemah lembut, tempat kami bermanja serta berkongsi kisah suka duka dalam kehidupan.


Apa yang pasti, didikan agama adalah perkara utama yang amat di titik beratkan oleh bonda dan ayahanda. Ada yang menyangka, bahawa perwatakanku adalah seorang yang rendah hati, tidak berlagak, tidak sombong dan suka membantu insan-insan yang dalam kesusahan. Kata mereka juga, aku memiliki sifat yang penyayang. Begitulah pandangan manusia yang menilai. Namun, apa yang pasti, aku amat menyayangi keluargaku.


Semasa di sekolah, aku digelar sebagai seorang pelajar yang pintar dalam semua mata pelajaran termasuklah mata pelajaran agama. Mereka menganggap aku adalah insan yang mudah mesra serta disenangi oleh guru-guru dan rakan-rakan di sekolah.


Walau bagaimana pun, itu semua penilaian daripada kacamata manusia. Namun, bagaimana pula dengan penilaian daripada Yang Maha Esa? Betapa kerdilnya diri ini di hadapanNya. Sungguh aku insan biasa yang tiada punya apa-apa, segala-galanya hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Kuasa.


Kini, aku telah menerjah ke alam universiti dalam meneruskan perjuangan demi membina peradaban. Di sini, aku merupakan pelajar terbaik dalam jurusan Kejuruteraan Komputer. Aku juga seorang yang aktif dalam menyertai pertandingan-pertandingan inovasi digital. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang aku perolehi. Manakala di waktu lapang pula, aku amat gemar menghadiri kuliah-kuliah agama dan usrah-usrah yang dianjurkan oleh persatuan pelajar.


Seusai aku menamatkan pengajian di menara gading, aku menubuhkan sebuah syarikat industri komputer yang dinamakan Adam Intelligent. Syarikat tersebut menghasilkan perisian-perisian komputer, peranti-peranti pintar seperti telefon bimbit pintar, komputer tablet, komputer riba dan sebagainya. Adam Intelligent juga menawarkan perkhidmatan membina laman web, pangkalan data, pelayan internet bagi pihak kerajaan mahu pun swasta. Misi dan visi syarikat kami adalah menghasilkan teknologi yang mampu dimiliki oleh semua golongan taraf hidup.


Dengan izin Yang Maha kuasa, setelah sedekad aku menerajui perniagaan industri komputer, aku berjaya menjadikan Adam Intelligent sebagai sebuah empayar industri komputer terbesar di dunia.


Dalam ruangan sebuah majalah ekonomi, seorang penganalisis ekonomi menyatakan, bahawa aku adalah fenomena sains dan teknologi dalam dunia Islam, kerana aku adalah insan yang bertanggungjawab mengasaskan sebuah syarikat industri komputer Muslim yang pertama di dunia berjaya menyaingi syarikat-syarikat industri komputer bertaraf dunia.


Aku juga berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam kategori industri komputer di peringkat antarabangsa, asia dan tempatan. Lantaran dari itu, aku dikurniakan rezeki yang melimpah ruah daripada Ilahi dengan aset dan harta yang bernilai berbilion-bilion ringgit.


Namun, di saat aku telah menimba kejayaan dan kemahsyuran yang diusahakan dengan titik peluhku selama ini, aku tidak terlepas dari pelbagai tohmahan dan fitnah. Ada pihak yang menyatakan bahawa aku telah berubah, bahawa aku tidak seperti dahulu, mereka juga menyatakan yang aku tiada integriti dengan melakukan pelbagai penipuan dalam perniagaan.


Setelah aku siasat dan selidiki, ternyata penabur fitnah dan kata-kata nista itu, didalangi oleh sebuah syarikat industri komputer yang ada kaitan dengan Israel.


Tidak syak lagi, bahawa Israel amat mencemburui dan membenci dengan kejayaan yang aku perolehi selama ini. Semuanya kerana apa? Kerana aku adalah seorang Muslim pertama yang telah berjaya menguasai pasaran teknologi dunia, paling digeruni mereka apabila mengetahui aku menyalurkan bantuan kewangan berbilion-bilion ringgit kepada Gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia khususnya Ikhwanul Muslimin dan Hamas.


Ingin aku tegaskan, walau pun aku telah berjaya dalam kehidupan serta menjadi seorang hartawan yang kaya raya, aku masih seperti dahulu, aku tidak berubah. Kata-kata azimat bonda dan ayahanda masih segar di ingatanku, kata mereka, "Wahai anakku, walau di mana pun kau berada, beriman dan bertaqwalah kepada Tuhan. Wahai anakku, walau kebenaran itu pahit, serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah yang mungkar. Wahai anakku, walau susah atau senang kehidupanmu, sentiasalah bersyukur kepada Tuhan dan janganlah kau menempah kufur."


Kini, aku sentiasa diekori, gerak geriku juga diperhatikan oleh pihak perisikan Israel. Di mana sahaja aku berada, aku sentiasa berada dalam pemerhatian satelit mereka. Maka, aku bersama pasukan saintis Adam Intelligent mencipta peranti pintar yang mampu menangkis pengesanan satelit dan apa jua alat pengesan, juga mencipta sebuah kenderaan yang kalis satelit, kalis peluru dan kalis letupan serta meningkatkan sistem keselamatan pelayan komputer Adam Intelligent. Semenjak itu, perisikan Israel tidak bisa lagi mengesan dan mengancam keselamatan aku.


Namun, langit tidak selalu cerah, awan mendung berarak, menutupi cahaya yang bersinar selama ini. Lalu, aku ditimpakan dengan dugaan yang amat dahsyat daripada Yang Maha Kuasa. Tiba-tiba sahaja, sebuah pasukan elit bersenjata, berjaya menggodam sistem keselamatan ibu pejabat Adam Intelligent, kemudian menyerbu masuk untuk menangkap aku, lalu aku tidak sedarkan diri.


Apabila aku tersedar, aku telah berada di dalam sebuah bilik gelap, aku diikat, diseksa dengan sebegitu kejam sekali. Aku tidak tahu siapakah mereka itu, lalu mereka memperkenalkan diri, bahawa mereka adalah unit perisikan Israel. 


Mereka melakukan penderaan mental serta mengugut aku, seandainya terus mara ke hadapan bersama Adam Intelligent dengan lebih maju lagi, dan seandainya terus menyalurkan bantuan kewangan kepada Gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, maka aku akan dibunuh dengan kejam. Namun, aku tetap berkeras tidak mahu mengalah dengan segala ugutan Israel durjana itu, kerana aku dambakan mati syahid.


Maka, mereka membelasah aku bagaikan haiwan dengan tiada belas kasihan sama sekali. Dalam keadaan yang cedera parah, patah riuk dengan tulang belakang yang rosak teruk, aku dicampak keluar dari kenderaan mereka di hadapan rumah bonda dan ayahanda. Lalu, kedua orang tuaku benar-benar terkejut apabila melihat anaknya dalam keadaan sebegitu rupa. Menitislah air mata ke pipi dan betapa hancurnya hati mereka seakan gelapnya dunia ini.


Lantas, aku dikejarkan ke hospital dan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi akibat daripada kecederaan parah yang aku alami. Waktu itu aku sudah berada dalam keadaan koma. Bonda dan ayahandaku amat berdukacita melihat anak bongsu mereka yang sihat selama ini terlantar dan tidak sedarkan diri di pembaringan. Begitu juga dengan adik beradikku yang sukar untuk menerima hakikat ini. Maka, seluruh ahli keluargaku bagaikan berkabung dengan berdoa memohon pertolongan daripada Yang Maha Esa.


Seterusnya, hari demi hari berlalu, bulan demi bulan berlalu, tahun demi tahun berlalu, namun bonda dan ayahandaku tidak putus-putus mengadu dan memohon kepada Yang Maha Esa demi kesembuhanku dan agar diturunkan bala' bencana ke atas Israel durjana itu di atas kekejaman yang telah mereka lakukan. Kerana kedua orang tuaku yakin dan pasti, bahawa doa insan-insan yang teraniaya pasti dikabulkan Tuhan.


Dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa, setelah 4 tahun aku koma, akhirnya aku tersedar daripada mimpi dan lamunan yang panjang itu. Terus sahaja aku mengucapkan kalimah syukur kepada Yang Maha Pengasih, kerana masih diberikan peluang untuk terus hidup di atas muka bumi ini.


Lantas, bonda dan ayahandaku terus bersujud syukur dengan perasaan yang amat gembira kerana merasakan, doa mereka telah dimakbulkan Tuhan. Kemudian, bonda dan ayahandaku terus memeluk aku dengan perasaan bahagia hingga tidak terkata, kalimah syukur tidak terputus-putus di hati mereka.


Namun, apabila aku cuba untuk bangkit dari pembaringan dengan menggerakkan kakiku, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan tubuh badanku ini, aku tidak bisa bangkit lagi, kakiku pula tidak bisa digerakkan dan tidak bisa merasai apa-apa lagi. Ternyata Tuhan menimpakan aku dengan dugaan yang amat berat lagi getir, aku telah menjadi lumpuh dari paras atas tubuh hingga ke hujung kaki.


Lalu, kekecewaan dan kemurungan menyelubungi segenap ruang hati, aku menjadi seorang yang amat pendiam dan enggan berbicara.


Bonda dan ayahanda amat risau melihat gangguan psikologi yang melanda diriku. Kemudian, mereka memberikan kata-kata motivasi dan kata-kata semangat padaku. Namun, mendungnya langit jiwaku ini tidak reda juga, aku merasa duka lara kerana segalanya berlaku bagaikan sekelip mata sahaja.


Aku berasa kecewa, aku berasa putus asa untuk terus melangkah dalam kehidupan yang penuh pancaroba dan berliku ini. Tidak tertahan hatiku menahan segala badai ujian yang getir ini, hanya Tuhan sahaja yang mengerti betapa peritnya dan hibanya hatiku ini.


Dengan tidak disangka-sangka, tiba-tiba sahaja langit jiwaku kembali bersinar dari sirna, Bagaikan ada suatu pujukan keredhaan yang hadir dengan bisikan nurani yang menyatakan, "Aku redha di atas ujian ini, biarlah aku yang menanggung dugaan berat ini, asalkan Dia tidak menduga ujian yang berat ini terhadap mereka yang ku sayangi. Aku rela berkorban demi mereka yang ku sayangi, aku rela berkorban demi mereka yang ku cintai kerana Dia Yang Maha Mencintai." 


Jiwaku menjadi semakin tenang, apabila teringatkan sebuah kalam Tuhan yang menyatakan, "Tuhan tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."


Seusai solat di pembaringan, aku merintih kepadaNya dengan menyatakan, "Wahai Tuhanku, sekali pun Engkau menimpakan aku penyakit sebegini rupa, aku tetap bersyukur padaMu kerana dikurniakan kedua orang tua dengan kesihatan yang baik walau pun usia mereka telah berada di saat ibarat daun-daun yang berguguran. Wahai Tuhanku, sekali pun Engkau menimpakan aku dengan dugaan yang hebat ini, aku tetap bersyukur padaMu kerana dikurniakan sekalian adik beradik dengan kesihatan yang baik serta fizikal yang normal untuk mereka menimba kejayaan di dunia dan di akhirat. Wahai Tuhanku, sekali pun Engkau menimpakan aku dugaan yang amat mendukacitakan ini, aku tetap bersyukur padaMu kerana dikurniakan sekalian anak-anak saudara yang sihat dengan fizikal yang normal serta kepintaran dan kecomelan yang menjadi penawar duka pengubat sengsara."


Setelah sebulan berlalu, doktor memberikan pelepasan untuk aku keluar dari hospital. Di saat ayahanda menyorong diriku yang berada di atas kerusi roda dengan diiringi bonda menuju ke kereta untuk pulang ke rumah, aku tidak memikirkan langsung tentang soal Adam Intelligent walau sesaat. Kerana setelah kejadian yang tragis menimpa aku, aku menyangkakan, empayar yang aku telah bina lebih sedekad itu telah hancur musnah.


Tiba-tiba ada suatu suara menyapa kami dan memanggil aku, "Tuan, tunggu!". Rupanya, itu adalah En. Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Adam Intelligent, yang merupakan orang bawahan aku. Lalu beliau berkata, "Syukurlah, tuan sudah sembuh." Aku hanya membalas dengan senyuman.


Kemudian, beliau menjelaskan dengan panjang lebar, bahawasanya Adam Intelligent masih berdiri teguh, dan aku masih merupakan pemegang sahamnya yang terbesar. Aku terkedu, lidahku kelu kerana benar-benar teruja mendengar apa yang disampaikan oleh beliau itu.


Sesungguhnya, tidak semua kejadian Tuhan itu bisa dijangka, ada ketentuanNya yang ditentukan tanpa disangka-sangka. Benarlah janji Tuhan"Sesiapa yang bertaqwa kepadaNya, nescaya Dia akan berikan jalan keluar." 


Ternyatalah, En. Ahmad seorang insan yang benar-benar jujur dan amanah kerana telah memelihara syarikat yang aku telah bina dengan hasil usaha dan titik peluhku itu. Aku amat bersyukur kepada Tuhan, yang memecahkan segala kebuntuan dan kesulitan. Sungguh tidak ternilai ni'matNya walau tinta selautan.



Kini aku kembali mengemudi bahtera Adam Intelligent sebagai seorang ahli korporat berjiwa marhaen yang kelainan upaya. Aku terus bergerak ke hadapan dengan berani tanpa gentar dengan sebarang ancaman musuh-musuh yang berada di hadapan. Kerana keberaniaan itu menjadi kunci kepada kejayaanku selama ini. ‘Sesungguhnya, sesudah kesulitan ada kemudahan.’